Saturday, July 6, 2013

LAGI BAB GELARAN DAN MEREKA-MEREKA YANG MENGEJARNYA. TAK LETIH KE?

Saya berbelah bahagi juga sebenarnya. Berbetulan sekarang baru ada ruang untuk menulis sikit-sikit. Sama ada nak tulis tentang buku-buku yang usai dibaca, atau Metallica yang bakal menggegar negara. Metallica beb, Metallica! Saya tak tahu di umur mana lagi saya akan berkesempatan menyaksikan band metal terbesar di dunia beraksi di tanah air. Keghairahan merai Metallica bersamaan dengan kepuasan menghabiskan 'Salina' nukilan A. Samad Said yang memang fuhhh... Dan tidak dilupa, kekalutan yang berlaku di Mesir kini. Solidariti untuk Morsi. Kita doakan kekuatan Ikhwan di sana akan terus menyinar.

Namun, kemenyampahan saya pada satu perkara ini, membuatkan saya 'pending' dahulu cerita Metallica dan Salina dan Mesir. Mengejar gelaran.

Kita maklum, bangsa Melayu ini tamadunnya bukanlah pada binaan gah-gah. Tamadunnya tersorok di tabir budaya bangsa dan bahasa. Datang pula Islam, Melayu terus terisi dengan segala macam kemuliaan. Bukan Melayu sahaja, mana-mana bangsa pun yang wujud di dunia, selagi didasari Islam, terus terisi dengan segala macam kemuliaan. Islam bawaan Rasulullah s.a.w kan 'rahmatan lil a'lamin'...


Berbalik kepada tajuk. Perasan tak, bagi pengamal persilatan, ada suatu macam kecenderungan untuk mewujudkan istilah-istilah dan gelaran-gelaran yang gah disebut. Paduka Ayahanda itu ini, Panglima Seri itu ini, Srikandi itu ini dan lain-lain lagi.

Itu belum lagi yang dah memandai-mandai menabalkan ahli-ahli perguruan dengan gelaran 'Datuk'. Penganugerahan sebegini kan milik istana. Jangan tambah mengelirukan orang awam dengan gelaran bukan-bukan.

Saya tak mahulah menulis secara terperinci mana-mana perguruan, persatuan dan gelaran-gelaran 'beradat' yang direka-reka sewenangnya. Bukan semua, tapi dari pengamatan dan pergaulan saya, gelaran-gelaran ini semua hanyalah mengundang ujub dan riak bagi si pemakainya. Bagi yang faham amanah, Alhamdulillah. Namun bagi yang muda mentah, itu modal nak sembang lebih dan tunjuk gagah. 

Dan ada yang berani meletak gelaran 'Panglima' di hadapan namanya, atau 'fake name' dia. Hamboi. Panglima. Umur kau dan aku pun tak jauh beza, silap-silap aku tua sikit. Panglima.... 'Pang' lima kali, mau? 

Panglima 'wannabe' ni saya tengok dan selidiki sejarah pembelajaran dia, memang banyak silat yang dia pelajari. Saya faham, jiwa muda tengah panas dan lapar. Semua yang hebat nak disedut. Tak sabar. Jadinya belajar takde khatam, takde penamat, takde pemutus. Sampai bila pun takkan faham, takkan kesampaian. Belajar tak habis satu-satu, tiba-tiba dah Panglima?

Jangan begitu, sobat. Kalaupun gelaran dan penganugerahan itu diterima dari perguruan, pakailah ia dan junjung dengan amanah sebaiknya. Bukan buat modal tunjuk hebat, tunjuk gagah. Samseng Melayu ni banyak sangat yang tak boleh pakai. Yang sibuk nak amar maaruf nahi mungkar tu la, yang bergelang rantai, merokok menogak bagai. Janganlah tambah perangai pelik-pelik lagi untuk orang Melayu.

Mari kita kenang sikit sirah junjungan besar kita, Muhammad s.a.w. Ini berdasarkan video ceramah Dato' Dr. Hj Haron Din Al-Hafiz yang menceritakan kisah mimpinya bertemu Rasulullah s.a.w. Allah... menitis juga airmata mendengarnya. Orang dengan kaliber seperti beliau pun, berkali-kali baru berpeluang bermimpikan Rasulullah s.a.w, kita ni.....

Sedikit cerita daripada beliau, Allah s.w.t telah memperkenankan gelaran Khalilullah (sahabat Allah) kepada Nabi Ibrahim a.s, Kalamullah kepada Nabi Musa a.s dan Ruhullah kepada Nabi Isa a.s. Ketika Allah s.w.t mengurniakan gelaran kepada Rasulullah s.a.w, junjungan kita ditanya Baginda mahu dikenali sebagai apa. Pada waktu ini, sebak juga saya mendengarnya. Muhammad manusia agung, hanya mahu dikenali sebagai - Muhammad yang yatim dan fakir! Allah... Tawaduknya Rasulullah s.a.w.

Ketika itu, Allah s.w.t berfirman dengan mafhumnya : Engkau KekasihKu, Ya Muhammad.

Mana lagi kita nak letak muka. Muhammad seagung-agung manusia hanya mahu dikenali sebagai Muhammad yang yatim lagi fakir. Kita? Dengan selempang, sandang bersimpang-simpang, nak digelar orang sebagai pendekar, pejuang, panglima, datuk mak nenek segala, sedangkan entah apa sumbangan kita pada Islam dan negara.

Insaflah. Mengejar gelaran ini tak ke mana. Apatah lagi sewenang-wenangnya menggelar diri sendiri dengan segala kehebatan dunia.

Saja je tulis. Orang yang baca belum tentu faham, kecuali yang kena tuil kat batang hidung. 





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...