Showing posts with label nukilan rasa. Show all posts
Showing posts with label nukilan rasa. Show all posts

Wednesday, May 29, 2013

SELANGKAH LAGI...

Dalam hiatus saya melorek catatan, banyak perkara yang saya lalui. Sedikit demi sedikit setiap serpihan pengalaman saya cantumkan menjadi kenangan dan pengajaran.

Tugasan hakiki yang semakin membuahkan kepuasan, buku-buku yang terbeli sedikit demi sedikit berjaya diusaikan, dan macam-macam lagi. Cuma sedikit merungsingkan juga, dalam duk buat macam-macam perkara, lemak berkumpul di perut entah datang dari mana. Hilang pack line yang dibanggakan. Cis....

Ada juga catatan tentang pengalaman menarik saya tempuhi masa berkelana di lebuhraya dari Pasir Gudang ke Bagan Serai. Tentang si buta dan seorang India. Menitis juga air mata terharu. Nantilah..

Juga buku-buku yang menzalimi dompet saya untuk dimiliki, sewaktu saya singgah di Pesta Buku Selangor, SACC. Yang menarik perhatian saya, terbitan label indie macam Dubook Press dan Fixie, juga lain-lain terbitan mainstream seperti buku masakan asas ikan, himpunan doa-doa dan antologi nukilan Kemala. Membaca 'Dari Tanjung Malim ke KLCC' dan 'Dari KLCC Ke Tanjung Malim' mengundang ketawa yang berdekah. Cerita orang biasa tentang hidup biasa-biasa membuatkan saya yang biasa-biasa ni pun enjoy. Pidomat pula berbetulan mengisahkan tentang Bagan Serai era 90an, jadi saya pun ikut bawa imaginasi ketika membesar di waku itu.

Nantilah saya bedah buku-buku tersebut.

Dan sesungguhnya, satu hal yang amat saya syukuri...

27 Mei 2013 bersamaan 17 Rejab 1434..

Selamat saya bergelar tunangan orang...

Alhamdulillah...

Terima kasih untuk 'awak'..=)

Sunday, May 12, 2013

APA LAGI YANG KITA HARAPKAN

Apa lagi yang kita harapkan
Bila mendung yang memayungi
Diharap redup membawa ke petang
Turun hujan di tengah hari

Apa lagi yang kita harapkan
Bila lilin keadilan yang dinyalai
Diharap bawa sinar di malam yang panjang
Digelapkan dengan petik suis menzalimi

Namun, percayalah kawan
Harapan takkan hanya harapan

Kita berjuang bukan menuntut menang
Kita bergadai bukan menuntut pulangan
Kita menangis bukan menuntut pujukan

Yakinlah
Harapan takkan hanya harapan

6 mei 2013
Bagan Serai

Sunday, January 27, 2013

PELAJARAN DARIPADA MENGAJAR DAN BELAJAR

Cikgu Shaari yang epik!

Alhamdulillah, dikurniakan Allah swt kekuatan dan kesihatan di hari ini. Pagi-pagi lagi saya dah pulun keluar joging di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang. Buat masa ini, inilah tempat feveret saya berlari-lari anak mengeluarkan peluh, selain mengayuh basikal tak tentu dek hala dan main chin-up bar sebelum mandi.

Kalau tanya cikgu-cikgu, sekarang ni dah mula sibuk dengan latihan sukan, sebab banyak acara sukan akan mula dipertandingkan dalam bulan 2 nanti. Saya pun dah mula melatih atlet-atlet terpilih untuk olahraga balapan dan ragbi rimau, selain tanggungjawab memilih dan melatih wakil-wakil rumah sukan untuk Larian 1Murid 1Sukan minggu hadapan. Ini jam jugaklah dengar-dengar angin yang pihak jabatan nak pantau perjalanan KSSR dan PBS di sekolah. Oooo hai..Apa pun, tanggungjawab..

Dalam masa sama, saya membantu mengajar di 2 gelanggang Seni Silat Lian Padukan. Alhamdulillah, kalau orang tanya saya apa saya dapat dengan mengajar, melatih dan mendidik, sampai berpenat-penat pagi petang siang malam, saya cuma jawab - nak buat macam mana, itu je yang aku tau. Mengajar.

Dalam mengajar, kita sendiri banyak belajar. Terutamanya, mengajar kita untuk mengenal maksud kesabaran. Kalau kita rajin selak kisah-kisah nabi, banyak nabi yang bermula dengan mengembala kambing, contohnya Rasulullah saw sendiri. Hikmahnya, mengajar kesabaran sebab orang tua-tua cakap kambing ni binatang yang degil. 

Bila saya mengajar murid-murid subjek PJ, saya akan ikut buat bersama murid-murid. Minggu ni saya ajar murid tahun 3 kemahiran gulingan hadapan. Dengan saya-saya sekali ikut berguling. Bila saya mengelola latihan fitness atlet-atlet, saya akan pastikan reps saya melebihi budak-budak. Dalam melatih, sebenarnya saya tumpang berlatih jugak. Jadinya, saya tak heran kalau rakan-rakan sekerja lain segan nak promote produk MLM macam Herbalife dan SD Alphalipid tu. Saya berpegang, kesihatan datang dari senaman dan penjagaan makanan, dan tentulah dari doa.

Apa pun, saya seronok mengajar. Itu je yang saya tau. Saya tak mahir dalam bab berniaga, saya juga takde kemahiran teknikal dengan mesin-mesin dan teknologi. Yang saya suka adalah mengajar murid-murid apa yang Kementerian Pelajaran dah kursuskan kepada saya, dan berkongsi minat saya kepada lain-lain tentang sukan dan kesihatan, seni beladiri dan muzik. Passion. Kepuasan apabila melihat perkara yang diajar dapat dipraktikkan dan diamalkan penuntut dengan beradab. Susah oi nak ajar budak darjah 1 buat lompat bintang (asas koordinasi badan). Bila dorang dapat buat, alangkah seronok dan puasnya. 

Berkongsi ilmu itulah passion saya. Tapi kalau orang tanya saya, benda apa yang paling susah nak diajar, saya jawab - ajar orang main gitar!

Dia punya susah nak ajar orang pegang kord C tu, lain macam kan? 






Thursday, November 15, 2012

BILA MAKAN, HILANG TERUS PERJUANGAN KAU

Duk laung tentang hak...

Duk laung tentang ketuanan...

Duk laung tentang kedaulatan...

Tapi bila bab makan...

Tosei roti canai kau lenjan...

Char kue teow nasi ayam hailam kau telan...

Bab perut tak pulak kau kisah, hak sapa, ketuanan sapa, kedaulatan sapa...

Halal haram pun kau tak tanya...

Janji, kenyang...

Kan?

Saturday, August 11, 2012

BINTANG

Cuba kita kira bintang di langit...

Waktu pekat malam, bawa ke pagi...

Waktunya, dalam jam dua, tiga mungkin...

Cuba kita kira...

Satu, dua, tiga...

...........................................

Seratus lima belas, seratus enam belas, seratus tujuh belas....

...........................................

Seribu tujuh puluh tiga, seribu tujuh puluh empat, seribu tujuh puluh lima...

...........................................

Mmmmmmm.....

Tak mampu lagi...

Capai kopi di tebing batu...

Hirup sedikit demi sedikit, panas, hangat, pekat, likat...

..........................................

Bintang...

Inspirasi ramai orang...

Semua mahu ke bintang...

Semua mahu jadi bintang...

Semua mahu gapai bintang...

............................................

Aku senang begini...

Cukup mendongak, melihat, mengira bintang...

Dengan kopi pekat cap kapal api...

Sendiri...

DIAM 2

Diam...

Berbicara dalam sunyi...
Berteleku dalam sepi...

Diam....

Seksanya lebih derita...
Dari marah lidah berkata...

Diam...

Bila diri tidak lagi rasa sempurna...
Bila diri tidak lagi punya deria...

Diam...

Lembaran tulisan dan kenangan...
Itulah peneman...

Diam...

Mengutip sisa kaca pengalaman..
Walau berdarah jejari impian...

Diam...

Berdiri pun tak mampu...
Teruk dibelasah rindu...


Thursday, August 9, 2012

CINTA, RINDU DAN SAYANG


Cinta, rindu, sayang..

Keras mana pun hati manusia, lunak dek penangan tiga hal ini - cinta, rindu dan sayang. Ada mengaku cinta - rindu - sayang ini tidak perlu. Ada yang cuba menyempadani cinta - rindu - sayang dengan mengaku hatinya kental, muziknya kental, atitudenya kental. Hal cinta - rindu - sayang ni, silakan diterajang.

Tapi, aku punya definisi sendiri.

Cinta - Kesungguhan kita pada sesuatu atau seseorang yang kita jujuri setulus hati.

Rindu - Rasa Ini Nyata Dicipta Untukmu.

Sayang - Tolak tepi kepentingan diri, kerana kepentingannya adalah kewajipan kita kini.

Definisi ini, diregukan dengan ketidaksempurnaan diri, menjadikan kita tidak mampu bersendiri....

Wednesday, August 8, 2012

MENCARI HAK DIRI

Entah..

Bukan selalu aku merenung ke dalam diri..
Waktu kadang-kadang bertepi, disempadani kesibukan duniawi..
Aku yang selalu khayal, seronok melayani kehendak nafsu sendiri..
Sedang hak diri untuk mengenal diri, aku telanjangi..

Entah..

Orang berkata untuk mengenal Tuhan kau harus mengenal diri..
Rahsia Tuhan letak dalam dirimu, hadirmu, wujudmu..
Cuma akalku gentayangan, terbang melayang..
Semakin aku mencari, aku makin meraba..
Semakin aku hampiri, semakin aku hampa..

Yang aku yakini cuma satu..
DIA ada...

DIA ada waktu kita berdoa..
DIA ada waktu kita seru namaNYA..
DIA ada di setiap masa..
Dulu hingga akhirnya, DIA wujud tidak berpermulaan,
mustahil berpengakhiran..

Pening kan?

Aku bertanya pada tuaku..
Apa mustahilkah mengenal Yang Satu?
Tua hanya senyum...
Katanya, kau hanya perlu buka itu pintu..
Di balik pintu itu, kau lihat kebenaran yang indah..

Seindah indahnya..

Tinggal lagi...
Janganlah kau jemu berguru...
Kunci kamar itu ada pada guru...

Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad..
Kita si awam mentafsirkannya belajar dari mula bernafas hingga hujung nafas..
Ada lain memaknakannya buaian itu ilmu dunia, lahad itu ilmu nyata...

Ah, sudah.....

Mencari dan terus mencari...
Cari lagi, lagi dan lagi....

(Jilid Lihat Langit)



Friday, July 6, 2012

KEKURANGAN BUKAN KETERBATASAN DALAM KETAATAN


Subhanallah...

Kekurangan bukan halangan untuk meneruskan ketaatan. Sedang kita yang kononnya cukup sifat dan anggota pun... subhanallah. Nak kena selalu ingatkan, waktu solat dah masuk, cepat-cepatlah berwudhu'.

Kita ni, sihat pun iye. Alhamdulillah. Itupun tak cukup bersyukur sangat. Tibai jugak rokok. Malas jugak nak bersenam macam yang Rasulullah anjurkan. Makan sebarang jugak...

Lihat saudara kita di atas dengan fikiran. Kakinya mana satu lagi?

Subhanallah...

Kat dunia kakinya tak sempurna. Tapi kita doakanlah bersama, insyaallah, 'di sana' nanti, cukup segala keperluan untuknya, sempurna, bahagia selamanya.

Saturday, June 23, 2012

BANGSA TAMU?

"Mereka bukan dari sini. Mereka bukan bumiputra. Anggaplah mereka tetamu yang wajib kita raikan. "

Tetamu?

Sejak bila tanah ini hak kita?

Bukan hak Allah ke?

Prasangka keterlaluan, sehingga menutup hati dari menerima perbezaan. Dari mereka juga ada saudara seagama kita. Dalam agama kita semua bersaudara, tetapi mengapa dalam berbangsa-bangsa mereka tetamu, orang asing?

Mana lebih patut didahulukan? Agama atau bangsa?

Mana yang jadi keutamaan?

Soalan di kubur awal-awal sudah dibocorkan. Awal-awal kita tahu interviewer yang berdua itu takkan bertanya tentang engkau bangsa apa, kasta mana. Awal tanya adalah siapa Tuhanmu dan seterusnya....

Bukak mata luas-luas. Bukak akal, jangan biar dangkal.

Pasak iman...

Monday, June 4, 2012

KONSERT KENANGAN SUDIRMAN


Entah...

Sebagai peminat muzik, aku mengkagumi dendangan legenda negara kita seperti Allahyarham P. Ramlee dan Allahyarham Sudirman.

Lagu yang terus malar segar, dan hampir mustahil bagi pemegang kad pengenalan sah Malaysia (bangla, indon, nepal boleh turut serta) tidak mengenali kedua-dua tokoh seni ini.

Tapi....

Konsert Kenangan Sudirman....

Aku tak rasa itu yang Allahyarham perlukan atau mahukan 'di sana'....

Al-Fatihah...

Wednesday, May 30, 2012

HERAN AKU.....

Heran aku...

Bab nombor plate pon nak bergaduh sakan..
Bukan main lagi membela...

Siap buat-buat lupa...

Entah sape entah dulu yang nak kuasa sultan dihadkan...
Entah sape entah dulu yang nak harta sultan-sultan disiasat...

Aiceh, buat-buat lupa pulak...

Heran aku...

Bab nombor plate pon nak bergaduh sakan...

Jangan...
Gaduhkan benda kecik-kecik, nanti benda besar-besar pulak yang ditelanjangkan..
Memang selalu camtu...

Heran aku...

Bab nombor plate pon nak bergaduh sakan...

Tuesday, May 29, 2012

KAMPUNG

Engkau mungkin ada apa yang aku tiada

Kau ada kereta mewah
Kau ada kerja besar
Kau ada bini langsing rupawan
Kau ada banglo bak istana sultan
Kau ada segalanya yang kau mahukan
Walaupun bukan itu semua yang kau perlukan

Tapi, aku juga ada apa yang kau mungkin tiada

Aku ada keluarga bahagia
Ayahku petani, banting tulang di bendang
Ibuku ralit menjahit tempahan
Adik-adikku berjaya dalam pelajaran

Aku ada kampung yang segar permai
Sekeliling kau boleh lihat hijau bendang terbentang
Mungkin kau penuh dengan kekayaan
Setakat Paris, Rome, London itu tempat kau jalan-jalan
Tapi kau tetap melopong melihat indahnya pemandangan
Kampung ini

Aku bangga aku anak kampung
Dan lagu Anak Kampung Jimmy Palikat bukan untuk aku
Itu lagu kecewa bercinta
Di kampung tidak ada kekecewaan yang menoda
Kerana yang melatari hari-hariku di sini
Hanyalah bahagia


Thursday, May 17, 2012

SELAMAT HARI GURU


Aku jarang menangis. Kononnya air mata lelaki itu mahal. Jangan dibazirkan pada tempat yang tak sepatutnya.

Tapi...

Bukan di tarikh 16 Mei. Tarikh keramat setiap insan yang bergelar guru, cikgu, ustaz, ustazah, mudarris, sensei, sifu dan lain-lain lah.

Cukup apabila anak-anak comel datang tersenyum dan bersalam mengucup tangan dengan iringan ucapan "Selamat Hari Guru, Chegu..."

Bukan hadiah yang dinanti. Bukan penghargaan yang ditanti. Cukup sebuah ingatan...

"Chegu... Ni je saya mampu bagi, hadiah untuk chegu.. Mak ayah kirim salam..." Seisi dunia sekali pun, takkan mampu dinilai dengan sebiji karipap lemau yang dihulur dengan penuh keikhlasan dari anak didik.

"Chegu, hari tu marker pen chegu habis kan. Ni saya beli kat kedai 2ringgit. Selamat Hari Guru, chegu..."

............................................................................................................................................................

Bagi para guru. Kita mungkin berkongsi perasaan yang sama, apabila kita sungguh-sungguh lagi ikhlas menyanyikan lagu "Kami Guru Malaysia". Menangis dalam hati...

Selamat Hari Guru semua. Al-Fatihah buat guru teragung, Muhammad s.a.w, ibu bapa kita, guru-guru kita yang terdahulu mendidik kita dan semua dari kita.

Sekadar perkongsian pesanan dari Guru Utama Lian Padukan, Dr. Haji Hashim. Kita hidup di dunia biarlah buat 3 perkara. Buatlah jasa. Tak mampu buat jasa, balaslah jasa. Tak mampu balas jasa, kenanglah jasa.

Selamat Hari Guru. Adeh, lambat sehari. Brokben wat hal....


Tuesday, May 8, 2012

GUA ROCK, GUA BERIMAN - APA MASALAH?


GUA ROCK, GUA BERIMAN - Ini tagline dari antara gitaris tersohor tanah air yang sudah menemui jalan keinsafan, Bro Sham Kamikaze.

Beliau pernah melalui jalan-jalan yang terlalu peribadi untuk diceritakan. Akhirnya, beliau dengan keputusan beliau sendiri, menamatkan kejahilan dengan penghijrahan.

Sepanjang penghijrahan beliau, sedikit demi sedikit anak-anak muda juga menuruti belakang beliau, semakin mendekati apa yang selama ini media-media yang ada di negara kita cuba jauhkan - agama.

Approach beliau mudah. Beliau ada muzik, sesuatu yang dekat dengan anak muda. Selama ini muzik itu semata-mata hiburan. Sekarang beliau mengajak anak muda dan sidang pendengar mendengar muzik, untuk mendekatkan diri dengan kebenaran. Kaedah atau uslub dakwah itu kan pelbagai, kenapa mesti disempitkan, kan?

GUA ROCK, GUA BERIMAN - Salahkah anak muda, atau anak tua (rockers kental kan banyak dari golongan tua, jangan tipulah) yang rock, turut merasai kemanisan iman? Atau iman itu hanya milik ulama, ustaz-asatizah, imam-imam, kadi-kadi?

Siapa pun kita, label apa pun yang disandang, bila dihiasi dengan iman, insyaAllah, kemanisannya dapat dirasa.

GUA ROCK, GUA BERIMAN - Kalau tukar jadi Gua Hip Hop, Gua Beriman pun - pada aku yang bukan ulama, ustaz-asatizah, imam-imam atau kadi - tiada salahnya. Rapping sambil memuji kebesaran Allah, meratapi kejahilan manusia mengenal Tuhan dengan satu lagu yang panjang liriknya boleh buat full album punk rock, tiada salahnya.

Ada ilmu, tapi suka nak cari salah orang. Betul cakap bos aku, benda paling senang kat dunia ni, kondem salah orang. Benda yang paling susah nak buat, puji kebaikan orang.

HARAM - HALAL

Demonstrasi jalanan - haram

Porno dan Majalah Mangga - HALALAN TOYYIBAN

enough said.....

Monday, April 30, 2012

HIDUP

Hidup boleh saja
Kau letakkan apa-apa makna
Buka mana-mana kamus
Untuk kau ertikan tafsirannya

Ada waktu-waktunya
Hidup tak kau temui hanya dari baca-baca
Perlu kau keluar bermain
Kau rasai terjatuh
Kau rasai menangis
Untuk kau maknai erti hidup

Ada orang-orang kata
Erti hidup itu pada yang memberi
Ada juga yang berkata
Hidupmu bermakna bila kau bahagia

Hidup jangan kau cemarkan
Dengan kotor sampah fitnah dunia
Seperti para koruptor, diktator
Free loader yang menganga, tunggu disuapkan

Saturday, April 28, 2012

BERSIH 3.0

Untuk tidak menulis tentang BERSIH adalah sesuatu yang tidak mampu dilakukan, jika kita benar-benar rakyat pendukung keadilan sejagat.

Ya, kalau mahu baca tentang itu ini, tentang dalil naqli mahupun aqli tentang pengharusan, pengwajiban, pengharaman BERSIH, baca mana-mana sumber yang kamu mahu.

Selaku pendukung amanah menyampaikan ilmu, saya sudah tentu mahu warga yang lahir dari pen marker (sekarang zaman pakai white board) dokongan saya, adalah warga yang sentiasa mahu berfikir, mahu menyoal, mahu tahu, mahu jawapan, mahu cadangan.

Dengan jumlah penduduk Malaysia kurang lebih adalah 27 juta orang, saya kira bukan semua seia dan sekata dalam satu-satu hal. Awal-awal lagi dalam Al-Quran yang saya imani ada menyatakan tentang kepelbagaian bangsa-bangsa manusia, dan betapa pentingnya meraikan setiap perbezaan dengan berkasih-kasihan dan bersayang-sayangan.

Sayangnya... Kita meraikan perbezaan dengan ketakutan. Kita raikan kelainan setiap antara kita dengan prejudis. Dengan memandang jiran kita sentiasa mahu menunggu kita rebah, sedangkan dia sentiasa ada untuk kita, membantu kita. Kita menyimpan syak. Eh, atau saya yang keliru, betapa di Malaysia sebenarnya tidak begitu?

Kembali ke tajuk. Tajuk penting sebagai kemudi, sebelum saya melalut melaut. BERSIH.

Saya tidak menyokong mereka, walaupun saya ada t-shirt 'Unggun BERSIH' warna kuning dengan wajah Pak Samad yang saya kagumi. Saya beli kerana saya rasa ianya 'cool', dan rugilah saya sebagai penggila bundle dan rare item tidak memilikinya. Dia Sasterawan Negara, Sasterawan milikan rakyat. Dia menulis dari mana asal hatinya. Dan dia sudah terlalu matang dalam sepak terajang yang kita, yang sentiasa kenyang, sendawa, belum tentu faham. Adakah dia salah perhitungan, meninggalkan dunia penulisan yang dia antara rajanya dan biarkan dirinya diganyang hanya semata-mata mahu glamor?

Pendukung BERSIH ramainya pembangkang. Pembenci BERSIH ramainya pencadang. Kenapa perlu membangkang? Dan kenapa perlu membenci pembangkang?

Sebenarnya - yang saya rasa benar, belum tentu benar bagi kamu - kita diuji membuat pilihan. Membeli kasut pun kita jenuh berpusing-pusing satu kompleks, satu pekan barangkali, untuk mencari pilihan terbaik dari segi rupa, kesesuaian, harga dan keselesaan kita. Epal, oren dan durian sama-sama buah-buahan, sama-sama berkhasiat, tapi kita diberi pilihan mahu yang mana satu dijadikan santapan. Mahu bergitar pun orang pilih antara Gibson, Fender, Ibanez, ESP, Kapok, itu kemahuan dan kesesuaian, selagi poket mengizinkan.

Pendukung BERSIH mahukan pilihanraya yang BERSIH. Pembenci BERSIH menyatakan sistem yang ada sudah terlalu suci dan bersih, atau maksum barangkali, tak perlu ubah apa-apa.

Pendukung BERSIH mahu duduk diam-diam dan bantah. Pembenci BERSIH melihat mereka mendatangkan kerugiaan dan sampah.

Pendukung dan pembenci sama-sama mencatat sejarah. Biarlah tinta sejarah memberitahu anak cucu kita nanti, apa yang kita-kita - yang waktu itu di alam barzakh menunggu kebangkitan kiamat - sudah lakukan untuk masa depan mereka.

Saya, dengan rendah hati, hanya mahu menyatakan. Walau apa hasilan dan dapatan yang bakal kita perolehi di masa hadapan, saya hanya mahu menjadi seorang tua yang boleh berbakti dan berkongsi. Bukan orang tua yang hanya tahu berjanji mahu bagi itu ini, mahu ubah itu ini.








Monday, April 23, 2012

PERUBAHAN

Kita boleh berubah...
Kita mampu melakukan perubahan...
Perubahan yang biarlah membawa kebaikan..

Namun...

Kita jarang memberi peluang kepada perubahan..
Kita abaikan kehendak perubahan..
Kita tulikan dari mendengar rintihan perubahan...
Sedangkan perubahan itu perlu untuk kita maju..
Perubahan itu perlu untuk kita menikmati saki-baki waktu...

Berilah peluang kepada suatu perubahan..

Thursday, April 5, 2012

HUJAN LAGI...



Semalam...
Hangat membuai diri
Selesa amat
Buat aku bersemangat
Bertapak melangkah tanpa reti penat

Tiba-tiba...
Tadi....
Hujan turun lagi...
Entah apa punca...
Lihat langit tak nampak awan menggelap..
Tidak pula rasa bayu berlalu...

Hai lah hati...
Mana nak cari lagi...
Tempat nak tumpang berteduh...
Jenuh...

Hai lah hati...
Sabarlah...
Hujan memang turun tak dijemput...
Datang tak diundang...
Pergi tak dicanang...

Ada waktu, hujan itu perlu...
Basahkan diri yang lalai dalam kehangatan...
Supaya badan sejuk, mencari tuala kesedaran...

Kadang-kadang...
Hujan turun lagi...
Lagi dan lagi...
Itu kan rezeki....

(Pasir Gudang 2012)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...