Sunday, September 16, 2012

MENYANTUNI MEREKA YANG MENGGIGIT TANGAN KITA

Akhir-akhir ini, saya dan rakan-rakan terjebak dengan pelbagai hal. Banyak ragam. Pun saya tetap buat-buat tak tahu.

Selain kita sibuk dengan demonstrasi sana-sini orang membantah penerbitan filem yang menghina jujungan mulia kita, hal-hal simbah cat ke bas bawa ceramah, hal janji-janji yang dah ditabur sekian lama pun tetap sama, hal cara mengenal 'gay' di kalangan anak-anak kita (saya minta jangan saya disalah erti akan kerana ketegapan badan saya. saya hantu bersenam), kaum saya, yakni kaum guru penjawat awam sering dilemparkan dengan pelbagai pandangan salah. Atau mungkin kami yang sungguh-sungguh bersalah.

Ada rakan-rakan yang melenting. Dihamunnya orang yang menulis blog itu. Ada yang menasihati penulis blog-blog tersebut, supaya mengenang kembali jasa guru-guru. Macam-macam lagi reaksi para guru, juga bakal guru, malah bekas guru yang boleh saya lihat. Saya?

Saya ambil mudah. Mereka menulis sekadar pendapat mereka, dan mereka juga emosi dengan tulisan mereka. Itu blog mereka. Kita ada hak bukan, untuk menulis apa saja yang terlintas di fikiran.

Mungkin kedapatan guru yang begitu mengikut apa yang ditulis mereka. Saya akui, ada kalangan rakan-rakan yang begitu, menunggu 25 hari bulan, sibuk berniaga (sekarang yang hangat, produk nak kuruskan badan. Saya anti dengan barangan sedemikian. Hilang seni senaman), sibuk hal kain orang lain, dan macam-macam ragam. Tapi saya yakin, di mana-mana jua, hatta dalam pejabat Perdana Menteri sekalipun, waima pusat-pusat pengajian tinggi sekalipun, kita berhadapan dengan perkara yang sama. Jelas.

Pokoknya, jangan mudha melenting. Kita panas telinga andai kita bersalah. Kalau kita buat kerja dengan sepatutnya, malah lebih baik, kita tidak akan terasa setakat hal remeh. Sementelah kaum guru adalah penjawat awam terbesar bilangannya.

Tak perlu kita sibuk nak fahamkan orang apa bidang tugas kita. Memang kita dilingkungi dengan pelbagai tugas pengkeranian, pengurusan, pentadbiran, pelaksanaan dan macam-macam lagi. Kalau diikutkan SSM, kita layak menerima elaun tanggungan. Namun, adakah yang peduli?

Buat saja kerja kita elok-elok. Murid yang datang kita tatang, isikan dengan ilmu yang sepatutnya. Walaupun nanti ada yang bakal menggigit tangan kita yang memberi, doakan saja mereka tetap kenyang dengan limpahan rezeki.

Masing-masing ada bahagian masing-masing. Kita? Bahagian kita sebagai guru, ada sudah dalam janji Ilahi...

2 comments:

  1. hehehe menunggu 25 hari bulan.. sesak dah ni..

    ReplyDelete
  2. Setuju dengan cikgu, mungkin blog yang dimaksudkan blog ceyana :)
    Sudah boleh tutup buku, kerana pulutnya, santannya sudah habis..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...