Sunday, February 17, 2013

BUAH PUKUL - PADA MATA SAYA

BUAH PUKUL 

Sebut pun dah tak sedap. Pukul-pukul. Negatif. Langsung jauh dari nilai kemelayuan yang penuh adab sopan dan budi bahasa serta kesabaran. 

Namun inilah cinta hati saya kini. 

Selama ini bila disebut silat, langsung terlintas di fikiran kita adalah seni beladiri bangsa Melayu yang merangkumi teknik-teknik serang dan bela dan penuh kesenian dan falsafah. Untuk lebih umum, khalayak melihat silat dengan bunga tari dan limbai tangan, seni kuncian dan bantingan, kombat dan pukulan, di majlis-majlis keramaian orang Melayu. 

Tak dinafikan, dalam silat Melayu tradisi juga ada pukulan, dan kalau kita baca Hikayat Hang Tuah yang banyak berlatarbelakangkan sayembara pertarungan, banyak kaedah permainan hero kita ni adalah elak dan serang, pukul dan tikam, parang dan tendang, dan banyak lagi. Ada diceritakan tentang Tun Tuah bertari pendekar di banyak tempat, paling terkenal di Majapahit, hingga membuahkan kagum pada ramai orang, musuh dan kawan. Namun jarang tertulis Tun Tuah main kuncian. Mungkin sebab kebanyakkan kisah hero kita ni bertarung dengan penyerang yang ramai, macam dengan lanun-lanun dan orang mengamuk, jadi kuncian bukan penekanan. Apa, tak baca Hikayat Hang Tuah? Sulalatus Salatin pun tak baca? Tu duk cium keris, mengaku ketuanan Melayu bagai apa makna? Cheh... 

Berbalik pada buah pukul, yang selalu dikaitkan dengan aliran-aliran bersanad Syed Abdul Rahman Yunan. Buah pukul adalah semata-mata pukul. Tiada bantingan, kuncian, gulingan, lentingan, bunga-bungaan. Yang ada itu adalah semata-mata pukul. Memukul itu memukul, menepis itu juga memukul, membuang juga memukul. Menumbuk itu buah dan pukul itu cara memasukkan buah. 

Sekalipun buah pukul sedikit lari dari norma silat-silat semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Nusantara, namun falsafah dan pegangannya tetap ada dan sama, walaupun mungkin berbeza istilah dan pegangannya. Tapak tetap adalah yang utama, dan buah-buah adalah terbitan dari kefahaman tapak. Kalau ada yang cakap tapak tak penting, walau dari mana aliran sekalipun, ada sesuatu yang perlu diselidik lagi. Sekalipun berdiri tegak, itu tetap adalah tapak. Pernah juga saya berbual dengan orang yang kononnya membawa Pukulan 7 Hari yang mengatakan tapak tak penting. Tak bertapak pun buah sampai. Saya boleh diam saja. Sama ada kefahaman kami berbeza, atau saya tak faham pun apa yang dia maksudkan. Biarlah, pembawaan masing-masing.

Kalau cerita tentang buah pukul (bersanad Syed Abdul Rahman Yunan), tak boleh lari dari bicara tentang senjata lapan gayang lima. Bagi saya, ini adalah hakikat setiap gerak fizikal mana-mana senibeladiri, walaupun ada yang cuba menafikannya. Faham yang ini, fahamlah gerak kasar yang lain. Tau yang ini, lengkaplah syarat berdiri.

Apa ilmu sekalipun, mestilah berlandaskan petua. Buah pukul juga tak kurang dengan petuanya. Dua gerak tiga ruat, diam-gerak-gayang-ruat, hendaklah mendulu jangan menunggu, jauh dijemput datang disambut dekat direbut balik diturut, pat pat siku lipat, membujur lalu melintang patah, dan banyak lagi. Ada juga petua  yang disorok dalam madah, dan gurulah yang selayaknya menyampaikan kefahaman kepada murid. Contohnya "buah dagang yatim piatu, sambut dua tanti satu" dan "ukuran dan jangka hendaklah dipelajari, barulah diketahui syarat berdiri".

Dan sudah semestinya tujuan buah pukul untuk setiap penuntutnya adalah "Hendak mengena, Tak nak kena".




1 comment:

  1. cerita tentang silat. teringat cerita pendekar dulu-dulu zaman rusdi ramly berlakon. dia punya bunga tu mcm byk sebelum mula langkah.. hehe

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...