Thursday, June 12, 2014

GILA GAJET DAN 'SORI, AKU LUPA BRO'

Kisah ni, saya taknak ingat sebenarnya. Agak menjijikkan. Hampir buat putus sahabat. Tapi, saya nukilkan jugaklah sebagai panduan untuk masa depan, agar kalau nak bergajet tu, biarlah berpada-pada.

Kisah yang berlaku kira-kira 2 tahun lepas, di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di Tebrau, Johor.

Sahabat saya dari kampung berpindah kerja di Johor. Jurutera di sebuah perusahaan sekitar Pasir Gudang. Setelah agak lama tidak berjumpa, kami berpakatlah merayau dengan kereta saya. Kebetulan dia baru gaji, maka semangatlah meracun saya yang lebih suka tidur di hujung minggu, untuk bawak berjalan. Asalkan minyak dan makan saya ditanggung, saya ok kan sahaja.

Merayau punya merayau, makan punya makan, masing-masing perut memulas. Maka, ke toiletlah kami.

Sahabat saya ini merupakan penggila gajet. Pantang ada gajet terbaru di pasaran, pasti disambar. Saya lihat ketagihan dia ni akan gajet agak membimbangkan jugak. Gajet-gajetnya tu punya banyak, sampai saya nak menyebut pun tak reti.

Maka, di toilet, masing-masing mengambil ruang privacy masing-masing. Betul orang cakap, bila berseorangan melayan hajat, macam-macam ilham dapat. Namun, ketika menekuni ilham-ilham tersebut, saya terganggu dengan runut-runut bunyi dari kamar sebelah. Seingat saya, waktu masuk tadi, saya dengan sahabat saya je ada.

Lagu game 'Angy Bird' serta bunyi ketawa babi-babi. Cis, time dalam jamban pun main game? Apajadah?

Kami keluar hampir serentak. Saya maki kegilaannya main gajet sampai ke jamban. Dia senyum sumbing sahaja.

Tiba-tiba, dia berpusing ke jamban.

'Sori beb, aku luoa nak pam."

Saya melepas nafas berat. Bahana main game, sampai mengepam pun lupa.

Kami pun bergerak keluar. Tiba-tiba, dia berpatah balik.

"Sori beb, aku lupa. Aku lupa dah basuh ke belum."

Ini memang tak boleh blah punya lupa! Saya lantas berlari ke kereta, dan memandu pulang ke rumah. Saya dah tak peduli apa kat dia, dia balik macam mana.

Teruk sangatlah gila gajet pun!

Pengajaran : nak begajet pun, berpada-padalah.

Thursday, June 5, 2014

ADAT DAN KEPERCAYAAN : MENGAJI AL-QURAN

Saya bermalas-malas depan tivi, meneguk teh o panas yang bini buat, dan menonton American Ninja Warrior. Sambil itu, saya berlagaklah depan bini, yang kalau saya masuk rancangan tu, setengah minit siap semua halangan. Bini hanya mencebik, sambil menuang sisa teh o yang berbaki dalam teko ke mug saya.

Jam menunjukkan 1.30 am. Saya beralih ke Tivi 1 yang saya kira hanya seminggu sekali saya buka. Itu pun hanya sebab nak tengok rancangan 'Pencak' yang bersiaran jam 1.30am. Namun, jangkaan saya salah. Malam ni ada rancangan lain pula rupanya, menggantikan 'Pencak'. Rancangan dengan tajuk 'Adat dan Kepercayaan'.

Karut betul tivi 1 ni. Rancangan sebagus ini tayang 1.30am, sape nak tengok?

Malam ni, 'Adat dan Kepercayaan' berkisar tentang Mengaji dan Berkhatan yang diamalkan orang Melayu dulu-dulu. Walaupun saya taklah berusia 'orang dulu-dulu', namun Alhamdulillah, saya sempat merasa setiap apa yang dipaparkan.

Bab budaya mengaji Al-Quran, penonton ditayangkan dengan proses mak abah menghantar anak-anak ke guru mengaji di kampung, dengan dibekalkan rotan buat modal nak merotan si anak kalau buas sangat atau ketegaq masa mengaji, dan majlis khatam Al-Quran yang agak grand.

Yang saya tak sempat merasa akan budaya ini, adalah tang proses mak abah menghantar anak ke guru mengaji, memandangkan mak saya sendiri adalah guru mengaji di kawasan perumahan kami. Yang bab rotan tu, saya kira sayalah championnya dalam kiraan dirotan. Anak cikgu ngaji, wajiblah kena tibai lebih dari yang lain. Tak adil betul rasanya diperlakukan macam tu. Masa majlis khatam kami, atau saya, taklah segrand mana. Mak ayah murid-murid lain hantar sate, mihun, dan lain-lain hidangan di samping pulut kuning rendam ayam yang mak saya sediakan. Takde pelamin-pelamin macam cikgu mengaji lain buat. Mungkin sebab mak saya tak pernah nak terima upah ajar mengaji, maka yang mampu kami dapat masa majlis khatam hanyalah makan-makan sikit. Alhamdulillah..

Saya fokus kat bab mengaji la ye. Senang.

Dahulu, pengajian Al-Quran sangatlah dititikberatkan. Seoramg kanak-kanak tidak akan diakui kedewasaannya jika belum khatam Al-Quran, walaupun sudah berkhatan. Waktu saya sekolah rendah, saya sangat bercita-cita untuk memasuki sekolah asrama. Nak rasa duduk jauh dari family, tak bolehlah mak abah saya nak merotan saya bila saya nakal. Syarat yang mak saya bagi agak ketat - wajib khatam Al-Quran sebelum darjah 5. Struggle la saya  menghabiskan bacaan. Mak cakap, kalau Quran tak habis baca, tak cukup syarat nak duduk berjauh dengan mak.

Dahulu, sebelum masuk ke fasa Al-Quran, kena habiskan Muqaddam atau Juhama. Sekarang, era baru ni guna Iqra'. Bila saya belek, betul Iqra' sangat membantu untuk bacaan. Namun cara dulu bagi saya sangat nostalgik.  Mengeja huruf dan baris dengan berlagu (bukan qiraat, jauh sekali tarannum) dan disudahi dengan 'wau sin sabdu ateh was sin ateh sa lam alif ateh laa mim depan mu, wassalaaaamu'. Sangat memorable.

Banyak lagi pengalaman masa belajar mengaji dulu. 1st try mengorat anak jiran (dan dikecewakan sebab 'kau tak sunat lagi, aku tak nak kawan'), kena rotan sebab ponteng (orang ramai-ramai mengaji, anak cikgu ngaji lari main gasing time maghrib) dan lain-lain. Mak juga ramai anak angkat sebab mengajar ngaji. Tu sebab walaupun dah berpindah, senang kami nak berjalan mana-mana. Ada je anak-anak angkat mak.

Alhamdulillah, walaupun kami ni taklah dalam keluarga agamawan, asatizah dan ulama, mak abah usahakan jugak agar Quran jadi bacaan kami. Abah cakap, jangan malukan keluarga dengan tak boleh mengaji bila diminta. Orang dulu-dulu cukup jaga, kalau-kalau anak depa tak boleh mengaji.

Dan zaman berganti. Kaedah pembelajaran pun makin pelbagai. Apa pun cara, kaedah, jenama, kita usahakanlah generasi terkemudian kita mampu membaca Al-Quran. Tak jadi ustaz pun takpe, yang penting Quran jadi bacaan wajib. Sikit sebanyak, kita harapkan berkat mengaji tu, generasi akan datang terhijab dari gejala yang bukan-bukan.

MEMANCING, KERAS HATI VS LEMBUT HATI, 'DIKEJAR MAYAT' DAN 'ANDA BOLEH JADI JUTAWAN'

Sambungan yang lepas

"Aku dah hembus-hembus umpan aku ni. Apahal tak kena sekor pun? Ada ikan ke tak kolam ni?" Dengus sahabat saya. Saya buat tak peduli. Main game Word Search lagi menarik.

"Hang tak cukup menuntut ni. Nah baca buku ni, kalau ada ilmu power-power hang nak try," saran saya sambil menyua buku 'Bercakap Dengan Jin' sambil ingatan "jangan bukak aku lipat. Nanti lost."

"Ceh," balas sahabat saya yang tak reti bersyukur dengan bantuan saya hulur. Jenis Melayu lupa diri jugak dia ni. Dilontarnya mata kail ke kolam sekali lagi, dengan iringan lafaz 'Bismillah....'. Bagus, macam tu la.

Hening seketika.

"Hang tau tak, pertandingan apa yang boleh buat hang jadi kaya kalau menang, tapi lepas tu kena guna duit menang tu nak rawat hang balik, sebab sepanjang proses hang nak menang, hang akan dapat penyakit?" Tanya sahabat saya. Apa jadah memancing asyik berbual je ni? Mana la nak dapat ikan, ikan dengar suara orang berbual.

Tapi sebagai sahabat soleh, saya usaha jugak jawab. American Ninja Warrior, teka lagu, pertandingan Akademi Fantasia, Pencetus Ummah, Kilauan Emas, dan lain-lain. Semua dipangkah salah oleh dia.

"Salah ! Salah ! Salah ! Salah ! "

"Hah, apa jawapan dia? Letih dah aku!" Geram saya. Mengganggu saya nak pecah rekod game 'Word Search' yang bini saya buat.

"Haha! Jawapan dia, peraduan 'Anda Boleh Jadi Jutawan' yang duk canang kat iklan tv. Hang nak masuk tu, kena beli produk dia. Dah beli kena minum, kena makan la benda-benda 3 in 1 tu. Kencing  manis, diabetes, obes kemfem datang punya, Keh keh keh!"

Gila deep dia punya teka-teki.

Tuesday, June 3, 2014

MEMANCING, KERAS HATI VS LEMBUT HATI DAN 'DIKEJAR MAYAT'

Cuti persekolahan ni, saya sempat meluangkan masa menemani seorang sahabat memancing.

Saya bukanlah kaki pancing, walaupun saya sangatlah menggilai kartunis Ujang dan mengumpul majalah Lanun yang pernah diterbitkan beliau suatu waktu dahulu.

"Jom teman aku memancing. Kita gi kolam je. Aku support semua." Kata sahabat saya. Maka, saya pun berpergianlah, menemani dia. Bukan apa, bini saya tengah mengandung di rumah, dah masuk 5 bulan. Orang tua-tua cakap, sedang bini mengandung ni, jaga-jaga perangai dari berbuat hal pada alam. Dan saya sendiri berat hati nak tinggalkan bini lama-lama.

Bertemankan naskhah kebanggaan rakyat Perak iaitu Jilid 1 Siri Bercakap Dengan Jin terbitan semula oleh Nafiela Books dan janji sahabat saya "kita gi tak lama, sekejap je, aku nak lepas gian", saya pun turutlah.

Piuuuunggg!!

Mata kail dilontar ke muka kolam. Percikan airnya memecah bebayang mentari. Sambil saya, merebahkan badan di hampar tikar, menyelak helaian Bercakap Dengan Jin di tajuk 'Dikejar Mayat', saya mengunyah jeruk pelam yang mak bekalkan.

"Ni pancing mesti makan habuan la hari ni. Aku dah tilik siap-siap nak keluar tadi. " ujar sahabat saya memecah kebuntuan. Saya balas dengan puuuuuuiiiii yang panjang.

"Hang tau, banyak benda jugak dah aku tempuh. Alhamdulillah, aku tau yang Allah sayang kat aku."

Nada percakapan sahabat saya berubah. Saya tau, dia cuba menarik perbualan ke kancah yang lebih serius. Maka, dengan hormatnya saya bangun membetulkan duduk, dan menyua tupperware kedai 2 ringgit berisi jeruk pelam kepadanya. Saya lipat bacaan tadi, pada mukasurat hero dan datuknya yang lagi hero berganti memijak bulu burung gagak untuk mendiamkan mayat dari bangkit merusuh.

"Hang kenal aku. Aku suka baca buku macam-macam. Sastera, politik komunis, demokrasi, liberalisme, kapitalis macam-macam aku khatam. Bab agama, cross religion dialog, syiah sunni, muktazilah, semua aku lenjan. Aku belajar juga berdebat, mantik. Bila orang lawan hujah dengan aku, semua aku tibai, aku paku balik."

Saya dengar. Memang saya akui, sahabat saya ni handal berdebat. Tingkatan 4 dah wakil negeri ke kejohanan  debat kebangsaan. Bab membaca, memang power. Saya bergelumang dengan Crayon Shin Chan, Great Teacher Onizuka dan lain-lain, dia dah menyelak-nyelak Saudagar dari Kuala Lumpur, Salina dan tulisan-tulisan kritis Dr. Maza dan Faizal Tehrani. Yang tajuk omputih jangan tanyalah, saya nak sebut pun tak reti.

"Sampai satu masa, orang cakap hati aku keras. Hujah aku keras, walaupun betul. Dan aku bangga pulak dikatakan begitu. Berhujah, berdebat bagi aku satu kepuasan, lagi-lagi bila menang. Zaman fb ni pulak, aku lagi rajin berdebat dalam fesbuk, mana-mana page tokoh politik, pemikir, agama."

Air kolam sedikit berkocak. Umpan sahabat saya dipatuk ikan barangkali. Kemudian diam semula.

"Tapi tu la, aku sampai tahap tak tenang kalau lawan debat aku tak putus hujah. Sampai aku asyik online je, berlawan hujah dengan entah sape-sape. Bila aku bagi hujah, cepat dia bidas. Benda ni berlanjutan, sampai bini aku pun marah. Sibuk mengadap fesbuk, berdebat tak tentu hala. Aku cakap, aku tak kira. Yang penting lawan aku ni senyap, putus hujah. Baru aku puas."

Memang saya ada terbaca jugak, debat kawan saya ni dengan budak universiti mana entah, dalam satu page yang saya pun like. Tapi saya tak ambik pot pun. Panjang-panjang sangat. Rajin betul depa ni menaip. Takde keje lain ke?

"Sampai la satu hari, entah apa sebab, aku belek tafsir Quran kat surau kita ni. Aku baca tafsir satu persatu, dari Al-Fatihah sampai habis juz 1. Seronok rupanya baca pengkisahan dalam Quran. Dulu aku belek tafsir sebab nak cari dalil, nak berdebat. Bila baca tertib-tertib, cantik rupanya Allah susun cerita dalam tu."

"Aku pun try-try buka kitab Fadhail Amal yang siak suka baca lepas solat Subuh. Balik rumah, aku godek kitab-kitab tasauf arwah ayah aku."

Dia diam sekejap. Mengalihkan pandangan ke arah lain, yang mukanya saya tak nampak. Suaranya makin dalam.

"Aku teringat arwah ayah aku cakap. Baca buku banyak-banyak boleh, tak salah.Tapi Quran jangan tinggal. Baca makna sekali. Ni kitab Manhaj Al-Abidin, buku Pusaka Tok Kenali, ambik masa baca sama. Bagi lunak hati. Ni, hang dengan ayah pun nak lawan berdebat. Ayah tak pandai cam hang bab mengaji."

Saya teringat raut wajah arwah ayah sahabat. Tenang orangnya.

"Rupanya, sakan berdebat ni buat hati jadi lagi keras.,...." tangan kanan sahabat saya dibawa ke pipi kanannya, yang saya tak nampak. Saya diam aje.

"Sebab tu aku suka memancing. Lepas arwah dah takde, aku mula memancing. Bukanlah nak ikan sangat, cuma nakkan masa berdiam sorang-sorang. Tak lagi sibuk nak online, nak berdebat tak keruan, Bini aku pun faham."

Saya senyum je. Saya faham, saya diajak ni pun, supaya dia boleh melepas segala yang terpendam di hati. Takkan nak bercakap sorang-sorang masa memancing. Gile ke apa. Nak dicerita pada bini, bukan semua hal kaum bini-bini ni boleh faham. Tapi kalau pada saya, saya senang cerita semua hal pada bini. Faham tak faham tu nombor lain.

Selang  minit kemudian, kami ke topik-topik Piala Dunia, Piala Thomas yang kita terlepas, tentang X-Men yang saya belum tengok, tentang konsert Taylor Swift dan lain-lain.

Ikan tetap tak kunjung datang, walaupun jeruk dah habis 2 tupperware kami selesaikan. Tajuk 'Dikejar Mayat' itulah yang terlipat sampai saya pulang.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...