Wednesday, April 27, 2016

DR ZAKIR NAIK

Tulisan pertama di tahun 2016!

Lama jugak bertapa dalam gua, dengan harapan nak dapat pencerahan.

Alhamdulillah, saya sihat, kalau ada yang sudi bertanya. Makin 'sihat' gayanya. Tuah berbinikan orang yang rajin dan handal memasak. Kui kui kui....

Tulisan ini adalah tulisan 'tertinggal kereta api'. Saja saya melengah-lengah menulis bab ni, kerana jerebu polemik yang melanda negara ketika itu agak menghasilkan bahang, yang saya lihat hanyalah dipenuhi debu emosi, emosi, dan emosi.

Dr. Zakir Naik. Figura dakwah dan cross religion dialog yang agak gah namanya di dunia. Dah pernah pun datang Malaysia sebelum ni, cuma sekarang yang jadi hangat dengan isu itu, isu ini.

Apa yang dapat saya simpulkan selaku penonton TV bertemankan kuaci semasa polemik ini berlangsung, adalah:

1) ramai kaum Muslim yang cakna dengan hal berkaitan aqidah
2) ramai kaum Muslim yang tidak cakna dengan hal berkaitan aqidah
3) ramai kaum Muslim yang faham tentang maksud fiqh, akhlaq dan aqidah
4) ramai kaum Muslim yang tidak faham tentang maksud fiqh, akhlaq dan aqidah
5) ramai yang tenang
6) ramai yang gelabah
7) sikit yang makan kuaci depan tv




Saturday, November 7, 2015

SEPAGI MENYEPI : KENANGAN DI KL SENTRAL

 Sungguhpun segalanya sudah pun termaktub tetap, kita masih mempunyai peluang untuk membuat pilihan. Dan dengan iman yang kukuh, mahupun bersisa, setiap pilihan yang mahu, sudah atau sedang dibuat itu juga sudah pun termaktub dalam ketetapan.

Saya diberi peluang - Alhamdulillah - untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pendidik. 'Guru', nama rasminya. Namun saya lebih selesa dipanggil 'cikgu'. Sebelum menyandang tugas ini, pelbagai jawatan dunia sudah saya sandangi. Jaga toilet, tukang cuci di KL Sentral, outdoor trainer, pegawai pendidikan alam sekitar ketika bersama Malaysian Nature Society, dan lain-lainlah. 

Sekali-sekala menoleh kebelakang, seronok juga. Ada moment-moment tertentu yang menginsafkan. Dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa bulanan, di tengah-tengah malam, sehingga ditumpangkan oleh seorang pemilik bengkel signboard yang mesra dipanggil 'Pak Su'. Ini kenangan yang saya bayar dengan harga mahal sewaktu hidup di kota kejam Kuala Lumpur, sewaktu tercari-cari kerjaya, yang penyudahnya saya merelakan diri menjaga toilet, sebelum akhirnya diterima bertugas sebagai cleaner beruniform biru di KL Sentral, di bawah syarikat Maizad Sdn. Bhd, kalau tidak silap ingatan saya.

Menyorokkan identiti selaku pemegang ijazah, saya bergaul dengan kawan-kawan lain. Ada pekerja tempatan, Myanmar, Indonesia, dan lain-lain. Seronok. Pelbagai ragam, pelbagai masalah yang kami hadapi.

Berseorangan di jam 3 pagi, mengemop lantai di stesen antara bandar adalah antara perkara paling gila saya buat. Mereka kata saya berani, tapi saya fikir saya gila.

Cuba-cuba juga 'mengayat' gadis-gadis yang bertransit di KL SENTRAL, saling cabar-mencabar dengan seorang sahabat yang bekerja di 7 Eleven. 10 yang kami 'ayat', 10 yang gagal. Haha. Hensem mana pun kalau pegang batang mop, komfem awal-awal kena reject. Di situ saya belajar, jangan pegang mop masa mengorat. 

Juga kenangan berjalan-jalan lewat malam seorang diri di sekitar Brickfield di tengah malam. Sembang menyembang dengan gelandangan. Tengok orang kejar-mengejar, bergaduh barangkali. 

Di suatu ketika, di saat belum bergaji. Duit tabung sudah tak bersisa walaupun jenuh dikorek. Makan sudah tidak lagi jadi keutamaan, kerana tiket komuter perlu juga dibayar (saya menumpang bengkel di sekitar Kampung Medan). Setiap hari, dengan muka tak malu mengecek roti expired dari sahabat saya di 7 Eleven. Ada rezeki lebih sikit, restoran Melayu di situ (tak pasti ada lagi tak) sering menyedekahkan kepada kami para cleaner, nasi bungkus yang tidak habis. Baguslah, daripada dibuang, baik bagi pada kami. Lagi sedap, kadang-kadang sorang sahabat dari KFC sering bagi kami ayam-ayam goreng. Semoga murah rezeki dia.

Dan di suatu ketika, dalam jam 12 malam ke pukul 1 pagi saya kira, saya buat OT. Kerana tiada makanan, dan tidak mampu beli makanan, saya tidur dalam keadaan lapar, waktu rehat. Siapa-siapa yang biasa tidur masa perut kosong lapar sungguh, pasti perasan yang badan kita akan mengerekot (?) dan sangat tidak selesa. Inisiatif seorang makcik, mengumpul sejemput nasi dan lauk dari setiap cleaner on duty malam tu, dan mengejutkan saya supaya sama-sama makan. Ya, saya makan nasi dari pekerja-pekerja yang asalnya dari sini, Myanmar, Indonesia, Bangladesh.

Nasi yang kemudiannya berkuahkan 'air mata' itu adalah hidangan paling lazat pernah saya rasakan seumur hidup saya.

Keluarga, kawan-kawan kampung, kawan-kawan study sering bertanya mengapa saya memilih kerjaya cleaner ketika itu. Ada kelulusan, tambahan saya muda lagi waktu. Hensem tu, adalah sikit-sikit.

Pada saya, saya cuma mahu mencuba. Hidup ini ada waktu kita perlu mencuba. Yang positiflah. Dadah dan arak jangan dibuat cuba. Naya hidup.

Cubaan saya itu tak lain adalah untuk mencapahkan sudut pandang dari setiap lapis masyarakat. Saya tidak akan berada di tingkatan paling tinggi dalam masyarakat, namun setidak-tidaknya saya pernah merasa berada di tingkatan paling bawah, untuk saya sedar diri di ketika saya berada di pertengahan.

Setidak-tidaknya, saya tahu apa rasanya lapar yang sangat-sangat lapar, dan disimpatikan oleh mereka yang tak pun berkemampuan dari segi harta, tapi hebat dari dalam jiwa. 

Ada jugak yang sudi baca cerita boring ini. Semoga anda dirahmati Allah.






Tuesday, November 3, 2015

VAPE, ROKOK DAN MORAL

Khabarnya harga rokok nak naik pulak. Entah kan ye, entah kan tidak. Apa pun, saya tak terlibat dengan kenaikan atau penurunan harga rokok, memandangkan saya bukanlah perokok.

Cuma sekarang ini adalah kebangkitan 'vape' yang 'kononnya' dicipta untuk membantu mengurangkan ketagihan perokok terhadap rokok. Namun, terjadi sebaliknya, 'vape' semakin 'trendy' sekarang di kalangan muda-mudi yang terjerat dengan 'trend' semasa, jenis takde jati diri, jenis mangkuk ayun.

Secara peribadi, saya melihat permasalahan 'vape' ini adalah berkaitan dengan moral dan adab. 'Bangsa vape' ni bersungguh-sungguh mengatakan bahawa penggunaan 'vape' adalah selamat dari segi kesihatan, lebih selamat dari rokok sebenar. Dari segi ini, memang pointnya ada, walaupun ada yang direka-reka.

Namun kalau dilihat dari sudut moral, 'vape' merenggut perasaan malu kaum hawa dan membenihkan berani kepada golongan bawah umur untuk mencuba menyedut bahan-bahan berasap ni. Bukti jelas nyata, ada kalangan betina yang bertudung dengan sewenang-wenangnya menyedut menghembus 'vape' ibarat malu tu sudah tiada nilai lagi. 

Kemudian datanglah bunyi-bunyi 'bangsa vape' (meminjam ayat si meran) mem'backing' wanita-wanita mangkuk dari kalangan mereka ini, bahawa kita-kita yang membantah 'vape' di kalangan wanita adalah jumud, dalam tempurung, akal singkat, tidak berfikiran terbuka dan segala macam tohmahan negatif dari orang yang akal kat tapak kaki. Lagi-lagi si 'datuk' anak menteri tu pulak pun adalah kaki 'vape'. Macam haram kan, 'vape' adalah lambang keterbukaan.

Saya mudah sahaja. Macam ni lah. Kepada kaum muda-mudi yang kaki 'vape' ni, cuba bawak awek atau tunangan kamu berjumpa dengan mak ayah kamu. Lepas makan, biasanya kaum awek ni akan meringankan tangan menolong bakal mak mertua di singki, membasuh pinggan. Biasalah tu, itu norma.

Waktu lepas makan, masa sesi kenal mengenal, cuba sua kat awek ni 'vape', macam biasa yang kamu dan awek kamu buat masa dating-dating. Kalau awek kamu sambut, dan menghembus asap 'vape' berkepul-kepul dengan pelbagai rupa dan bau depan  mak bapak yang membesarkan kamu dengan tenang, cuba lihat pula muka mak ayah kamu. Kalau sama-sama tenang, sama-sama capai 'vape' dan berjemaah 'fogging' rumah, tulisan saya ni takde nilai di sisi kamu.

Bila ada jemaah-jemaah 'vape' ni, tiba-tiba saya merasakan perokok lebih ada moral. Mereka menyumbang jugak cukai kepada negara. Paling tidak, saya belum jumpa lagilah wanita Islam bertudung hisap rokok tepi-tepi jalan. "Vape", dua tiga kali. Perasaan tu, rasa macam nak hantar kaki ke muka mereka je. Bertudung tapi moral ke jamban. Macam asap 'vape' jugak agaknya, sedap disedut, dihembus keluar kemudian menyirna tiada nilainya.

Saya bukanlah marah. Nak 'vape' ke, apa ke, ingat-mengingatlah sesama kita. Kaki 'vape' yang lelaki, kalau ada wanita yang hisap 'vape' berhampiran kamu, dan kamu merelakannya, terbukti kamu dayus dan mungkin batu ladung kamu sekitar sebesar biji sawi sahaja.

Maafkan saya kalau teguran tentang moral ini disampaikan secara tidak bermoral. Koh Koh Koh!


Tuesday, October 27, 2015

HAI, RINDU I KE?

Lama sungguh tak meng'update' laman ni. Entah apa yang disibukkan saya sendiri pun tak tahu. 

Walau macam mana pun, tugas adalah tugas. Tugas itu tanggungjawab, yang diakauntabilitikan kepada kita. Jadi saya rasa, tak perlulah saya merengek-rengek bercerita tentang beban tugas di sini. Bab merungut-merungut ni, bagi dengar ke bini je baru ada 'kick'.


Alhamdulillah, saya dan keluarga sihat, kalau-kalau ada kawan-kawan yang bertanya. Anak dah masuk 1 tahun 1 bulan. Tengah bercadang-cadang jugak nak tambah sorang lagi, kalau rezeki. Anak la, jangan pikir lain pulak.


Berat badan, bertambah. Bab ni lawak seram sikit. Dulu bung-bang bung-bang cerita pasal fitness, last-last sendiri tewas kepada perubahan hormon selepas kahwin. Sekarang baru muncul kesedaran nak exercise balik macam dulu-dulu. Harapnya bolehla dapat balik six pack yang menyorok bawah lemak ni.

Membaca, alhamdulillah. Makin mencapah ke pelbagai ragam buku. Cuma bila usia dah mulai melewati angka 30 (30 tahun 1 bulan), saya makin berkira sikit dalam memilih penulis yang bukunya mahu dibaca. Entahla, secara jujurnya saya lebih terkesan dengan penulisan penulis-penulis sesenior para Sasterawan Negara. Lepat 'Terima Kasih Si Babi Hutan' adalah yang paling terbaik untuk tahun ini, yang keluar dari stereotype, selain Hamka 'Kereta Mayat'. Tulisan mereka jujur. Cuma bila para 'hipster' berkerumun membeli buku  Terima Kasih Si Babi Hutan tu sekadar nak post gambar dalam Fesbuk atau Instagram nak bagi nampak rupa ilmiah, macam pelaq jugak gayanya. Bila minta hurai sikit isi buku tu, "aku baca awal-awal je, lepas tu stop sebab tak faham, tak berapa masuk''.

Muzikal, saya terjerat secara rela dengan muzik-muzik Folks dan Keroncong. Lebih jujur, lebih 'teknikal' dalam penjiwaan, dan lebih dalam pada penghayatan. Saya terasa rugi kerana lewat meminati keroncong. Lagu-lagu puisi, kalau nak kata saya mainstream kerana banyak memilih karya-karya Brader Meor Yusuf Aziddin sebagai halwa telinga, saya rela. Tu pun khalayak bukan kenal sangat brader busker yang femes di KL SENTRAL ni. Oh, satu lagi. Busking pun nampaknya dah jadi 'hipster' sekarang, sejak-sejak Caliph Buskers keluar. Bagusla, persepsi masyarakat pada pemuzik jalanan semakin baik.

Lain-lain, takde apa sangat yang menarik nak diceritakan. Saya sememangnya seorang yang memboringkan. 

Siapa la yang rajin bebenor nak baca benda-benda boring ni...

Wednesday, April 22, 2015

SOLO GITAR TERBAIK DARI LAGU-LAGU BUKAN GENRE ROCK DAN METAL

Biasanya, kita-kita yang ketagihkan dos bunyian gitar, akan mencari-cari solo yang mengancam dari gitaris atau band feveret kita untuk melampiaskan ketagihan kita tu.

Biasanya jugak, gitaris-gitaris tersebut adalah daripada genre yang dominan dengan solo-solo gitar, iaitu rock dan metal. Tak terkecuali juga, jazz dan blues. Maka, nama-nama seperti Vinnie Moore, David Gilmore, Marty Friedman, John Petrucci, Man Keedal, Karl Cromok, Kid Search, sekadar beberapa nama, akan laju meluncur dari mulut kita bila berborak berkenaan solo gitar.

Namun, bagi saya, saya juga melebarkan telinga saya menggapai bunyian solo dari lagu-lagu yang bukan bergenre seperti di atas, dan berikut merupakan pilihan saya dari lagu-lagu pop di Malaysia, yang kebanyakannya adalah dari era 90an. 

Mungkin kamu-kamu ada idea lain, mari kongsi sama.

MADAH BERHELAH DARI ZIANA ZAIN


Part solo dia tu memang agak memorable. Bunyi macam mudah nak dimainkan, tapi kalau main setakat tiru dari Guitar Pro, tak campak soul dalam lagu tu, tak dapat folo beb.

NURANI DARI  EISYA


Lagu ini antara yang menduduki top spot dalam hati saya untuk kategori lagu-lagu feeling. Lagu ini sendiri adalah kekuatannya, dengan penyampaian penyanyi comel Eisya ni. Solonya walaupun bukanlah berdesup namun feelingnya..... Fuuuhhhh... Ish,. meremang bulu tengkuk dengar lagu ni.

FANTASI MUSIM CINTA DARI IWAN


Lagu yang sangat best dikarokekan dengan kawan-kawan. Kena pulak kawan-kawan kaki mengutuk. Saya cukup minat solo lagu ni. Waktu saya cuba-cuba cari solo ni (baru mula cari 5 minit tadi), saya terfikir macam mana emosi gitaris ni masa susun solo ni. Kemas.

FIONA DARI 4U2C


Saya kena akui, yang saya membesar di era ini. 4U2C dan KRU adalah 2 entiti yang sangat cool masa ni, ditambah dengan kartun MC Hammer waktu tu. Lagu ni kalau tak hafal, tak boleh dibuat kawan.

Bila usia menginjak dewasa, lagu ini masih mengundang senyum bila teringat waktu kecik-kecik tu. Dan bila hati mula minat bergitar, solo lagu ni yang tak pernah diambik pot, mula menduduki antara tempat terpenting dalam kategori solo-solo terbaik bagi saya. Maaf, untuk saya, solo lagu ni lebih penting dari solo kebanyakan lagu-lagu rock atau metal.

Cara gitaris menyusun solo memang cantik. Saya boleh bayangkan dia main sambil ternganga-nganga mulut, terutama part tapping masa nak outro solo tu. Antara solo idaman saya, kalaulah saya boleh mencipta solo.

Cukup kot, 4 lagu bagi perkongsian kali ni. Saya nak jugak tau pendapat orang lain berkenaan solo-solo dari lagu bukan bergenre rock atau metal yang best, terutama dari lagu-lagu pop Top 40 yang selalu keluar radio. 



Saturday, March 21, 2015

KESAN KEPARAHAN EKONOMI NEGARA




Viral di media-media sosial baru-baru ini.

Selaku rakyat marhein, saya melihat perkara ini sebagai suatu mesej jelas.

Inilah kesan keparahan ekonomi negara yang dipertanggungkan kepada rakyat.

Sejak di sekolahan, kalau buat karangan bertema masalah sosial macam pembuangan bayi, balik-balik isi penting yang digunakan ialah 1. kurang didikan agama 2. masalah keluarga.

Setakat ini, saya belum jumpa karangan murid yang menekankan masalah ekonomi adalah pencetus kepada masalah-masalah sosial yang lain. Mungkin agak rebel untuk seorang budak sekolah redah menulis masalah ekonomi negara sebagai punca, namun di peringkat rebung begitulah sepatutnya diberitahu, kan?

Mak bapak terpaksa mengerah keringat siang malam untuk menanggung beban ekonomi keluarga yang semakin menggunung, seiring peningkatan kos harian. Maka, masa bila lagi nak difokuskan untuk didikan agama anak dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Nak ke masjid hari Jumaat pun jenuh dah.

Terpaksalah sekolah menanggung kebajikan anak-anak tadi. Namun, untuk pengetahuan semua, tanggungjawab sekolah untuk perkembangan anak-anak, tak lebih 20% pun. Majoriti adalah tanggungjawab ibu bapa dan keluarga.

Entahlah.....

Semoga Malaysia semakin cerah dan menyerlah dengan GST yang tak jemu dicanangkan kebaikannya dalam TV, sampai rasa nak jumpa pelakon iklannya satu demi satu, dan di'stalait' dahi sorang-sorang.

Tau ke 'stalait' tu apa?

Monday, March 9, 2015

KEMBALI MEMBACA

Suatu hobi saya yang agak lama saya tinggalkan ialah membaca. Ya, di suatu ketika saya amatlah berahikan buku. Pantang ada buku yang menarik minat saya, saya pastikan jadi milik saya serta merta. Dari buku-buku di toko-toko buku terkenal, hinggalah ke gerai buku-buku lusuh di pasar malam, saya tak kira.

Buku paling terkini yang saya miliki, dibeli secara pukal daripada beberapa page fesbuk buku-buku terpakai seperti KOLEKTOR BUKU2 SEMALAYSIA dan lain-lain. Antara buku-buku tersebut yang saya sedang belek-belek sekarang ialah LATIFAH RABBANIAH, koleksi cerpen Arwah Azizi Hj. Abdullah terbitan DBP tahun 1976. Yang saya miliki ini ialah cetakan kedua tahun 1981. Arwah memang merupakan penulis yang berada di ranking teratas novelis yang paling saya minati.

Saya tidak meletakkan ketidakmembacaan saya ni disebabkan oleh kesibukan kerjaya dan pengurusan keluarga. Terang-terang memang saya yang pemalas. Membaca ni sebenarnya, sendiri-diri kena curi masa.

Macam kita dengan Al-Quran jugaklah. Kena paksakan jugak diri baca Quran, habis malas sehari semuka.

Maka, setelah meneliti lama perihal kemalasan saya membaca ni, saya dapati benda pertama yang saya perlu singkirkan, atau kena kurangkan ialah MASA BERGAJET.

Kita terlalu lalai dengan bergajet sekarang ni. Yang saya maksudkan dengan bergajet ini lebih menjurus kepada berhabis masa di laman sosial. Macam tak kena sangat kononnya, kalau sehari tak bukak fesbuk.

Inisiatif saya, setakat minggu ni, ialah menjadikan hari Ahad sebagai HARI TANPA LAMAN SOSIAL. Nak tolak gajet terus, wasap kena usha-usha jugak, kot-kot ada apa-apa makluman dari keluarga atau rakan sekerja.

Dan saya juga akan usahakan jugak untuk berkongsi hasil bacaan saya, macam budak-budak sekolah dengan program NILAM tu. Nak kata bedah buku, saya tak layak mengkritik hasil tulisan orang lain. Sendiri menulis pun, bersepah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...