Tuesday, November 9, 2010

Andai Kumiliki Semalam...

Andai kumiliki semalam..
Dan bisa aku ubah menjadi esok,..
Takkan kuubah apa pun..kerana aku tahu..
Engkau tetap indah..tanpa sempadan masa..

Khayal sekejap aku mendengar bait2 lagu dendangan otai rock terkemuka negara, Search (terkilan xdapat pi konsert.sigh~). Nukilan liriknya sangat menyentuh sisi lembut hati yang serasa agak keras di kebelakangan ini..

Aku akui, aku juga manusia yang punya suatu rasa. Jauh di sudut hati ini, sangat ingin cuba disayangi oleh insan lain yang bergelar ‘perempuan’. Bukan mahu menafikan kasih sayang yang tak pernah henti tercurah dari perempuan bergelar ibu dan adik, namun kesunyian diri yang sudah berusia suku abad ini amat mengharap titis cinta seorang perempuan yang layak dipanggil isteri..

Aku akui, hati ini kadang-kadang terasa amat cemburu melihat sinar bahagia yang tersuluh dari mata sahabat-sahabat yang selamat menunaikan tanggungjawab meneruskan kelangsungan sunnah Rasulullah s.a.w. Tidak pula aku mahu menafikan kebahagian mereka, cuma hati ini barangkali ingin juga merasai nikmat dicinta sepenuh jiwa..

Saban waktu, aku cuba merenung kembali jaluran masa yang telah aku singgahi. Bukan tiada wanita mulia yang bertandang di hati. Ingin kuucap terima kasih pada mereka kerana sudi mewarnai dunia duka seorang lelaki yang sunyi sepi ini. Cumanya, aku sentiasa merasa rendah diri jika digandingkan dengan mereka. Aku ibaratkan diri batu di jalanan, disepak dipijak tidak dihairankan....

Aku akui, hati ini juga tidak akan berhenti berharapkan keredhaan Ilahi. Betapa aku yakin, Allah tidak akan mensia-siakan aku selama waktu aku menumpang di bumi ini. Aku yakin, Allah telah lama mengikat hati ini dengan hati seorang wanita mulia yang akan aku tambat cintanya dengan rantai pernikahan. Betapa aku ini lemah, tidak sempurna di kaca mata manusia. Namun aku yakin dengan ketentuan Allah yang akan menyempurnakan hidupku dengan seorang wanita mulia yang akan aku serahkan sepenuh jiwa raga untuknya.

Dan aku yakin, aku belum amat bersedia untuk bertemu wajah dengan si ‘isteri’... wahai ‘isteri’, nantikan aku dengan penuh keredhaan. Terimalah aku dengan penuh pengharapan. Cintailah aku dengan penuh kesungguhan.. tidak aku menjanjikan kekayaan dan kesenangan kepadamu, andai itu yang kau harapkan. Namun, aku akan tunaikan tanggungjawab yang Allah amanahkan kepadaku untuk memelihara kehormatanmu, memelihara cintamu, memelihara kesejahteraanmu..

2 comments:

  1. fuuh... i like...
    tggu la dia...
    sesungguhnya...
    dia mmg utk mu...
    waaa...
    bombastik gler ayat

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...