Romance no kamisama by Marty Friedman
"Aku layan Greenday ngan Nirvana."
Ayat pertama perkenalan aku dengan Bakri, seorang sahabat yang bakal memperkenalkan aku, seterusnya menghanyutkan aku dalam gelombang muzik pada tahun 2001, sewaktu baru mendaftar di sekolah baru untuk Tingkatan 4. Ada ke patut, hulur-hulur salam terus tanya, aku layan muzik apa. Haih.
Greenday dan Nirvana tu pun aku petik je selamba, sebab haram aku tak pernah layan pun sebenarnya. Cuma nak nampak 'cool' di mata sorang kenalan baru kan. Padahal layan nasyid. Hehe. Ada kisahnya tentang Greenday, Nirvana dan aku....Nantilah, belum rajin lagi.
Di waktu itulah, suatu permulaan satu lagi fasa dalam hidup aku. Sorang yang 'nerd', 'noob', 'otaku' dan segala macam istilah perlambangan keskemaan, andai merupakan lencana pengakap, dah tentu-tentu terjahit kat uniform aku. Sahabat yang sorang inilah memperkenalkan aku dengan sebuah alam yang sangat asing bagi aku waktu tu - muzik. Bukan sekadar muzik, tapi muzik yang keras!
Kaset-kaset Cromok, kompilasi IMM, Langsuyr (Occulutus Mysticism), Metalasia (Khalifah Alam Maya), dan ada lagi, memang memeranjatkan aku. Tak pernah dalam fikiran aku yang suci masa tu, nak dengar benda-benda ni. Tapi sikit demi sedikit, aku semakin boleh menerima muzik sebegini adalah cabang muzik selain nasyid aku sibukkan waktu tu. Ye lah, kalau dah kawan sebilik kat hostel duk cerita benda yang sama hari-hari, terjebak jugak.
Bakri ni waktu tu ada suatu ego yang tersendiri. Seorang budak Tingkatan 4 yang takkan dengar lagu yang tak ada solo gitar! Dan aku waktu tu turut dicorakkan oleh acuan pemikiran yang sama. Lagu yang tak ada solo, tak art! Tu sebab Cromok jadi antara halwa telinga, walaupun haram aku tak dapat tangkap apa yang di 'waaarrrgghhh-waaarrrrgghhh'kan.
Dengan sedikit keberanian pecah masuk dewan makan tengah-tengah malam, sebab brader jaga dewan makan ada gitar, aku pun belajar main gitar dengan sahabat aku ni. Teruk punya garang, tali gitar dia tune gila punya tegang, semata-mata nak bagi aku susah tekan kord. Nak cepat pandai, jari kena cepat melecet, alasan dia. Berkumandanglah lagu "Mat Ganja'' di keheningan malam...
Menambahkan lagi minat, terbitnya sebuah majalah 'adik-beradik' dengan ROTTW iaitu Gitar&Bass. Dari situ, kami semakin mengenali muzik dari tingkap yang lebih luas. Ego Bakri cair, dah boleh layan lagu lain jugak. Itu jam zaman Spider dengan Aladdinnya dan Amuk dengan balada Matahari. Rancaklah kami bersenandung di malam hari.
Ah.... Kenangan. Gitar, bagi aku, merupakan suatu entiti yang menjadi magnet menarik aku mengenali ramai sahabat-sahabat yang baik. Ada yang sungguh-sungguh dan berjaya dalam bidang muzik, ada yang sekadar tau main lagu "Seri" by Handy Black semata-mata nak tackle awek kat Matrik nama Seri, ada yang pegang sebab nak bergambar dan didekati gadis-gadis, dan ada yang belajar semata-mata kerana minat dan hobi.
Aku tak jauh melangkah dengan bidang kegitaran. Tapi, gitar tak pernah tiada di sisi saat aku sunyi. Aku akui, sedikit sebanyak konfiden diri yang aku kumpulkan kini adalah bertitik-tolak dari gitar juga, yang merupakan instrumen pilihan jika ada jemputan persembahan ketika di matrik, universiti dan maktab dahulu.
Gitar - andai kita kumpulkan cerita dari setiap orang yang pernah bermanja-manja dengan instrumen ini, pasti macam-macam rasa dan peristiwa boleh diempati. Bayangkan betapa puasnya hati bila berjaya memecahkan 'mental block' pertama - menukar kord dari C ke Am ke F ke G dengan strumming yang lancar!
Kenangan.....
hanya kau dan aku yang faham...hanya 'kita' yang faham.....sedih pulak gua baca entry lu ni bro
ReplyDeletehanya 'kita2' yang faham,doc..kenangan,kita banyak belajar,membesar dengan kenangan..
ReplyDelete