Sudah agak lama aku mengumpul majalah Seni Beladiri. Senang nak kenal. Kalau agak-agak nampak model cover depan gambar atuk-atuk, itulah dia. Hehe...
Tapi atuk-atuk ni jangan disangka sebarangan atuk. Mereka ini adalah penyambung wasilah orang dulu-dulu, khazanah bangsa Melayu yang sangat dicemburui dan didahagai oleh bangsa lain - Silat.
Aku tertarik dengan artikel penulis majalah ini, Saudara Idzhar Ibrahim yang kental jiwa tomoinya tapi tetap terbuka dengan aliran beladiri yang lain. Dalam kolum 'Aku dan Penaku', beliau mengajak pembaca bersembang tentang isu yang biasa didengar di kedai kopi atau forum internet iaitu - Mana lebih kuat?
Memang, bagi pengamal beladiri yang belum matang, isu siapa kuat kerap kali menjadi modal perbualan. Belum matang bukan bermaksud belum akil baligh, tetapi kerana tidak memahami maksud sebenar senibeladiri itu sendiri. Tak faham maksud, sudah tentu tak faham tujuan, kan?
Banyak. Cerita tentang silat kalahkan tomoi, tomoi laukkan taekwondo, taekwondo sapu wingchun dan macam-macam lagi. Rasanya sape-sape yang pernah belajar sedikit sebanyak, biasa dengar, tahu hal ni dan mungkin antara penyumbang kepada 'bumbang-bumbang' sembang benda ni.
Matlamat asal senibeladiri adalah untuk melatih manusia yang kudratnya sangat terhad untuk membeladiri dengan pergerakan-pergerakan yang bukan norma harian. Well, memang ada yang cakap beladiri yang dipelajari adalah berdasarkan pergerakan asas manusia. Itu definisi masing-masing. terpulang. Pokok pangkalnya, pergerakan yang dipelajari itu digunapakai untuk membela keselamatan diri, luaskan lagi skopnya, membela keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Kudrat manusia memang terhad. Terhad, tapi bukan terbatas, tersekat. Manusia diciptakan Allah s.w.t dengan segala macam akal dan kepandaian untuk meneruskan kelangsungan sebagai khalifah di muka bumi. Jadi, Allah s.w.t ilhamkan manusia dengan antara titisan ilmuNya, iaitu senibeladiri.
Apabila bercakap tentang ilmu, keterbukaan perlu. Bidang ilmu senibeladiri sahaja terlalu luas, luasnya Ya Rabbi......aci kerat jari la, boleh dikatakan hampir setiap bangsa yang wujud di muka bumi ni ada kaedah tersendiri untuk mempertahankan diri.
Dan kita yang kononnya diajar mensyukuri nikmat Tuhan, jarang pula mahu mensyukuri nikmat kepelbagaian ilmu senibeladiri yang dikurniakan Allah kepada kita. Sibuk canang 'aku yang asli', 'aku yang paling kuat', 'tendangan aku paling laju', 'tumbukan aku paling padu'.
Secara peribadi, aku mempelajari senibeladiri untuk, ya lah, membeladiri. Guna andai terdesak. Orang merantau, alang-alang kena bawak bekalan sama, sebab tak kenal tempat orang. Pernah mempelajari 2 permainan antara yang mengasaskan PESAKA ini hari, tapi tak dalam. Pernah juga masuk-masuk bertanding, cari pengalaman. Merasa aikido, sebab hosmet kat Langkawi dulu sensei aikido. Sekarang terlekat dengan permainan buah pukul, sejak-sejak duduk selatan Tanah Melayu.
Belajar macam-macam pun, kuat ke? Tak. Kena lauk jugak, kalau kena kerumun. Cuma aku niat belajar untuk menghargai, dan mengenal keupayaan diri. Ada orang kenal diri dengan menulis, membaca, melukis, mengaji, menyanyi.
InsyaAllah, aku kenal diri dengan senibeladiri.
Siapa kuat? Takde yang lain... Allah s.w.t jua.....Titik.
No comments:
Post a Comment