Banyak persoalan. Sangat banyak. Saya ada juga berkawan, bergaul dan bersilaturrahim dengan rakan-rakan, orang tua-tua dan berjenis-jenis orang lagi yang punya pegangan dan fahaman agama, kepercayaan, budaya dan 'kotak pangkah'.
Kecilkan lagi skop, saya ada juga berkawan, bergaul dan bersilaturrahim dengan rakan-rakan, orang tua-tua dan berjenis-jenis orang lagi dari kalangan bangsa Melayu, dan saya sendiri adalah darah orang Melayu.
Sepanjang saya bercampur dengan mereka yang obses dengan fahaman politik, mereka ultra kepada ketuanan Melayu, mereka yang berpegang teguh pada syariat Islam, dan mereka yang serba tak kisah, dari pelbagai lapisan masyarakat, beberapa persoalan timbul dan bermain di fikiran saya. Saya notakan di sini, supaya apabila saya tua nanti - jika saya sempat merasa tua - soalan-soalan ini saya peroleh jawapannya atau soalan tinggal soalan.
1) Adakah pejuang Melayu dahulu dikira 'pejuang Melayu' sekiranya dia berkhidmat dengan Inggeris untuk membanteras komunis?
2) Apa bezanya penjajah Inggeris dengan komunis?
3) Mana datang istilah 'ketuanan Melayu'?
4) Adakah dengan menafikan hak Melayu, kita dikira menentang kesucian Islam?
5) Benarkah dengan mempertahankan 'ketuanan Melayu', kita sebenarnya mempertahankan kedaulatan Islam?
6) Adakah India Muslim boleh dikategorikan sebagai Melayu, sedangkan kita maklum Melayu itu asalnya Nusantara? Ah, saya ini tidaklah pula rajin membaca blog-blog yang meminati teori-teori konspirasi untuk menggali.
7) Adakah dikira menghasut atau menyebarkan dakyah, jika kita generasi muda, yang baru, banyak bertanya atau melempar persoalan berkenaan Melayu, hanya kerana kecintaan kita pada sejarah, legenda dan ceritera bangsa sendiri?
Ini semua hanya persoalan. Saya kira, nanti saya akan dapat juga jawapannya. Mungkin gelegak darah muda, suka bertanya. Suka nak tahu itu ini.
Banyak lagi persoalan yang berlegar di fikiran saya waktu ini. Apa pun, marilah kita memanjatkan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini. Perjuangan tak pernah senang, saya tahu itu. Itu sebab saya mengagumi cerita-cerita perjuangan Mat Kilau, Dato Bahaman, Dato Maharajalela, Dol Said, Rentap, Syariff Masahor, Rosli Dhobi, Leftenan Adnan, dan ramai lagi. Saya percaya, bukan sedikit darah terlimpah ke tanah bumi bertuah ini, hanya untuk memastikan kita cucu-cicit menghirup nyaman merdeka.
Juga, kita beri penghargaan kepada barisan pertahanan negara kita, tentera, polis, bomba, dan banyak lagilah. Mereka banyak berjasa untuk keamanan kita bermasyarakat. Jangan kerana satu dua isu, kita nilakan semuanya .
Untuk pahlawan kita yang beragama Islam, kita fidyahkan Al-Fatihah.....
Salam 55 Tahun Merdeka...
No comments:
Post a Comment