Wednesday, November 7, 2012

KATA KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH SEMATA-MATA, TAPI...

Dalam pada saya duduk menghadap SPPBS ni, sempat juga saya curi masa godek-godek website, blog-blog dan forum-forum persilatan. Saya suka apabila bicara yang dibentangkan adalah berkaitan dengan permainan, teknik, skil, petua,dan lain-lain. Sudah tentulah, berguru itu lebih utama. Tapi membaca untuk barang sepalit dua ilmu, apa salahnya kan.

Namun yang masih menjadi kemusykilan saya, apabila dalam pada orang-orang silat ni mencanangkan kebergantungan penuh pada Allah Azza wa Jalla, batu-batu cincin, selempang selendang, tongkat, dan lain-lain barangan 'hikmah' masih diiklankan dengan alasan - ikhtiar.

Saya kepilkan di sini, maksud dari doa Al-Mathurat yang saya kira ramai antara kita jadikan amalan sehari-hari. Ekstrak dari doa ini adalah sungguh-sungguh penghayatan sang pendoa kepada Allah, akan kebergantungan sepenuhnya hanya pada Allah, minta dicukupkan segala hal supaya dielakkan sang pendoa daripada meminta-minta pada yang lain. 

"Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut (nama) Mu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu. Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna keyakinan yang benar-benar mantap. (Ya Allah) kurniakanlah kami (ad-Deen) cara hidup yang jitu dan unggul selamat dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon (Ya Allah) kecukupan yang tidak sampai terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami (Ya Allah) iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharapkan orang lain selain dari Engkau sendiri. Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Janganlah (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang mudah dan cepat memperkenankan permintaan (perkenankanlah)."

Saya tidaklah pula mengambil contoh dari ayat al-Quran dan hadith-hadith sahih, kerana nanti sudah tentu saya menjadi mamat 'copy paste' yang berhujah semata-mata dari bantuan Encik Google. Dan saya yakin, kalangan pembaca dan ahli persilatan umumnya lebih fasih merujuk sumber naqli tersebut berbanding saya. Oh ye, saya akui, terjemahan doa ini saya 'copy paste', saya hafal arabnya, cuma terjemahan secara literal saya tak pandai nak gubah tulis bagi cantik.

Yang saya isukan adalah, masih ada perguruan yang mewar-warkan akan hikmah selendang, selempang, cincin, dan macam-macam lagi bahan yang diisikan dengan hikmat-hikmat yang mempunyai banyak khasiat. Paling best, boleh bersilat sendiri, jatuh sayang akan yang melihat dirinya, pelindung, merawat penyakit zahir batin, pelaris dan macam-macam lagi. Semuanya ikhtiar, dan di'quote'kan juga, atas izin Allah.

Saya tak berani nak jatuhkan salah, apatah lagi letak hukum. Saya tahu, Melayu itu tinggi ilmunya, dan saya sendiri ada berguru secara menghadap guru samada dari segi bersilat fizikal, ilmu-ilmu mengenal diri, amalan-amalan kependekaran lama (saya adakan sendiri sistem tapisannya, mana yang saya was-was, cukup dalam buku catatan sebagai pengetahuan), doa-doa dan lain-lain.

Apa yang saya simpulkan dari pembelajaran saya secara berguru ni, nak sihat kau kena bersenam dan jaga makan, nak handal kau kena belajar dan berlatih, sebelum nak belajar ilmu kenal diri, bab fardhu ain kena jaga sungguh-sungguh, belajar mengaji Al-Quran biar lancar dan belajar dari guru yang murshid dan bersanad, dan nak semua tu, kena doa pada Allah sebab Allah yang izinkan semua dapat kat kita.

Bila ada jual benda-benda ni, saya tengok masyarakat Melayu kita yang mana ada antaranya sedia malas, jadi makin malas. Nak handal bersilat, beli je benda tu, terus handal. Nak selamat, pakai je benda ni, terus selamat. Yakin tu secara senyap jatuh pada benda, bukan lagi Allah. Memang la pada quote semuanya dengan izin Allah. Tapi sikit demi sikit kebergantungan tu ada jugak pada benda-benda tu. Minta jauh oi...

Nak dikisahkan, saya ada kawan yang pernah ambil amalan, dan disyaratkan dia memakai cincin yang telah diwafa'kan oleh gurunya sepanjang masa untuk memastikan keselamatannya. Nak dijadikan cerita, dia suruh saya simpankan cincinnya tu masa kami mandi air terjun, sebab takut hilang. Nak panjangkan cerita lagi, saya ni memang cuai, boleh pulak salah simpan cincinnya tu. Hambik, sehari dia punya gelabah, resah tak tentu hala bila tak pakai cincin tu. Saya pun memang sungguh-sungguh rasa bersalahlah, sebab dah hilangkan barang orang. Akhirnya, jumpa jugak. Salah poket rupanya, apa punya teruk pelupa la saya ni.

Bila dah bincang secara manly, baru saya tahu punca kegelabahan dia. Dan saya pun, setakat faham yang saya ada, anjurkan dia baca Al-Mathurat dan amalkannya sungguh-sungguh. Pergantungan bukan pada cincin. Cincin tu pun kita yang kena jaga, jangan bagi hilang.

Apa pun, ini pendapat peribadi saya. Boleh saja dikritik, dan boleh saja diberikan pandangan yang lain. Saya bukanlah nak potong rezeki orang lain nak berniaga. Bila saya komen pasal produk-produk pengurusan badan pun, ada kawan yang marah cakap saya tak boleh tengok Melayu maju. Pulak... Mungkin saya berbeza pendapat dengan yang lain, tapi tak semestinya saya betul. Bila saya salah, minta tegurlah, dan ajarlah.

Nak apa-apa pun, ikhtiarkan dengan cara yang selamat dan berlandas syariat. Insyaallah. Kita nak selamat, yang bagi selamat tu, Satu tu je...










No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...