Sunday, November 11, 2012

PENAMPILAN TAK LAH YANG UTAMA, TAPI PENTING JUGA...


Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman (Al-Fatihah....)


The Late Mas Oyama Sensei


Kedua-dua di atas adalah nama besar dalam dunia senibeladiri. Seorang adalah Mahaguru Sila Seni Gayong Malaysia dan Serantau, dan seorang lagi adalah Mahaguru Kyokushin Karate.

Dua-dua saya suka kisah mereka, falsafah mereka, aliran mereka, kehebatan mereka dan lain-lainnya tentang mereka. Yang saya lebih kagumkan lagi adalah fizikal mereka. Gagah lagi berani, sesuai dengan status mereka.

Sepatutnya begitulah. Saya ulang, sepatutnya begitulah. Sesuai dengan status mereka sebagai guru, contoh, tauladan, dan rujukan generasi-generasi yang menuntut ilmu yang dipelopori mereka.

Mungkin bagi segelintir pihak, penampilan tidaklah penting. Tapi bagi saya, secara peribadi, penampilan luaran adalah juga penting walaupun bukan yang terutama letak duduknya. Sebagai guru pendidikan jasmani, menyampaikan ilmu-ilmu tentang kesukanan dan kesihatan bukan sekadar melalui pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dan di padang, malah penampilan guru sendiri yang sihat, tegap, kemas, tidak merokok dan lain-lain sedikit sebanyak menjadi perhatian dan contoh kepada anak murid.

Samalah juga, bagi saya secara peribadi, guru dan jurulatih seni beladiri sewajarnya memaparkan contoh tauladan yang baik bagi penuntut. Penampilan fizikal seperti kedua-dua mahaguru di atas adalah bonus, menunjukkan tahap disiplin yang tinggi, apresiasi dan penghayatan mereka terhadap latihan dan kecintaan mereka pada ilmu yang di bawa. Tambah lagi kita pengamal seni beladiri sibuk mencanangkan yang seni beladiri merupakan gaya hidup sihat dan pergerakannya berupa senaman yang menyihatkan. Nah, sepatutnya kita yang mencanangkan pun patut mencerminkan apa yang dicanangkan, kan.

Sejujurnya saya melihat, ramai di kalangan pengamal seni silat yang mengabaikan hal ini - kesihatan dan penampilan fizikal. Memang saya akui, silat adalah hebat ilmunya, hebat juga senamannya. Namun sayang, kehebatan silat kita ditutup dengan penampilan yang tak seberapa menarik, malah tidak sihat. Berapa ramai guru silat yang merokok? Ramai, sangat ramai. Mengaku je lah, mengapa perlu nak beralas-alas kan.

Saya jujur mencatat perkara ini. Sebab terlalu ramai yang saya lihat, pengamal-pengamal silat yang dalam kategori obesiti. Silat kan ada senaman yang hebat-hebat. Sepatutnya kita tonjolkan kehebatan silat dan senaman-senamannya melalui apa yang dihadirkan pada fizikal kita. Ini, kadang-kadang lagi tinggi bengkung, lagi berjalur sandang, lagi berbelit lidah nak menyebut gelaran, lagi timbul perut, lagi besar perut.

Ilmu banyak-banyak bawak ke perut ke?

Saya cakap pasal silat, sebab saya Melayu yang bersilat. Sekurang-kurangnya kalau orang bertanya pada saya, pernah belajar silat ke, tak lah saya malu nak mengaku 'iye'. Silat ni motivasi utama saya nak jaga badan, kesihatan dan penampilan. Setidak-tidaknya, ilmu yang guru-guru saya ajarkan tu membantu saya menjaga kesihatan.

So, takdelah nanti kita ni asyik sibuk nak cerita silat tu bagus, silat ni terbaik, silat ni boleh pukul semua dan lain-lain. Orang yang banyak cakap ni, berlatihnya kurang, atau tidak. Orang yang sibuk berlatih, mengatanya  pulak kurang, atau tidak.

Bawaklah bersenam dan berlatih jom ye. Bila dah mengata banyak sangat ni, saya pun kena ikut ingatkan diri sendiri. Nanti orang cakap meludah ke langit. Tak lalu nak cium bau ludah sendiri....





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...