Tuesday, June 3, 2014

MEMANCING, KERAS HATI VS LEMBUT HATI DAN 'DIKEJAR MAYAT'

Cuti persekolahan ni, saya sempat meluangkan masa menemani seorang sahabat memancing.

Saya bukanlah kaki pancing, walaupun saya sangatlah menggilai kartunis Ujang dan mengumpul majalah Lanun yang pernah diterbitkan beliau suatu waktu dahulu.

"Jom teman aku memancing. Kita gi kolam je. Aku support semua." Kata sahabat saya. Maka, saya pun berpergianlah, menemani dia. Bukan apa, bini saya tengah mengandung di rumah, dah masuk 5 bulan. Orang tua-tua cakap, sedang bini mengandung ni, jaga-jaga perangai dari berbuat hal pada alam. Dan saya sendiri berat hati nak tinggalkan bini lama-lama.

Bertemankan naskhah kebanggaan rakyat Perak iaitu Jilid 1 Siri Bercakap Dengan Jin terbitan semula oleh Nafiela Books dan janji sahabat saya "kita gi tak lama, sekejap je, aku nak lepas gian", saya pun turutlah.

Piuuuunggg!!

Mata kail dilontar ke muka kolam. Percikan airnya memecah bebayang mentari. Sambil saya, merebahkan badan di hampar tikar, menyelak helaian Bercakap Dengan Jin di tajuk 'Dikejar Mayat', saya mengunyah jeruk pelam yang mak bekalkan.

"Ni pancing mesti makan habuan la hari ni. Aku dah tilik siap-siap nak keluar tadi. " ujar sahabat saya memecah kebuntuan. Saya balas dengan puuuuuuiiiii yang panjang.

"Hang tau, banyak benda jugak dah aku tempuh. Alhamdulillah, aku tau yang Allah sayang kat aku."

Nada percakapan sahabat saya berubah. Saya tau, dia cuba menarik perbualan ke kancah yang lebih serius. Maka, dengan hormatnya saya bangun membetulkan duduk, dan menyua tupperware kedai 2 ringgit berisi jeruk pelam kepadanya. Saya lipat bacaan tadi, pada mukasurat hero dan datuknya yang lagi hero berganti memijak bulu burung gagak untuk mendiamkan mayat dari bangkit merusuh.

"Hang kenal aku. Aku suka baca buku macam-macam. Sastera, politik komunis, demokrasi, liberalisme, kapitalis macam-macam aku khatam. Bab agama, cross religion dialog, syiah sunni, muktazilah, semua aku lenjan. Aku belajar juga berdebat, mantik. Bila orang lawan hujah dengan aku, semua aku tibai, aku paku balik."

Saya dengar. Memang saya akui, sahabat saya ni handal berdebat. Tingkatan 4 dah wakil negeri ke kejohanan  debat kebangsaan. Bab membaca, memang power. Saya bergelumang dengan Crayon Shin Chan, Great Teacher Onizuka dan lain-lain, dia dah menyelak-nyelak Saudagar dari Kuala Lumpur, Salina dan tulisan-tulisan kritis Dr. Maza dan Faizal Tehrani. Yang tajuk omputih jangan tanyalah, saya nak sebut pun tak reti.

"Sampai satu masa, orang cakap hati aku keras. Hujah aku keras, walaupun betul. Dan aku bangga pulak dikatakan begitu. Berhujah, berdebat bagi aku satu kepuasan, lagi-lagi bila menang. Zaman fb ni pulak, aku lagi rajin berdebat dalam fesbuk, mana-mana page tokoh politik, pemikir, agama."

Air kolam sedikit berkocak. Umpan sahabat saya dipatuk ikan barangkali. Kemudian diam semula.

"Tapi tu la, aku sampai tahap tak tenang kalau lawan debat aku tak putus hujah. Sampai aku asyik online je, berlawan hujah dengan entah sape-sape. Bila aku bagi hujah, cepat dia bidas. Benda ni berlanjutan, sampai bini aku pun marah. Sibuk mengadap fesbuk, berdebat tak tentu hala. Aku cakap, aku tak kira. Yang penting lawan aku ni senyap, putus hujah. Baru aku puas."

Memang saya ada terbaca jugak, debat kawan saya ni dengan budak universiti mana entah, dalam satu page yang saya pun like. Tapi saya tak ambik pot pun. Panjang-panjang sangat. Rajin betul depa ni menaip. Takde keje lain ke?

"Sampai la satu hari, entah apa sebab, aku belek tafsir Quran kat surau kita ni. Aku baca tafsir satu persatu, dari Al-Fatihah sampai habis juz 1. Seronok rupanya baca pengkisahan dalam Quran. Dulu aku belek tafsir sebab nak cari dalil, nak berdebat. Bila baca tertib-tertib, cantik rupanya Allah susun cerita dalam tu."

"Aku pun try-try buka kitab Fadhail Amal yang siak suka baca lepas solat Subuh. Balik rumah, aku godek kitab-kitab tasauf arwah ayah aku."

Dia diam sekejap. Mengalihkan pandangan ke arah lain, yang mukanya saya tak nampak. Suaranya makin dalam.

"Aku teringat arwah ayah aku cakap. Baca buku banyak-banyak boleh, tak salah.Tapi Quran jangan tinggal. Baca makna sekali. Ni kitab Manhaj Al-Abidin, buku Pusaka Tok Kenali, ambik masa baca sama. Bagi lunak hati. Ni, hang dengan ayah pun nak lawan berdebat. Ayah tak pandai cam hang bab mengaji."

Saya teringat raut wajah arwah ayah sahabat. Tenang orangnya.

"Rupanya, sakan berdebat ni buat hati jadi lagi keras.,...." tangan kanan sahabat saya dibawa ke pipi kanannya, yang saya tak nampak. Saya diam aje.

"Sebab tu aku suka memancing. Lepas arwah dah takde, aku mula memancing. Bukanlah nak ikan sangat, cuma nakkan masa berdiam sorang-sorang. Tak lagi sibuk nak online, nak berdebat tak keruan, Bini aku pun faham."

Saya senyum je. Saya faham, saya diajak ni pun, supaya dia boleh melepas segala yang terpendam di hati. Takkan nak bercakap sorang-sorang masa memancing. Gile ke apa. Nak dicerita pada bini, bukan semua hal kaum bini-bini ni boleh faham. Tapi kalau pada saya, saya senang cerita semua hal pada bini. Faham tak faham tu nombor lain.

Selang  minit kemudian, kami ke topik-topik Piala Dunia, Piala Thomas yang kita terlepas, tentang X-Men yang saya belum tengok, tentang konsert Taylor Swift dan lain-lain.

Ikan tetap tak kunjung datang, walaupun jeruk dah habis 2 tupperware kami selesaikan. Tajuk 'Dikejar Mayat' itulah yang terlipat sampai saya pulang.


2 comments:

  1. kawan kau ni, dia punya speed mencari lawan berhujah saling tak tumpah macam bangau. terbang tinggi2, mengepak sayap separuh langit. tapi last2 hinggap jugak kat belakang kerbau yang tak pandai melompat...

    ReplyDelete
  2. Jenuh jugak aku nak hadam perumpamaan hang bagi ni.haha.tapi orang jenis member aku ni ramai boleh jumpa dalam fesbuk.

    Mujur sekarang dia dah insaf. Tapi tak tau ka sampai bila. Orang kaki berdebat ni, dalam hati macam ada bara. Tunggu jumpa sumbu je nak cucuh.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...