Wednesday, April 22, 2015

SOLO GITAR TERBAIK DARI LAGU-LAGU BUKAN GENRE ROCK DAN METAL

Biasanya, kita-kita yang ketagihkan dos bunyian gitar, akan mencari-cari solo yang mengancam dari gitaris atau band feveret kita untuk melampiaskan ketagihan kita tu.

Biasanya jugak, gitaris-gitaris tersebut adalah daripada genre yang dominan dengan solo-solo gitar, iaitu rock dan metal. Tak terkecuali juga, jazz dan blues. Maka, nama-nama seperti Vinnie Moore, David Gilmore, Marty Friedman, John Petrucci, Man Keedal, Karl Cromok, Kid Search, sekadar beberapa nama, akan laju meluncur dari mulut kita bila berborak berkenaan solo gitar.

Namun, bagi saya, saya juga melebarkan telinga saya menggapai bunyian solo dari lagu-lagu yang bukan bergenre seperti di atas, dan berikut merupakan pilihan saya dari lagu-lagu pop di Malaysia, yang kebanyakannya adalah dari era 90an. 

Mungkin kamu-kamu ada idea lain, mari kongsi sama.

MADAH BERHELAH DARI ZIANA ZAIN


Part solo dia tu memang agak memorable. Bunyi macam mudah nak dimainkan, tapi kalau main setakat tiru dari Guitar Pro, tak campak soul dalam lagu tu, tak dapat folo beb.

NURANI DARI  EISYA


Lagu ini antara yang menduduki top spot dalam hati saya untuk kategori lagu-lagu feeling. Lagu ini sendiri adalah kekuatannya, dengan penyampaian penyanyi comel Eisya ni. Solonya walaupun bukanlah berdesup namun feelingnya..... Fuuuhhhh... Ish,. meremang bulu tengkuk dengar lagu ni.

FANTASI MUSIM CINTA DARI IWAN


Lagu yang sangat best dikarokekan dengan kawan-kawan. Kena pulak kawan-kawan kaki mengutuk. Saya cukup minat solo lagu ni. Waktu saya cuba-cuba cari solo ni (baru mula cari 5 minit tadi), saya terfikir macam mana emosi gitaris ni masa susun solo ni. Kemas.

FIONA DARI 4U2C


Saya kena akui, yang saya membesar di era ini. 4U2C dan KRU adalah 2 entiti yang sangat cool masa ni, ditambah dengan kartun MC Hammer waktu tu. Lagu ni kalau tak hafal, tak boleh dibuat kawan.

Bila usia menginjak dewasa, lagu ini masih mengundang senyum bila teringat waktu kecik-kecik tu. Dan bila hati mula minat bergitar, solo lagu ni yang tak pernah diambik pot, mula menduduki antara tempat terpenting dalam kategori solo-solo terbaik bagi saya. Maaf, untuk saya, solo lagu ni lebih penting dari solo kebanyakan lagu-lagu rock atau metal.

Cara gitaris menyusun solo memang cantik. Saya boleh bayangkan dia main sambil ternganga-nganga mulut, terutama part tapping masa nak outro solo tu. Antara solo idaman saya, kalaulah saya boleh mencipta solo.

Cukup kot, 4 lagu bagi perkongsian kali ni. Saya nak jugak tau pendapat orang lain berkenaan solo-solo dari lagu bukan bergenre rock atau metal yang best, terutama dari lagu-lagu pop Top 40 yang selalu keluar radio. 



Saturday, March 21, 2015

KESAN KEPARAHAN EKONOMI NEGARA




Viral di media-media sosial baru-baru ini.

Selaku rakyat marhein, saya melihat perkara ini sebagai suatu mesej jelas.

Inilah kesan keparahan ekonomi negara yang dipertanggungkan kepada rakyat.

Sejak di sekolahan, kalau buat karangan bertema masalah sosial macam pembuangan bayi, balik-balik isi penting yang digunakan ialah 1. kurang didikan agama 2. masalah keluarga.

Setakat ini, saya belum jumpa karangan murid yang menekankan masalah ekonomi adalah pencetus kepada masalah-masalah sosial yang lain. Mungkin agak rebel untuk seorang budak sekolah redah menulis masalah ekonomi negara sebagai punca, namun di peringkat rebung begitulah sepatutnya diberitahu, kan?

Mak bapak terpaksa mengerah keringat siang malam untuk menanggung beban ekonomi keluarga yang semakin menggunung, seiring peningkatan kos harian. Maka, masa bila lagi nak difokuskan untuk didikan agama anak dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Nak ke masjid hari Jumaat pun jenuh dah.

Terpaksalah sekolah menanggung kebajikan anak-anak tadi. Namun, untuk pengetahuan semua, tanggungjawab sekolah untuk perkembangan anak-anak, tak lebih 20% pun. Majoriti adalah tanggungjawab ibu bapa dan keluarga.

Entahlah.....

Semoga Malaysia semakin cerah dan menyerlah dengan GST yang tak jemu dicanangkan kebaikannya dalam TV, sampai rasa nak jumpa pelakon iklannya satu demi satu, dan di'stalait' dahi sorang-sorang.

Tau ke 'stalait' tu apa?

Monday, March 9, 2015

KEMBALI MEMBACA

Suatu hobi saya yang agak lama saya tinggalkan ialah membaca. Ya, di suatu ketika saya amatlah berahikan buku. Pantang ada buku yang menarik minat saya, saya pastikan jadi milik saya serta merta. Dari buku-buku di toko-toko buku terkenal, hinggalah ke gerai buku-buku lusuh di pasar malam, saya tak kira.

Buku paling terkini yang saya miliki, dibeli secara pukal daripada beberapa page fesbuk buku-buku terpakai seperti KOLEKTOR BUKU2 SEMALAYSIA dan lain-lain. Antara buku-buku tersebut yang saya sedang belek-belek sekarang ialah LATIFAH RABBANIAH, koleksi cerpen Arwah Azizi Hj. Abdullah terbitan DBP tahun 1976. Yang saya miliki ini ialah cetakan kedua tahun 1981. Arwah memang merupakan penulis yang berada di ranking teratas novelis yang paling saya minati.

Saya tidak meletakkan ketidakmembacaan saya ni disebabkan oleh kesibukan kerjaya dan pengurusan keluarga. Terang-terang memang saya yang pemalas. Membaca ni sebenarnya, sendiri-diri kena curi masa.

Macam kita dengan Al-Quran jugaklah. Kena paksakan jugak diri baca Quran, habis malas sehari semuka.

Maka, setelah meneliti lama perihal kemalasan saya membaca ni, saya dapati benda pertama yang saya perlu singkirkan, atau kena kurangkan ialah MASA BERGAJET.

Kita terlalu lalai dengan bergajet sekarang ni. Yang saya maksudkan dengan bergajet ini lebih menjurus kepada berhabis masa di laman sosial. Macam tak kena sangat kononnya, kalau sehari tak bukak fesbuk.

Inisiatif saya, setakat minggu ni, ialah menjadikan hari Ahad sebagai HARI TANPA LAMAN SOSIAL. Nak tolak gajet terus, wasap kena usha-usha jugak, kot-kot ada apa-apa makluman dari keluarga atau rakan sekerja.

Dan saya juga akan usahakan jugak untuk berkongsi hasil bacaan saya, macam budak-budak sekolah dengan program NILAM tu. Nak kata bedah buku, saya tak layak mengkritik hasil tulisan orang lain. Sendiri menulis pun, bersepah.


Sunday, March 1, 2015

KEMBALI MENAIP

Alhamdulillah, Allah bagi kekuatan (kerajinan) menaip di blog usang ini.

Sepanjang hibernasi saya dari ruangan ini, alhamdulillah, kehidupan berlangsung dalam keadaan yang mengujakan.

Prestasi tugasan saya tahun ini agak luar biasa. Mungkin sudah di tengah dekad pertama, bukan lagi waktu untuk main-main dalam kerjaya. Sebagai che'gu, mengajar adalah core bussiness saya yang disulami dengan tugasan lain. Kalau dahulu, saya mudah rasa terbeban dengan tugasan pengkeranian dan melatih yang tak putus, sekarang saya semakin boleh mengurus tugasan dengan baik. Kata kuncinya, 'jangan bertangguh'. Dapat, terus buat. Itu sebabnya saya lama tak menaip di sini. Sibuk menyibukkan diri. Cewah. Poyo.

Alhamdulillah, baby girl kami sudah di usia lebih 5 bulan. Makin macam-macam perangai. Makin berakal. Saya perasan, saya mempunyai suatu ketagihan terbaru, sejak 5 bulan dulu. Ketagih mencium bau baby. Sebelum gi kerja, cium anak. Balik kerja, cium anak. Sebelum buat apa-apa, menggomol baby adalah keutamaan. Orang kata bau baby tu, 'bauan syurga'. Alhamdulillah, saya dan bini dianugerahkan peluang sehebat itu. Kalau baby kami dah menganjak ke usia lain yang menghilangkan bau babynya tu, mungkin saya kena minta ibunya nak baby lagi. Kui kui kui. Rezeki dari Allah.

Sepanjang hibernasi saya dari medan ini juga, perkara paling meruntuhkan semangat saya adalah pemergian Tuan Guru Nik Aziz. Allah sahaja yang tahu betapa luluh hati ini. Longgar lutut, hilang tenaga seharian. Namun, ajal maut adalah ketetapan Allah. Bukanlah pentaksub kepada Arwah. Cuma, telah diberitakan kepada kita, apabila seseorang itu melabuhkan kasih sayangnya sungguh-sungguh pada Allah, Allah akan mengembalikan kasih sayang itu dengan berlipat ganda, dan antara caranya ialah, menyebarkan kasih sayang kepada makhluk-makhluknya agar menyayangi hambaNya tadi. Sangka baik kita pada Arwah, Allah menganugerahkan kasih sayang itu padanya, hinggakan pemergiannya mengundang sedih bukan hanya pada mereka yang sepemikiran dengannya, hatta mereka yang berlainan aliran.

Apa pun, saya berdoa agar tahun ini, kita semua dilimpahi rahmat berterusan, bahagia dunia akhirat. Amin.

Soalan : ada gaya macam orang dah umur 30 tahun menulis tak? Kalau ada, ingat nak reduce sikit kadar keseriusan tu.


Tuesday, October 21, 2014

MENYANDANG TITLE ABAH

Alhamdulillah.

Apa lagi yang mampu saya ucapkan, melainkan ucapan keramat dia atas.

Tanggal 16 September 2014 yang lalu, saya dan isteri mengupgrade title kami menjadi abah dan ibu, bersempena dengan kelahiran cahay mata kami. Seorang puteri.

Alhamdulillah....

Saban hari mendengar radio Sinar FM, kita diperdengarkan pesanan oleh seorang doktor wanita tentang tanggungjawab seorang suami yang beristerikan seorang wanita yang bakal melahirkan anak. Antara saranan doktor tersebut ialah menemani isteri di kamar kelahiran. Dan saya sahut seruan itu.

Terus terang, saya bukanlah berani sangat dengan jarum-jarum, pisau bedah, darah-darah dan uniform putih doktor. Kalau berani, mesti jadi doktor dah sekarang ni, bukan cikgu. Namun, mengenangkan isteri lebih berat menanggung beban sakit melahirkan yang bukan kepalang, saya gagahkan juga. Saya terlalu mahu menjadi saksi kelahiran anak kami.

Alhamdulillah...

Kelahiran puteri yang saya saksikan sendiri prosesnya satu per satu. Diiringi ayat-ayat suci Al-Quran, terutama ayat 'lau anzalna hazal quran...', yang gagap-gagap saya baca kerana pressure di dalam bilik bersalin itu rupanya lebih dahsyat berbanding berada dalam ring sukan tempur atau pentas persembahan, serta air mata yang bukan kepalang, bayi kami selamat dilahirkan secara normal. Menyaksikan sendiri bagaimana sakitnya sang isteri bertarung nyawa meneran melahirkan anak, membuatkan saya berjanji sendiri yang dia takkan saya sia-siakan sampai bila-bila.

Alhamdulillah.,,

Saya bergelar abah di hujung 20an saya. Agak lewat juga berbanding sahabat-sahabat lain, namun rezeki Allah janganlah kita nafikan cepat lambatnya. Ia datang pada waktunya.

Alhamdulillah...

Semoga saya dan isteri lebih tabah menjalani hari-hari berkeluarga dengan pertambahan ahli comel ini. Menyandangkan title abah dan ibu tidaklah semudah disebut dan dieja. Ia datang dengan tanggungjawab dan ujian.

Alhamdulillah...

Wednesday, August 13, 2014

MENUJU USIA 29 TAHUN

Kira-kira sebulan sahaja lagi, lebih kurang, saya akan menginjak ke usia 29 tahun.

Menurut sebuah artikel yang saya baca di http://nymag.com/thecut/2014/08/everybody-likes-you-when-youre-29.html , usia 29 merupakan sebuah usia di mana seseorang itu memulakan sebuah kematangan, semakin berarah tujuan dalam hidup, semakin berdedikasi dengan apa yang dikerjakan, namun tetap masih 'hip', ceria dan tetap berhubung dengan kawan-kawan dari zaman kanak-kanak selain berkarisma dalam mengeratkan hubungan sesama rakan seprofesion dan kenalan baru.

Ada betulnya.

Cuma bagi saya, dan saya kira mereka-mereka yang sama macam saya, menginjak ke usia 29 sebenarnya adalah sebuah dilema. Dilema untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan yang 'matang' di mata dan tanggapan orang lain dan sifat 'keanak-anakan' yang terperangkap dalam jasad, kerana fasa 29 adalah permulaan kepada peralihan 30an, di mana dikatakan bagi lelaki, usia 30an adalah usia di mana kehenseman sebenar seorang lelaki ditonjolkan.

Di usia 29 ini, dengan menanti kelahiran anak sulung juga lebih kurang sebulan lagi, saya masih lagi penagih komik-manga, pengumpul t-shirt bergambar kartun, masih teruja menonton movie bertunjang kartun (tahun depan Sponge Bob the movie oi!), menyusun jigsaw puzzle bertema One Piece, memasang kereta Tamiya dan lain-lain yang sealiran.

Walaupun minat saya dalam bergitar dan martial art adalah seiring dengan peningkatan umur - saya makin selesa dengan lagu-lagu bercorak puisi dan lebih mendalami falsafah martial art berbanding bergasak nak hebat - namun kemachoan minat saya itu hanyalah topeng yang menutupi ketagihan 'childish' saya.

Sukar untuk saya menyisih minat yang sudah disemai sekian lama. Dari kecil belum kenal huruf lagi sudah mendarah daging.

Mujur, bini faham minat saya itu. Mak abah saya lebih tahu minat saya ini, kerana berbuih mulut acapkali memarahi saya yang malas mengemas komik yang bersepah sebilik. Mak ayah mertua? Insyaallah, mereka faham, kot.

Apa pun, 'childish' mana minat saya tu, saya bersyukur kerana itulah diri saya. Dalam menuju 30an, saya kira setidak-tidaknya pemikiran saya tetap muda, kerana kadang-kala hambatan tugas harian dan lain-lain tanggungjawab jika didepani tanpa sedikitpun fasa recovery, mungkin saya tua sebelum usia.

Dan di usia 29 ini juga, saya semakin percaya untuk berpegang pada kata-kata,

'Lantaklah apa orang nak kata'.

Saturday, August 9, 2014

6 GITARIS ASIA TENGGARA YANG SAYA SUKA

Ok, back to bisnes.

Saya rasa, lama jugak dah saya tak berborak tentang kecintaan saya yang satu ni - gitar.

Hari ini, berbetulan dengan kembalinya semangat saya nak 'bercumbu' dengan gitar, saya 'list'kan gitaris-gitaris Asia Tenggara yang saya suka dengar dan perati rapat cara permainan, 'feel', 'soul', 'sound', susunan muzik dan 'attitude'  mereka. Sebelum ni, pernah saya tulis tentang gitaris antarabangsa yang saya suka jugak.

Susunan di bawah bukanlah mengikut 'siapa terbaik', memandangkan mereka mempunyai keunikan tersendiri dalam bergitar.


Dewa Budjana, yang biasa kita tengok bersama band GIGI. Mempunyai reputasi yang sangat tinggi dalam scene muzik Indonesia, terutama scene jazz. Saya kagum dengan kepelbagaian muzik dia, dengan GIGI yang berbusana popular dan mainstream, kepada jazz yang berwarna-warni, dan sudah semestinya dia juga 'ngerock' dengan gayanya yang tersendiri.


AG Coco yang biasa kita tengok bersama kumpulan Hujan. Bakat muda (muda ke? Baya aku je dia nih. Dia muda, kira saya pun muda la) yang paling menonjol buat masa ini di Malaysia. Live performance dia pun tak pernah menghampakan, dan paling menyeronokkan apabila menonton konsert akustik Hujan. Tapi tengok dia berlakon dalam drama 'doploh sen' time raya hari tu, boleh bikin menangis!


Eross yang biasa kita tengok bersama Sheila On 7. Attitudewise, saya suka dia. Sempoi, simple, underrated (ker?) namun skill, fuhhh. Baru ni saya tertonton permainan gitar dia dalam Youtube, Mostly Jazz kot, menganga jugaklah. Solo yang luar dari norma lagu-lagu Sheila on 7, yang menonjolkan sisi handal dia sebagai gitaris yang tergolong power.


Karl yang biasa kita tengok bersama Cromok. Well, apa yang boleh kita perkatakan tentang dia ni. Legenda Metal Malaysia. Melodi, feel, sound, susunan solo...... Apa lagi haaa?

Kid yang biasa kita tengok bersama Search. Kesimpulan saya tentang permainan gitar dia - EARGASM! Saya membesar bermain gitar dengan cita-cita 'nak jadi macam dia', namun cita-citaku hampa. Tone dia, skill dia, dan paling saya suka, pilihan-pilihan note dia dalam menyusun solo. 'Isabella' adalah introduksi yang sesuai bila nak perkenalkan 'siapa Kid?


Sek yang biasa kita tengok bersama gigaband Thailand, Loso. Energinya yang tak bersempadan ketika live show. Masa ke Langkawi kira-kira awal tahun ni, saya sempat menonton persembahan livenya d Dataran Lang sempena 'Magical Langkawi'. Boleh menyanyi sing-along lagu 'Som Sarn' bersama dia dan rockers-rockers Siam yang hadir adalah sesuatu yang amat memorable, di samping menonton permainan jari dia yang lincah di medan fret board. 'Sejak bila abang pandai cakap Siam ni?' adalah soalan bini saya yang saya jawab dengan sengih yang panjang.

Ramai lagi gitaris handal di rantau Asia Tenggara ni, sehingga tak celus corong telinga saya nak mendengar semuanya. Apa pun, minat itu subjektif.

Hangpa pulak, minat kat siapa?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...