Tuesday, November 30, 2010

MEMOIR SEORANG GURU






“Settle!!” – kalimah pertama muncul setelah aku akhirnya mengkhatami novel ‘Memoir Seorang Guru’ karangan penulis besar Azizi Abdullah (Tuk Ya). Walaupun sudah agak lama novel ini dalam simpananku, tak tau mana datang sebabnya, ada saja itu ini yang mengebiri seleraku untuk berlama-lama dengan novel ini. Aku akui nafsu membacaku tak seampuh dahulu. Bahari, pantang ada bahan bacaan yang menarik hati mesti kumiliki. Bila dalam dakapan, pantas kusudahi.

‘Memoir Seorang Guru’ ini pun, bukan aku yang beli. Tuannya sahabatku di IPSAH, Naim. Itupun hadiah pemberian pensyarahnya yang sangat prihatin mahukannya menjadi seorang guru yang baik, dan berharapan dengan novel ini mampu membuka hati dan keinginanya menjadi guru yang juga baik. Nyata, keikhlasan beliau itu turut mencairkan benak hati ini.

Aku bukan mahu menghujah, bukan juga mahu menilai. Apatah lagi menghakimi novel ini secara ilmiah. Bukan bidang aku. Sekadar mahu mencatat peri rasa yang aku alami selama berfana-fanaan dengan novel ini. Secara abstrak, ceritanya berlatarkan kekesalan seorang guru (ustaz dalam novel ini) yang tak sudah-sudah menyesali kebobrokan yang dilakukan sepanjang bergelumang dalam profesion perguruan. Dia dihantui kebencian yang tak tahu mana punca kepada sebilangan murid-muridnya yang mungkin takdir memilih mereka secara rawak – untuk dibenci. Dia tersepit dengan tugas keguruan yang sepatutnya mendidik dengan penuh kemurabbian, dan hingar pikuk murid-murid yang baginya, amat memualkan.

Namun itulah. Di sebalik sejarah yang baginya tidaklah indah, satu-satu anaknya – Kamariah pula tersangat mahu menuruti jejak langkahnya menjadi guru. Langsung, konfrontasi tercetus antara dia dan anaknya yang akhirnya membuahkan memoir-memoir kekesalan sepanjang dia bergelar guru. Dia bimbang, sepanjang kerjayanya langsung tidak diberkahi sinar keberkatan memandangkan kebengisan dan kebenciannya kepada murid-murid.

Jika ditelusuri novel ini di awalan, khalayak akan merasakan betapa negatifnya stigma yang cuba dilemparkan penulis kepada profesion perguruan. Guru hanyalah tahu menunggu gaji masuk, malas, menganggap murid hanyalah tempat melampiaskan kemarahan dan sangat berbeza dengan watak yang difahami masyarakat umum yang sering memandang tugas guru sangat mulia dalam mendidik anak bangsa. Dengan cerita-cerita yang diselitkan, meyakinkan pembaca termasuk aku sendiri untuk kembali menyoal hati, betul ke cikgu-cikgu ni baik-baik? Betul ke cikgu ni keje yang mulia? Betul ke aku ni, nak jadi cikgu? Namun, itu di awalnya lah...

Namun, sabar kawan! Rasailah sendiri nikmat membaca helai ke helai, baris ke baris, huruf ke huruf. Watak ini sendiri di akhirnya terpukau dengan keikhlasan penerimaan murid-muridnya terhadap layanan yang pernah dia lontarkan kepada mereka suatu ketika dahulu. Dia sendiri terkejut, betapa kebenciaan yang disangka menuba hati murid-muridnya akhirnya membuahkan kemanisan yang bukan calang. Murid-muridnya sendiri yang berterima kasih atas segala ‘kekerasan’ dan ‘kekasaran’ yang pernah dilakukannya dahulu sepanjang mengajar.

Beberapa petikan yang aku kira menarik untuk dikongsikan...

Anak saya bodoh dalam pelajaran, ustaz. Tapi saya selalu berdoa agar dia menjadi manusia yang baik.” Kata-kata ayah Mohd. Dhuha, salah seorang murid dalam novel ini.

“Saya berpendapat jika manusia tak lupa pada waktu lahirnya, dia takkan lupa kewajipannya kepada Allah. Saya berpendapat, untuk menjadi baik mestilah melalui pendidikan dan untuk menjadi pandai mestilah melalui pelajaran. Didikan bermula dari kecil, menjadi pandai masih ada kesempatan walaupun sudah dewasa.” Sambungnya lagi. Jangankan watak utama, aku sendiri pun terkedu dengan ujaran si ayah Mohd. Dhuha ini. Nyata, watak ibu bapa di zaman itu sendiri sangat berbeza dengan ibu bapa sekarang, yang hanya melihat tugas guru tidak lebih dari sekadar mengajar anak-anak mereka hanya tahu membaca dan mengira.

Lihat petikan monolog watak utama...

Kamariah, memang bapa sedar, apa pun alasan bapa engkau tidak akan terima. Tetapi bapa mahu engkau mengerti profesion ini profesion yang mencabar, profesion yang bertanggungjawab terhadap pembangunan insan. Pendidikan yang bererti bertali arus mesti dipertanggungjawabkan sehingga akhirat. Samalah juga dengan pakcik engkau sebagai jurutera jalan raya. Dia bertanggungjawab untuk dilalui pelanggan secara selamat. Menyelamatkan itulah yang dikatakan bertanggungjawab.

Sebenarnya, apa jua bidang tugas dan kerjaya sekalipun menuntut keikhlasan dan amanah dalam pelaksanaan. Aku melihat kata-kata ini ibarat amaran halus kepada ‘pemakan gaji’ seperti aku sebagai guru, jurutera jalanraya, pegawai pertanian, pegawai perhutanan, pegawai tadbir dan diplomatik, imam-imam masjid, pegawai zakat dan lain-lain lagi, betapa amanah yang ditumpangkan ke bahu ini akan turut diusung hingga akhirat. Jika elok pembawakannya, eloklah di sana. Kalau sekadar mengharap gaji masuk, risau amanah di bahu turut membusuk.

Aku turut terkesan dengan kata-kata Kamariah, anak watak utama novel ini.

“Tak. Bapa menghadapi kerenah murid-murid dengan penuh kebencian. Tapi Kama... murid-murid menghadapi Kama dengan penuh kebencian. Kan terbalik? Dan inilah yang sangat berbahaya apabila murid membenci guru. Rungutan si Kama apabila baru sahaja memulakan praktikum sebagai seorang guru. Dia mengadu tentang murid-murid yang lebih liat diajar, tentang beban tugas guru yang bukan-bukan, tentang ibu bapa kini yang sangat berbeza watak dengan ibu bapa dahulu. Sedikit dicubit anaknya, habis dikecohkan anaknya dipukul ditumbuk guru.

“Kama, seorang guru yang baik, bukan sahaja taat pada kurikulum dan kokurikulum atau pada sukatan pelajaran. Seorang guru yang baik, bukan saja guru yang dapat menghabiskan buku teks. Tapi seorang guru yang baik, adalah seorang yang kreatif, yang seringkali mencari pendekatan baru, kaedah baru bagi menarik minat murid-muridnya ingin belajar. Minat ingin belajar lebih baik dari hanya belajar.”

Bukan hanya Kama dalam novel ini, aku turut termotivasi. Aku kira, si watak utama sendiri terkejut dengan ayat yang diucapnya, sedangkan dia sendiri seorang guru yang dulunya cengil dan sambalewa terhadap murid-murid.

“Hadirin sekalian. Ini ustaz kami. Dia tidak mengajar, tapi mendidik kami. Walaupun didikannya tidak sepanjang hayat, tapi sepanjang hayat kami mampu menghayati didikannya.” Kata salah seorang muridnya. Andai murid aku sendiri memuji aku sebegini, apalah lagi di muka bumi ini yang lebih bermakna darinya..... Namun aku insaf. Bukan pujian yang aku harapkan. Apatah lagi sanjungan. Novel ini menegaskan tentang sifat kemurabbian yang jauh dari sifat hanya mengajar. Murabbi mendidik dengan penuh keikhlasan, menjadikan manusia penuh dengan kemanusiaan, bukan sekadar mesin catat atau audio membaca hatta tukang angguk faham tak faham.

“Yang membanggakan seorang guru apabila guru tak kenal murid-muridnya, tetapi murid-muridnya menegur guru. Guru lupa pengajarannya tapi murid mengingati dan mengamalkannya. Guru tidak pernah meminta balasan, tapi murid tetap mengenang.”

Baris ayat yang meruntun hati batuku. Langsung aku menekan punat flashback pada remote memoriku, menonton kembali pada layar ingatan, slideshow rupa wajah ibu abahku, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan sesiapa sahaja yang pernah mengajar aku tentang hidup – dunia dan akhirat.

Khalayak yang bukan guru boleh sahaja mengatakan kerjaya guru adalah mudah, dengan cuti yang banyak dan waktu persekolahan yang singkat. Itu waktu murid-murid, bukan guru. Aku pernah bekerja di hutan tak keluar-keluar, pernah bekerja di kotaraya sebagai tukang cuci tandas, malah di kilang-kilang sebagai kuli haprak dengan bangla-bangla nepal-nepal dan lain-lain pengalaman yang aku kira masing-masing ada lebih lagi. Namun amanah yang ditampung ke bahu, kadang-kala terasa berat amat. Lebih-lebih, mengenangkan orang yang berilmu akan jadi antara yang terawal ditanya di akhirat kelak. Ilmumu, dengan apa diamalkan. Apakah disebarkan. Adakah bermanfaat. Kita yang mengimani akhirat, ini adalah apa yang akan berlaku, dan bersediakah kita?

Novel ini untuk semua, terutama guru. Hadamlah, dan renunglah. Apakah kita guru-guru, dan bakal guru, sudah cukup melaraskan keikhlasan hati untuk melimpahkan ilmu kepada anak pertiwi? Kita arkitek pembina modal insan, petani yang membajai benih harapan watan, dan doktor yang menyuntik imunisasi kepada murid-murid agar kebal daripada virus godaan syaitan. Mampukah kita? Tepuk dada, Tanya iman dan hati sendiri....................titik.


2 comments:

  1. Replies
    1. jangan teringin aje cik alin..cari dan baca...best oi..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...