Thursday, June 5, 2014

ADAT DAN KEPERCAYAAN : MENGAJI AL-QURAN

Saya bermalas-malas depan tivi, meneguk teh o panas yang bini buat, dan menonton American Ninja Warrior. Sambil itu, saya berlagaklah depan bini, yang kalau saya masuk rancangan tu, setengah minit siap semua halangan. Bini hanya mencebik, sambil menuang sisa teh o yang berbaki dalam teko ke mug saya.

Jam menunjukkan 1.30 am. Saya beralih ke Tivi 1 yang saya kira hanya seminggu sekali saya buka. Itu pun hanya sebab nak tengok rancangan 'Pencak' yang bersiaran jam 1.30am. Namun, jangkaan saya salah. Malam ni ada rancangan lain pula rupanya, menggantikan 'Pencak'. Rancangan dengan tajuk 'Adat dan Kepercayaan'.

Karut betul tivi 1 ni. Rancangan sebagus ini tayang 1.30am, sape nak tengok?

Malam ni, 'Adat dan Kepercayaan' berkisar tentang Mengaji dan Berkhatan yang diamalkan orang Melayu dulu-dulu. Walaupun saya taklah berusia 'orang dulu-dulu', namun Alhamdulillah, saya sempat merasa setiap apa yang dipaparkan.

Bab budaya mengaji Al-Quran, penonton ditayangkan dengan proses mak abah menghantar anak-anak ke guru mengaji di kampung, dengan dibekalkan rotan buat modal nak merotan si anak kalau buas sangat atau ketegaq masa mengaji, dan majlis khatam Al-Quran yang agak grand.

Yang saya tak sempat merasa akan budaya ini, adalah tang proses mak abah menghantar anak ke guru mengaji, memandangkan mak saya sendiri adalah guru mengaji di kawasan perumahan kami. Yang bab rotan tu, saya kira sayalah championnya dalam kiraan dirotan. Anak cikgu ngaji, wajiblah kena tibai lebih dari yang lain. Tak adil betul rasanya diperlakukan macam tu. Masa majlis khatam kami, atau saya, taklah segrand mana. Mak ayah murid-murid lain hantar sate, mihun, dan lain-lain hidangan di samping pulut kuning rendam ayam yang mak saya sediakan. Takde pelamin-pelamin macam cikgu mengaji lain buat. Mungkin sebab mak saya tak pernah nak terima upah ajar mengaji, maka yang mampu kami dapat masa majlis khatam hanyalah makan-makan sikit. Alhamdulillah..

Saya fokus kat bab mengaji la ye. Senang.

Dahulu, pengajian Al-Quran sangatlah dititikberatkan. Seoramg kanak-kanak tidak akan diakui kedewasaannya jika belum khatam Al-Quran, walaupun sudah berkhatan. Waktu saya sekolah rendah, saya sangat bercita-cita untuk memasuki sekolah asrama. Nak rasa duduk jauh dari family, tak bolehlah mak abah saya nak merotan saya bila saya nakal. Syarat yang mak saya bagi agak ketat - wajib khatam Al-Quran sebelum darjah 5. Struggle la saya  menghabiskan bacaan. Mak cakap, kalau Quran tak habis baca, tak cukup syarat nak duduk berjauh dengan mak.

Dahulu, sebelum masuk ke fasa Al-Quran, kena habiskan Muqaddam atau Juhama. Sekarang, era baru ni guna Iqra'. Bila saya belek, betul Iqra' sangat membantu untuk bacaan. Namun cara dulu bagi saya sangat nostalgik.  Mengeja huruf dan baris dengan berlagu (bukan qiraat, jauh sekali tarannum) dan disudahi dengan 'wau sin sabdu ateh was sin ateh sa lam alif ateh laa mim depan mu, wassalaaaamu'. Sangat memorable.

Banyak lagi pengalaman masa belajar mengaji dulu. 1st try mengorat anak jiran (dan dikecewakan sebab 'kau tak sunat lagi, aku tak nak kawan'), kena rotan sebab ponteng (orang ramai-ramai mengaji, anak cikgu ngaji lari main gasing time maghrib) dan lain-lain. Mak juga ramai anak angkat sebab mengajar ngaji. Tu sebab walaupun dah berpindah, senang kami nak berjalan mana-mana. Ada je anak-anak angkat mak.

Alhamdulillah, walaupun kami ni taklah dalam keluarga agamawan, asatizah dan ulama, mak abah usahakan jugak agar Quran jadi bacaan kami. Abah cakap, jangan malukan keluarga dengan tak boleh mengaji bila diminta. Orang dulu-dulu cukup jaga, kalau-kalau anak depa tak boleh mengaji.

Dan zaman berganti. Kaedah pembelajaran pun makin pelbagai. Apa pun cara, kaedah, jenama, kita usahakanlah generasi terkemudian kita mampu membaca Al-Quran. Tak jadi ustaz pun takpe, yang penting Quran jadi bacaan wajib. Sikit sebanyak, kita harapkan berkat mengaji tu, generasi akan datang terhijab dari gejala yang bukan-bukan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...