Wednesday, August 6, 2014

SELAMAT HARI RAYA, HARI-HARI MENUJU PENG'UPGRADE'AN TITLE DAN KENANG KEMBALI

Selamat hati raya komrad sekalian!

Alhamdulillah, kita berkesempatan melalui Ramadhan yang sudah, dan meraikan Syawal dengan penuh kesyukuran.

Dalam masa sama, janganlah kita lupakan perkara yang terjadi di Gaza sana, dan umat Islam seluruh dunia. Aminkan doa agar mereka semua sentiasa sejahtera dan diberkati Allah atas apa yang mereka perjuangkan. Untuk kita juga.

Tak lupa kesedihan melanda negara kita, yakni peletupan pesawat MH17 dan misteri MH370 yang masih menyelubungi. Sudah-sudahlah dengan teori konspirasi yang merapik-rapik. Tahulah pimpinan negara kita membuat kerja. Kita bantu mereka dengan doa dipermudahkan segalanya.

Seminggu jugak lewat wish hari raya ni.

Banyak perkara baik berlaku pada saya sepanjang saya berdiam sahaja. Ada jugak perkara tak berapa baik, tapi cukuplah dalam kocek saya. Yang paling  baik dalam banyak-banyak yang baik adalah

SAYA BAKAL JADI ABAH.

Lama tak lama pun, adalah dalam sebulan dua lagi. Maka, waktu-waktu sekarang banyak dihabiskan untuk memikirkan persiapan menunggu kelahiran si baby nanti, rahmat Allah kepada kami.

Nebes jugak rupanya dah nak jadi abah ni rupanya. Dalam pada gembira, terbayang juga amanah yang diletakkan ke bahu saya. Dapat baby ni syoknya bukan semata-mata kena rajin upload gambar baby ke fesbuk, instagram bagai.

Apa pun, doakan saya dan isteri. Kepada yang dah senior-senior dalam melayari alam beranak-pinak, mohon beri tunjuk ajar dan tips pada saya.

Dan sesungguhnya, segala yang berlaku terlalu pantas untuk saya, sekarang. Dahulu, segala-gala terasa lambat, terasa ditangguh-tangguh. Sungguh, perancangan Allah adalah 'thorbaik' mengatasi angan-angan kita.

Dahulu, rasa bagaikan saya tidak akan merasai alam berumahtangga, sehinggalah dipermudahkan bertemu isteri, bertunang, berkahwin. Tup-tup, bakal dapat anak pulak. Cantik sangat-sangat nukilan Tuhan.

Dikenang kembali, Tuhan itu jugalah yang pernah saya persoalkan macam-macam perancangannya, waktu mengaggur, waktu jadi kutu, waktu kerja cleaner di KL Sentral akibat ketandusan belanja dan ketiadaan kerja.

Selalu sangat mengeluh dengan 'kenapa Kau duga aku begini? Kenapa jalan yang aku lalui ini berliku sangat?'.

Dan Allah jawab dengan anugerahkan suatu kerjaya yang sangat saya impikan - mengajar. Itupun selepas kesempatan berkerjayakan 'outdoor instructor', kemudian pegawai pendidikan alam sekitar, seterusnya disajikan dengan tawaran pegawai perhutanan, pegawai perhilitan, dan KPLI. Akhirnya saya turut restu ibu saya supaya memilih kerjaya keguruan kerana katanya, 'mak tak larat dah tengok hang rambut panjang, duduk hutan semedang, balik kampung dah tak serupa orang'. Ewah, berpantun pulak mak I.

Dan lagi, selepas beberapa tahun berkhidmat di bumi Darul Takzim, Johor, Allah permudahkan saya untuk berpindah ke kampung halaman isteri di hujung utara tanah air, hanya selepas 5 hari bernikah. Alhamdulillah. Saya takut juga sebenarnya, hidup berjauhan dengan isteri.

Bukanlah saya bercerita ni, untuk kita ramai-ramai persoalkan tindakan Allah mengatur hidup kita, dengan harapan pertikai punya pertikai, Allah tunaikan impian kita. Tak.

Yang saya nak bagitau, Allah punya perancangan Maha Indah. Bila fikir balik, jahilnya saya jam tu.

Banyaknya nikmat Tuhan yang saya dustakan. Pun Allah tetap bagi yang terbaik untuk saya, dan kita-kita semua.

Selamat hari raya semua.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...