Keluarga kami bukanlah keluarga yang sangat cintakan haiwan. Jadi, nak bela-bela haiwan peliharaan ni, memang bukan keutamaan. Sehinggalah kehadiran seekor kucing betina menumpang makan di rumah kami.
Awalnya mak aku sekadar memberi sisa-sisa makan kepadanya. Hari demi hari, makin kerap kucing tersebut datang bertandang. Dari kasihan, jatuh sayang. Dari menumpang makan, akhirnya kucing tersebut menumpang berteduh di rumah kami. Sehinggalah ia melahirkan 3 ekor anak yang sangat-sangat-sangat comel. Kelahiran yang menambah keceriaan kepada keluarga kami.
Hari demi hari, kucing-kucing itu membesar. Seronok sangat melihat 'anak-anak' angkat mak aku, membesar elok di depan mata. Makin hari makin lincah. Nakal, memang resam kucing. Berak merata, tapi selalu sangat kena leter dengan mak, kucing-kucing ni pandai mencari tempat lain nak melepas hajat. Asalkan mak tak nampak.
Kucing-kucing ni sangat manja dengan kami sekeluarga. Tahu waktu bila nak dihidang makan. Tak pernah berkira dengan apa yang dihidang. Kalau tiba-tiba datang menggesel kaki, gigit-gigit jari kaki, kita boleh tahu, ia minta dibelai, dimanja. Dalam 3 ekor ni, seekor kurang upaya. Badan bergetar-getar, dah macam parkinson. Jadi, lebih perhatian diberi padanya.
Namun...
Panggilan adik malam semalam, memberitahu yang kucing Karan (kami tak bagi nama pada kucing-kucing ini, disebabkan badannya yang bergetar-getar macam kena renjatan, itulah gelarannya), telah pergi meninggalkan kami. Diserang sekumpulan anjing liar yang entah dari mana datangnya.
Aku menangis. Lebih-lebih lagi apabila diberitahu yang mak aku menangis, abah menangis, dan adik-adik yang lain menangis. Aku menangis mengenangkan betapa takutnya ia apabila diserang, dengan ketidakupayaannya melarikan diri. Memang kami tidak membela kucing-kucing itu dalam rumah, kerana lebih suka kucing-kucing itu tidak hilang sifat 'kucing'nya...
Aku tak tahu apa hukum menfidyahkan al-fatihah kepada haiwan peliharaan. Syukurlah, nenek moyangnya adalah haiwan kesukaan Rasulullah. Dan nama pun haiwan, tidak terbeban dengan dosa pahala dan amalan. Sekurang-kurangnya kami tahu, Allah lebih tahu apa yang direncanakan kepadanya, walaupun ia hanya seekor kucing.
No comments:
Post a Comment