Aku melihat minggu ini sebagai minggu yang pelbagai rasa. Pahit, masam, manis, masin. Dan kalau kau pulak dunia memang mengadap internet je, lagi macam-macam kau dapat.
Perihal budak genius melingkup, perihal pendakwah yang difitnah, demonstrasi mahasiswa, ragam hari pertama persekolahan bermula, dan macam-macam lagi. Ingin aku sentuh, perihal pendakwah yang difitnah.
Kita melihat, sambutan Tahun Baru 2012 di Selangor sangat unik. Kehadiran Ustaz Ahar Idrus dengan beregukan Zizan Raja Lawak, berjaya menggamit kehadiran 80000 manusia, lebih kurangnya lah. Dengan penuh sangka baik, sekurang-kurangnya 80000 manusia sudah terselamat daripada maksiat malam Tahun Baru. Itu cerita lain.
Yang menjadi hal, apabila tiba-tiba tersebar fitnah merata tentang ustaz seorang ni. Ok, ramai yang dah baca. Persepsi. Dicuit sensasi.
Pernah di suatu waktu di kedai makan, aku terdengar dua orang di sebelah meja berperi tentang orang-orang tabligh. Seorang sinis mengatakan, jemaah tabligh ini tak lebih dari sesuatu yang sia-sia. Meninggalkan keluarga, pekerjaan, dan lain-lain tanggungan, semata-mata pergi berjalan-jalan kononnya menyampaikan dakwah.
Seorang lagi sangkal. Katanya, menilai penampilan jemaah dan menghukum mereka sebegitu adalah pemikiran dalam tempurung yang jumud. Dengan memisalkan, andai kata Muhammad s.a.w dahulu tidak berkhalwat mengasingkan diri ke Gua Hira', dengan meninggalkan Khadijah, adakah sampai pada kita Islam sekarang? Adakah sahabat-sahabat mulia di sisi Rasulullah s.a.w dahulu bersenang-lenang di rumah melayan anak bini, menjadikan Islam sampai kepada kita? Tidak, kawan. Bersangka baiklah. Jemaah tabligh hanya meneruskan kelangsungan perjalanan dakwah silam. Yang penting, kita yang menerima. Mahu atau tidak. Cebisan ilmu dari hasil curi dengar dan menghadap sup tulang.
Melihat perkembangan dunia dakwah yang menarik minat anak muda hari ini, hasil wujudnya teknologi, adalah sesuatu yang sepatunya didukung oleh semua pihak. Namun, biasalah, resam pejuang dan pendakwah. Mana ada jalan yang mudah.
Bahayanya terlalu bebas. Bebas berfikir, dan bebas berkata-kata. Fitnah mudah berleluasa. Terserah kita, mahu ikut yang mana. Sebab tu ada agama sebagai landasan. Meletakkan kita tepat pada treknya.
No comments:
Post a Comment