Thursday, August 30, 2012

LAGU UNTUK AYAH - BERSAMA MERDEKA

Ayah, kuingin tanya padamu
mengapa tanahku
penuh sengketa saban waktu
dicemari penindasan dikotori hawa nafsu
semua bertopeng palsu
mahu ini dan itu

Ayah, mungkin sudah sampai detik
untuk aku bangun bangkit
mengacung penumbuk ke langit
membawa semangat perubahan
menukar penimbang usang yang merugikan
biar kita maju melangkah ke hadapan

Ayah, ku tahu
kau juga mahu begitu
tapi kau terjerat cop mohor di dahimu
kau terpaksa tunduk mengangguk

Ayah, ku tahu
setiamu untuk masa depanku
tapi aku tak ragu
yang menantiku
dunia yang baru

Ayah, ku ingin kau berbangga
punya anak yang wira
cekal juga hatinya
mendepani kezaliman
menerajang korupsi yang memualkan
semoga kita berbahagia
bersama merdeka

*saya pernah sertakan lagu ini dalam ruang jurnal saya ini pada tarikh 30 April 2012 lepas, di sini.

Saja saya terbitkan kembali, sempena meraikan tarikh 31 Ogos, tarikh pembebasan wilayah Tanah Melayu dari penjajahan British, sebelum bersatu dengan Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada tarikh 16 September.

Nantilah, ada masa, saya sertakan sekali video lagunya. Suara saya tidak merdu, malu.

Apa pun, lagu atau tulisan ini meraikan anak-anak muda yang gelegak darahnya, mahu keadilan tertegak dengan sebenar-benarnya di bumi Malaysia ini.

Salam kemerdekaan ke 55. Sori, saya tidak pandai berjanji...


Wednesday, August 29, 2012

SALAM MERDEKA 55 TAHUN

Banyak persoalan. Sangat banyak. Saya ada juga berkawan, bergaul dan bersilaturrahim dengan rakan-rakan, orang tua-tua dan berjenis-jenis orang lagi yang punya pegangan dan fahaman agama, kepercayaan, budaya dan 'kotak pangkah'.

Kecilkan lagi skop, saya ada juga berkawan, bergaul dan bersilaturrahim dengan rakan-rakan, orang tua-tua dan berjenis-jenis orang lagi dari kalangan bangsa Melayu, dan saya sendiri adalah darah orang Melayu.

Sepanjang saya bercampur dengan mereka yang obses dengan fahaman politik, mereka ultra kepada ketuanan Melayu, mereka yang berpegang teguh pada syariat Islam, dan mereka yang serba tak kisah, dari pelbagai lapisan masyarakat, beberapa persoalan timbul dan bermain di fikiran saya. Saya notakan di sini, supaya apabila saya tua nanti - jika saya sempat merasa tua - soalan-soalan ini saya peroleh jawapannya atau soalan tinggal soalan.

1) Adakah pejuang Melayu dahulu dikira 'pejuang Melayu' sekiranya dia berkhidmat dengan Inggeris untuk membanteras komunis?

2) Apa bezanya penjajah Inggeris dengan komunis?

3) Mana datang istilah 'ketuanan Melayu'?

4) Adakah dengan menafikan hak Melayu, kita dikira menentang kesucian Islam?

5) Benarkah dengan mempertahankan 'ketuanan Melayu', kita sebenarnya mempertahankan kedaulatan Islam?

6) Adakah India Muslim boleh dikategorikan sebagai Melayu, sedangkan kita maklum Melayu itu asalnya Nusantara? Ah, saya ini tidaklah pula rajin membaca blog-blog yang meminati teori-teori konspirasi untuk menggali.

7) Adakah dikira menghasut atau menyebarkan dakyah, jika kita generasi muda, yang baru, banyak bertanya atau melempar persoalan berkenaan Melayu, hanya kerana kecintaan kita pada sejarah, legenda dan ceritera bangsa sendiri?

Ini semua hanya persoalan. Saya kira, nanti saya akan dapat juga jawapannya. Mungkin gelegak darah muda, suka bertanya. Suka nak tahu itu ini.

Banyak lagi persoalan yang berlegar di fikiran saya waktu ini. Apa pun, marilah kita memanjatkan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini. Perjuangan tak pernah senang, saya tahu itu. Itu sebab saya mengagumi cerita-cerita perjuangan Mat Kilau, Dato Bahaman, Dato Maharajalela, Dol Said, Rentap, Syariff Masahor, Rosli Dhobi, Leftenan Adnan, dan ramai lagi. Saya percaya, bukan sedikit darah terlimpah ke tanah bumi bertuah ini, hanya untuk memastikan kita cucu-cicit menghirup nyaman merdeka.

Juga, kita beri penghargaan kepada barisan pertahanan negara kita, tentera, polis, bomba, dan banyak lagilah. Mereka banyak berjasa untuk keamanan kita bermasyarakat. Jangan kerana satu dua isu, kita nilakan semuanya .

Untuk pahlawan kita yang beragama Islam, kita fidyahkan Al-Fatihah.....

Salam 55 Tahun Merdeka...

Friday, August 24, 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Punyalah jenuh nak online..

Selamat Hari Raya Aidil Fitri semua...

Mohon maaf kalau ada tulisan yang mengguris perasaan..

Biasalah, kadang-kadang bila menulis, kita mudah perasan yang kita 'best'..

Kadang-kadang 'ter' sembang kemas...

Kadang-kadang termaki...

Semoga ceria semua, walaupun dah dekat seminggu kita beraya..

Salam Aidil Fitri semua...

Saturday, August 11, 2012

BINTANG

Cuba kita kira bintang di langit...

Waktu pekat malam, bawa ke pagi...

Waktunya, dalam jam dua, tiga mungkin...

Cuba kita kira...

Satu, dua, tiga...

...........................................

Seratus lima belas, seratus enam belas, seratus tujuh belas....

...........................................

Seribu tujuh puluh tiga, seribu tujuh puluh empat, seribu tujuh puluh lima...

...........................................

Mmmmmmm.....

Tak mampu lagi...

Capai kopi di tebing batu...

Hirup sedikit demi sedikit, panas, hangat, pekat, likat...

..........................................

Bintang...

Inspirasi ramai orang...

Semua mahu ke bintang...

Semua mahu jadi bintang...

Semua mahu gapai bintang...

............................................

Aku senang begini...

Cukup mendongak, melihat, mengira bintang...

Dengan kopi pekat cap kapal api...

Sendiri...

DIAM 2

Diam...

Berbicara dalam sunyi...
Berteleku dalam sepi...

Diam....

Seksanya lebih derita...
Dari marah lidah berkata...

Diam...

Bila diri tidak lagi rasa sempurna...
Bila diri tidak lagi punya deria...

Diam...

Lembaran tulisan dan kenangan...
Itulah peneman...

Diam...

Mengutip sisa kaca pengalaman..
Walau berdarah jejari impian...

Diam...

Berdiri pun tak mampu...
Teruk dibelasah rindu...


Thursday, August 9, 2012

CINTA, RINDU DAN SAYANG


Cinta, rindu, sayang..

Keras mana pun hati manusia, lunak dek penangan tiga hal ini - cinta, rindu dan sayang. Ada mengaku cinta - rindu - sayang ini tidak perlu. Ada yang cuba menyempadani cinta - rindu - sayang dengan mengaku hatinya kental, muziknya kental, atitudenya kental. Hal cinta - rindu - sayang ni, silakan diterajang.

Tapi, aku punya definisi sendiri.

Cinta - Kesungguhan kita pada sesuatu atau seseorang yang kita jujuri setulus hati.

Rindu - Rasa Ini Nyata Dicipta Untukmu.

Sayang - Tolak tepi kepentingan diri, kerana kepentingannya adalah kewajipan kita kini.

Definisi ini, diregukan dengan ketidaksempurnaan diri, menjadikan kita tidak mampu bersendiri....

Wednesday, August 8, 2012

MENCARI HAK DIRI

Entah..

Bukan selalu aku merenung ke dalam diri..
Waktu kadang-kadang bertepi, disempadani kesibukan duniawi..
Aku yang selalu khayal, seronok melayani kehendak nafsu sendiri..
Sedang hak diri untuk mengenal diri, aku telanjangi..

Entah..

Orang berkata untuk mengenal Tuhan kau harus mengenal diri..
Rahsia Tuhan letak dalam dirimu, hadirmu, wujudmu..
Cuma akalku gentayangan, terbang melayang..
Semakin aku mencari, aku makin meraba..
Semakin aku hampiri, semakin aku hampa..

Yang aku yakini cuma satu..
DIA ada...

DIA ada waktu kita berdoa..
DIA ada waktu kita seru namaNYA..
DIA ada di setiap masa..
Dulu hingga akhirnya, DIA wujud tidak berpermulaan,
mustahil berpengakhiran..

Pening kan?

Aku bertanya pada tuaku..
Apa mustahilkah mengenal Yang Satu?
Tua hanya senyum...
Katanya, kau hanya perlu buka itu pintu..
Di balik pintu itu, kau lihat kebenaran yang indah..

Seindah indahnya..

Tinggal lagi...
Janganlah kau jemu berguru...
Kunci kamar itu ada pada guru...

Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad..
Kita si awam mentafsirkannya belajar dari mula bernafas hingga hujung nafas..
Ada lain memaknakannya buaian itu ilmu dunia, lahad itu ilmu nyata...

Ah, sudah.....

Mencari dan terus mencari...
Cari lagi, lagi dan lagi....

(Jilid Lihat Langit)



Tuesday, August 7, 2012

BUSKER - ENTITI YANG JUJUR


Ahad lepas, aku dan buah hati berjalan di KL, tepatnya di Masjid Jamek. Meneman dia mencari-cari pakaian raya. Aku ni bukanlah seorang yang obses sangat dengan persiapan raya ni. Baju Melayu yang ada pun, aku tak tau dah berapa tahun punya. Lagi-lagi semenjak kebelakangan ni, badan aku dah boleh sarung baju-baju zaman belajar dulu. Lagilah aku tak fikir tentang nak berbaju baru.

Kesesakan yang melampau di ibu kota, menyebabkan aku tak boleh nak fikir banyak kali, melainkan ke KL Sentral untuk tumpang parking, lalu ambil LRT.

Seusai bershoping dan berjalan sakan, tiba masa untuk pulang. Tiba di KL Sentral, aku terdengar nyanyian bersuara jantan dari sorang brader yang macam aku biasa tengok (dalam internet). Ini brader Meor Pesta Jiwa ni!

Dengan dia ditemani gitar, di tengah hiruk-pikuk orang lalu-lalang dalam KL Sentral, waktu tu aku memandang brader ni dari jauh, mendendangkan "Yesterday" dari legenda muzik dunia, The Beatles. Terpana sekejap. Sound gitar beliau pun melekat.

Aku pun terus menuju ke arah beliau. Tanpa mahu menggangguny menghabiskan lagu, aku terus mencangkung membelek buku-buku dan cd lagu-lagu yang dipamerkan di softcase gitar. Biarkan dulu dia habiskan lagu. Mana boleh busker main lagu sekerat, marah audien nanti.

Habis lagu tu.

"Saya folo blog abang. Selalu jugak baca tulisan abang", lebih kuranglah aku cuba berbasa-basi.

"Hahaha", gelak brader Meor tak sampai 3 harkat. "Tu ada album yang baru," sambung dia lagi.

Tanpa mahu mengganggu perjalanan kerjanya menghiburkan orang lalu-lalang, aku terus capai cd bertulis 'Society - Jalan'. RM20. Akad jual beli, salam sekali, dan aku dan kawan pun berlalu pergi.

Sepanjang perjalanan, aku pasang cd tu, dan sehingga sekarang, cd tu aku mainkan setiap kali dalam kereta nak ke mana-mana. Ini album yang jujur, lagu-lagu yang jujur, dan kita yang mendengar pun perlu ikut jujur.

Lagu tentang cinta, tentang alam, tentang hidup, tentang macam-macam. Memang, kalau kita dengar lagu-lagu arus perdana pun, ceritakan hal yang sama. Tapi bab kejujuran ni, bukan semua mampu luahkan. Memandangkan brader Meor ada cara sendiri untuk berkarya, dengan dia lebih dekat dengan masyarakat, menjadikan tulisan-tulisan dan lagu-lagunya lebih dekat dengan kita, atau setidak-tidaknya kita-kita yang ikut jujur menilai seni. Seni untuk hidup.

Busker adalah entiti yang jujur. Mereka juga unit yang membentuk masyarakat kita yang serba pelbagai. Kalau ikut tulisan Pendeta Zaaba dalam buku 'Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri', setiap kita ni sepatutnya bergantung atas upaya diri sendiri, tanpa mengharap ehsan orang lain secara berlebih-lebihan meminta-minta, atau bahasa kita sekarang, berdikari. Busker adalah entiti yang berdikari.

Dulu sewaktu aku masih belajar di Serdang, setiap kali pulang ke kampung, aku akan gunakan perkhidmatan bas di Puduraya. Di lorong ke LRT, ada seorang pakcik buta dengan gitar usangnya, mendendangkan lagu-lagu lama. Aku suka ke Pudu awal, sementara tunggu bas dalam sejam dua, melepak sorang-sorang berdekatan pakcik tu, mendengar nyanyian lagu-lagu lama. Skill pakcik tu, superb. Pernah dihebahkan dalam akhbar arus perdana pasal pakcik ni dulu. Sejak dah lama aku tak naik bas dari Pudu, tak tau pakcik ni ada situ lagi ke tak..

Kita jangan salah faham pada mereka. Hadir mereka untuk menghiburkan kita di jalanan. Mereka tak mengharap, tapi kita pun janganlah kemut sangat menghulur. Mereka mungkin tak cantik, tak hensem, tak establish macam artis-artis mainstream.

Tapi mereka jujur, dan kejujuran itu penting untuk seni.







Monday, August 6, 2012

KITA YANG SEBENARNYA MENGEMIS DARI PENGEMIS


"Buat apa la ko hulur duit kat orang tu. Jangan biasakan membagi duit kat pengemis ni. Nanti dorang naik lemak." kata seorang kawan.

Aku hanya senyum je.

"Biar dia usaha sikit nak cari makan. Cari la keje ke, apa ke. Ni mengemis, orang luar tengok, nampak sangat Malaysia ni miskin."

Aku senyum je.

Aku teringat cerita seorang sepupu aku, yang aku agak kagumi personalitinya. Dia biasa-biasa sahaja. Bab pelajaran, aku pandai lagi. Tapi dia lebih mencari keberkatan dalam segala hal yang dilakukan, terutama dengan guru-guru yang pernah dia menuntut. Buah hasilnya, aku lihat sekarang. Kerjayanya, kehidupannya, keluarganya. Itu rezeki dia, dan itu cerita lain. Yang aku nak cerita ni, ada satu kejadian yang melibatkan dia dan pengemis.

Pernah suatu ketika, dia telah dihasut untuk mendengar tentang satu skim MLM. Seperti aku, dia juga anti benda alah MLM ni. Jadi dia ikutkan je lah kawan-kawannya ke sebuah gerai, mendengar gebang bergoncang seorang usahawan MLM tentang kesenangan yang boleh diperolehi, tentang kekayaan yang akan dinikmati, siap tunjuk kereta mewah yang dimiliki, kad-kad kredit emas yang pelbagai rupa dan pengalaman pergi haji dan umrah berkali-kali bila join skim (baca : scam) tu. Well, modal sembang yang hampir sama, modus operandi yang menjemukan.

Nak dijadikan cerita, datang seorang pengemis yang kudung tangannya, membawa kole ke hulur ke hilir. Meminta seberapa yang ada, untuk rezeki yang tidaklah boleh menjadikan mereka kaya. Setelah di'rijek' beberapa meja, sampailah pengemis tu ke meja sepupu aku ni.

Geng-geng MLM ni bila dah sembang pasal harta ni, bila pengemis tadi menghulur kole minta derma, kena jerkah.

"Eh, pengemis ni. Pegi tempat lain la. Cari kerja senonoh sikit."

Terkesima sekejap sepupu aku. Lalu tanpa lengah, dihulur duit kertas kaler merah kat kole pengemis tadi, dan bangun berdiri.

"Sembang pasal duit punya lebat. Kumpul harta sana-sini. Kereta pakai macam-macam. Pergi Makkah berkali-kali."

Diam sekejap.

"Tapi orang susah datang minta tolong, haram nak bagi! Eh, aku tak nak kaya la. Kaya harta tapi jiwa takde, apa guna."

Biasala geng MLM ni, dorang pun taknak kalah hujah. Kumpul harta tu kan ibadah.

"Ye lah. Ibadah ke, apa ke. Korang tau tak sebab apa Allah hantar pengemis tu ke sini?"

Diam sekejap. Ada yang hirup air, sebab time ni belum puasa lagi.

"Sebab kita ni pun pengemis juga. Kita sibuk sangat cari harta, padahal dalam harta tu ada hak orang lain. Allah hantar pengemis, sebab nak bagi kita rasa sama, mengemis pahala, mengemis keberkatan dari Allah, nak cuci harta kita yang kita lupa kadang-kadang halal haramnya."

"Tak nak aku join korang. Lagi kaya jadi lagi kedekut, buat apa!"

Pengajaran yang aku dapat dari kejadian ni. Janganlah memandang rendah pengemis-pengemis. Memang ada yang menipu, sindiket lah, apa-apa lah. Tapi kita menghulur tu niat bersedekah Lillahi taala. Apa jadi duit tu, tu urusan dia dengan Allah.

Andai kata sedikit yang kita hulur tu, memudahkan urusan dia, mengenyangkan dia dan keluarga, insyaAllah, ada berkatnya.

Kita selalu sibuk dengan urusan dunia kita. Sekali-sekala Allah hantar orang susah datang depan kita, kan tandanya Allah sayangkan kita, nak memudahkan kita buat kebajikan.

Sekian tazkirah bulan Ramadhan.


TAHNIAH DATO LEE CHONG WEI - HERO MALAYA SEBENAR


Selain dari rungutan ramai jemaah tak hadir musolla dan masjid untuk tarawih, aku sebagai rakyat Malaysia, orang Bagan Serai (Dato LCW lahir kat Bagan Serai kan?) dan peminat sukan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghagaan kepada Dato' Lee atas usaha keras, showmanship dan sportmanship yang ditunjukkan oleh beliau.

Di waktu rakyat Malaysia berbalah dengan hal logo dan tema merdeka yang cam haram tahun ni, isu royalti yang tak sudah dan macam-macam hal, nampak gayanya kita berjaya disatukan dan disenyapkan untuk seketika, secara bersama-sama.

Sokongan kepada Dato' Lee Chong Wei, kegembiraan sewaktu set pertama mendominasi permaian, gubra yang bukan kepalang sewaktu Lin Dan lead 2nd set dan ketegangan yang maksimum sewaktu set penentuan. Sayangnya, Dato' dipilih untuk tewas.

Namun yang pasti, dari semangat kesukanan yang dipamerkan beliau, dato' dah memenangi hati kita semua. Kan?

Begitulah sepatutnya sukan. Ada persaingan, pembangunan kendiri, semangat dan kehangatan. Bangsa tegar politik, pi berambus. Yang ultra melayu melampau macam PERKASA dan PEKIDA, eh, bukan ke korang yang terlompat-lompat seronok masa Dato' lead 1st set? Eh, siap nangis pulak lepas cukup 3 set?

Sukan - dirai untuk rakyat - dan kepada rakyat. Tahniah Dato' Lee Chong Wei. Anda kebanggaan kami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...