Friday, May 31, 2013

MELAWAN EGO DENGAN KETERBUKAAN

Seperti biasa bila pulang ke kampung, saya ke surau untuk berjemaah. Walaupun usia di pinggir 30an, tapi telinga ini takkan mampu menahan bebelan mak kalau tak ke surau. Kadang-kadang saja lengah-lengah ke surau, sebab seronok kena bebel dengan mak. 

Di surau, agak ramai juga jemaah. Lebih setengah ruang solat dipenuhi jemaah, dan alhamdulillah, surau di kampung tak sunyi diisi oleh anak-anak muda dari usia sekolah rendah, sekolah menengah dan yang tak lagi bersekolah. Setidaknya, kesinambungan berjemaah masih diteruskan di kampung kami.

Saya solat di sebelah seorang anak muda remaja. Sekolah menengah lingkungan tingkatan 2, 3. Masbuk. Ye lah, lambat pergi surau. 

Usai solat, duduk bersimpuh, semua jemaah mengikut imam berwirid. Saya pun samalah, walaupun dalam kepala duk berkira-kira apa entah yang mak masak untuk dijamah malam ni. Budak sebelah saya ni menadah tangan baca doa, mungkin tak tahan sakit perut dan nak balik cepat.

Siap dia berdoa, dia menghulur tangan untuk bersalam dengan saya. Saya pun hulur tangan, tapi tak pandang muka. Tiba-tiba dia mencuit peha saya. Terkejutlah saya, hampir melatah.

Rupanya dia menunjukkan lubang pada kain pelekat saya. Saya pun beristighfarlah, macam mana boleh tak perasan pakai kain koyak.

Malu alang pun ada, tapi saya buat tak kisah. Tiba-tiba pulak hati saya panas. ni apahal pulak budak mentah nak tegur-tegur gua ni?

Tapi ikutkan juga berwirid sambil menurunkan paras panas hati ditegur budak, sambil berfikir rasional. Kenapa pula saya nak marah pada dia kan. Mujur dia tegur, boleh juga saya ganti solat sebab terbuka aurat walaupun tak sengaja dan tak sedar. Patutnya saya berterima kasih lah.

Ego. Ini semua sebab ego!

Ego orang laki pada pompuan. Ego yang tua pada yang muda. Ego yang berkuasa pada yang tak bermaya.

Hari itu ada juga pengajaran yang saya dapat. Jangan terlalu dilayankan ego. Mendepani teguran hendaklah dengan hati yang terbuka, bukan dengan ego yang sasa. Walaupun teguran itu dari anak muda banyak dari kita. Mungkin juga teguran itu datang dari Yang Esa untuk kita, melalui hambaNya yang lain. Maka, berlapang dada adalah sebaiknya. 

Malam itu saya pulang dan makan sekenyang-kenyangnya. ada kain yang mahu dijahit nampaknya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...