Thursday, November 24, 2011

MUZIK - BAHASA PENYATUAN

Sibuk sangat kita dengan hal nak 'bersatu' ni. Dari politik, hingga konfrontasi Malaysia - Indonesia, hinggalah hal-hal yang lebih international sifatnya. Walhal, kita selalu pandang mudah pada 'bahasa' penyatuan yang boleh diaplikasi. Contoh mudah, bab makan. Kita tak pernah kisah mencuba makanan bangsa lain, malah memuji-muji keenakkan masakan tersebut. Tak pernah pula kedengaran juak-juak menjerit dodol tak boleh dimakan oleh bangsa lain atas dasar 'ketuanan dodol'. Pelik bunyinya, kalau berlaku.

Dari hal itu, suatu lagi entiti yang dikenalpasti boleh menjadi bahasa penyatuan ialah muzik. Ya, muzik. Rangkuman getaran gelombang yang menggegar gegendang telinga dan akhirnya diterima otak sebagai muzik, kesimpulan bagi gabungan bunyi-bunyian yang mewujdkan melodi.

Muzik. Suatu hal yang indah bernama anugerah. Suatu hal yang tak perlu dikasta-kastakan. Jazz untuk elitis, punk untuk rebelis dan nasyid untuk agamawan. Sahaja. Perlukah begitu?

Kita mendefinisikan muzik mengikut aliran fahaman bawaan pengamal muzik itu. Mungkin, sesetengah orang selesa begitu. Mungkin, bukan semua penerimaannya begitu. Mungkin ada yang masih ingat, nostalgia memegang gitar belajar lagu-lagu ACAB yang pekat 'Skinhead for life'nya (dahulu, dulu-dulu) untuk melatih asas progression chord, oi kah mereka? Mendengar Cromok yang haram sepatah apa pun tak faham kalau tak merujuk ke lirik, semata-mata mengagumi seni solonya. Metalkah mereka? Dan, salahkah jika bukan?

Pokoknya, penerimaan. Dengar sahaja lagu-lagu Indonesia pantas dimainkan di corong-corong radio saban hari. Jatuh hukum tidak patriotikkah d.j yang memainkan lagu, sedangkan lagu yang dimainkan - contoh - Dadali, Di Saat Aku Mencintaimu sangat mengesankan dengan situasi yang dialami sesetengah pendengar. Ya, kita harus akui yang musisi Indonesia sangat pandai mencipta lagu yang walaupun asas kordnya mudah, tapi berkesan. Kena pula dengan liriknya. Dan, salahkah?

Salahkah metalhead 'humming' lagu Najwa Latif - Cinta Mukabuku dan sekali-sekala menggoyang kaki melayan irama 'catchy' Lelaki Seperti Aku nyanyian Alif Satar?

"Memang, tak ada lelaki, sehensem aku, tapi yang lebih hitam, banyak. Yeaaaahhh!!!" Jerit seorang kawan. Lain langsung bunyi liriknya. Tapi, apedehal. Pokoknya, lagu itu diterima umum.

Teringat pada 2009 dahulu, sewaktu menghadiri sebuah seminar pelancongan anjuran Selangor Tourism, atau Majlis Tindakan Pelancongan Selangor, antara dua, aku lupa. Turut disambu waktu itu, Hari Pelancongan Sedunia dengan tema ''Celebrating Diversity". Yup, kepelbagaian seharusnya diraikan. Dalam hal muzik juga sepatutnya begitu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...