LIHAT ITU PELANGI
hidup dalam redup..
bayu iman menyelak awan resah..
tersirna suria aman yg tenang..
lihat itu pelangi..
mendamaikan latar hari yg kalut,ribut..
alam bagai terlukis cantik..
lorek indahnya mudah,
`kun fayakun` hak kuasaNya..
Ada suatu petang, masa aku berjalan-jalan di pasar malam. Macam biasa, kalau di pasar malam. Dengan hidangan juadah yang terbentang, mana-mana orang luar yang ke Malaysia akan cepat membuat tanggapan, Malaysia ini memang selayaknya dikalungkan gelaran ‘Sorga Makanan’. Tarikan makanan yang pelbagai ini lah yang kadang-kala mudah sungguh membocori kekangan nafsu mengisi tembolok perut, walhal kita hanya perlu makan cukup untuk sekadarnya.
Bukan hal pasar malam ini yang nak aku coretkan. Di suatu sudut, terdapat seorang buta – dengan beg plastik di tangan kiri dan sekotak ubat gigi di tangan kanan. Dan seperti lagaknya penjaja-penjaja lain yang mengumpan rezeki di pasar malam, dia menjerit-jerit mewar-warkan barangan jualan di tangannya itu – sekotak ubat gigi.
Aku, sememangnya seorang yang mudah tersentuh. Sekeras-keras hati aku, yang lama diuliti muzik-muzik keras metal yang menepu, aku cepat tersentuh apabila melihat orang kelainan upaya dan kanak-kanak. Bukan memuji diri, Alhamdulillah, nikmat ini aku syukuri yang amat. Sekurang-kurangnya, aku tahu Allah masih membelasi aku dengan hati yang mudah rawan. Lalu aku singgah ke sisi si buta itu tadi, lalu kuhulurkan sehelai wang kertas (tanpa perlu disebut nilai) ke genggaman tangannya. Niat untuk bersedekah. Namun, apa yang berlaku selepas itu membuatkan aku malu sendiri, berfikir sendiri, dan bersyukur sendiri..
“Terima kasih saudara.. Tetapi saya tidaklah mencari rezeki dengan meminta-meminta.. Syukur dengan apa yang saya ada. Dan saudara boleh beli ubat gigi ini untuk keperluan saudara, sekiranya mahu..”
Aku terkedu. Terkesima. Aku pasti, andai ego yang menguasai diri, pasti akan aku jerkah si buta ini tadi. Sudahlah buta, berlagak pula. Sempat juga si laknat setan membisik ke telinga. Namun buat seketika, nafas dihela dan akal digapai kembali ke waras. Kekaguman datang dijemput ke hati. Lalu sempat aku mengomel sendiri – si buta ini tahu diri, dan terima kenyataan dan anugerah Ilahi. Dia tidak merasa terbeban dengan butanya itu, atau mempergunakan butanya itu untuk meraih simpati. Dia mahu berdikari!
Dalam malu, aku memohon maaf akan perbuatanku itu. Si buta itu hanya tersenyum.
“Maaf bang.. ok, bagi saya sekotak ubat gigi bang. Ini duitnya.”
Berlaku suatu akad pertukaran barang dengan wang. Masing-masing tersenyum puas. Si buta tersenyum kerana berniaga, tidak lagi meminta-minta. Aku tersenyum kerana mampu membantu sekadarnya, dengan tidak meminta dikembalikan wang lebihannya. Lalu aku melangkah dengan perasaan yang berbaur, tanpa menoleh lagi ke belakang melihat si buta ‘terintai-intai’ si pembeli yang tidak mahu wang lebihnya dikembalikan.
Kesimpulan. Bukan semua orang kadang-kadang mahu dibantu. Namun itu tidak menghalang kita untuk terus membantu. Orang kelainan upaya juga berhak untuk merasa layanan yang serupa kita, kemudahan yang serupa kita, kebahagiaan yang juga serupa kita. Ya, kita yang kononnya sempurna. Dan aku kembali teringat suatu kiasan yang aku dengar dari rekaan seorang rakan berkenaan ‘kesempurnaan’.
“Sebenarnya, Allah dah ciptakan semua manusia dengan penuh kesempurnaan. Tinggal lagi kita sedar atau tak. Ok, ni contohla. Jangan amik pot pulak,” ujar si rakan aku sambil meludah ke dalam longkang, tempat kami bertenggek melalak bermain gitar. Seusai asap rokok disedut, dia menyambung.
“Ko kononkan la, kesempurnaan tu 10. Contohnya 5 luaran iaitu fizikal dan 5 dalaman iaitu hati. Contoh. Kita yang kononnya sempurna ni, boleh jadi luaran kita sangat cantik, putih, gagah, aku bagi markah 7 la. Tapi dalaman kita tinggal 3 markah je. Berbanding orang yang cacat, boleh jadi luaran yang tak sempurna tu menyebabkan dia dapat 2 je, tapi hatinya, dalamnya 8.” Sekali lagi dia menyedut rokok, dan memetik gitar.
“Aku prefer yang luar 2, dalam 8. Sebab sebaik-baik kesempurnaan adalah orang yang baik dalamannya. Tu sebab kadang-kadang kita tengok orang buta, mata tak nampak tapi hati terang. Tak nampak pun huruf dalam Al-Quran, tapi hafaz dengan baik. Berbanding dengan kita, mata terang tapi duk tengok ‘blue’, tengok awek lalu lalang, tengok maksiat depan mata. Muka cantik hati gelap, nak wat apa!”
Waktu itu, aku diam. Mata melirik ke dalam longkang, melihat jentik-jentik enak berenang, dan jari menyolo di gitar, berlatarkan petikan progression chord Am-Dm-E yang dimainkan si rakan. Syahdu. Falsafah itu yang dulunya payah aku fahami, kini hari kian hari mulai lekat di sanubari....titik.
Harga Sebuah Maruah
Aku menatap kulit novel ini dengan perasaan yang pelbagai. Galau, resah, sayu, sebak, semangat, dan macam-macam lagi rencah rasa yang melengkapkan sajian perasaan. Sebuah lagi novel setebal 382 muka halaman yang akhirnya dapat aku habisi dalam tempoh satu malam, membawa ke subuh hari. Bukan kisah romantis picisan, bukan dongeng khayalan. Ini ceritera yang aku sebagai anak bendang turut merasai bara semangatnya.
Ini kisah perjuangan rakyat kerdil di sebuah perkampungan terpencil, mengukur harga diri dan hidup mati bukan dengan harta benda dan wang. Mereka punya semangat, punya roh kehidupan yang perlu dipertahankan, air mata dan darah menjadi taruhan demi sebidang tanah warisan nenek moyang. Terdayakah mereka menentang akta dan undang-undang yang mewakili arus pembangunan, sedangkan hidup bukan semusim sahaja, tetapi untuk selama-lamanya? Harga Sebuah Maruah , mengusap rindu rasa dan kecintaan petani kepada tanah mereka, kerana tanah adalah segala-galanya.
Petikan di atas adalah catatan di kulit belakang novel yang aku petik bulat-bulat, tanpa sebarang pengolahan ayat. Ini sudah cukup bagi aku, dan bagi khalayak pembaca yang mencintai tulisan-tulisan bermutu dari penulis besar seperti Azizi Abdullah menggamit kemahuan untuk menelanjangi seluruh isi karya dengan luapan nafsu membaca. Novel ini berkenaan perjuangan sebilangan penduduk kampung Kertau yang bermati-matian mempertahankan pusaka kebanggaan yang sudah mendarah daging dalam kehidupan mereka – sawah. Bagi kalangan mereka yang mengemis kemewahan di kota, kehidupan di sawah bukanlah apa-apa. Namun bagi mereka yang sudah sekian lama berselut pacat di sawah, itulah nyawa mereka. Itulah maruah mereka.
Dalam novel ini juga aku mulai meneroka warisan tradisi yang sudah semakin dilupai generasi kini. Tentang bacaan bulan piama, tentang penjagaan semangat padi, tentang itu ini yang berkait langsung dengan padi. Orang-orang dahulu sangat menghormati padi, kerana itulah yang akan mendarah daging dan menjadi punca kelangsungan keturunan mereka. Senang cakap, orang-orang makan gaji, orang-orang kerja kerajaan yang hanya tau mengangguk bila disuruh dan menggeleng bila diarah, taukeh-taukeh bisnes bergudang-gudang hatta aku sendiri takkan faham apakah semangat yang meresapi orang-orang lama hingga mereka lebih rela mati daripada sawah bendang pusaka digolok gadai hanya untuk mengenyangkan golongan konglomerat dan kapitalis.
Isunya di sini, novel ini jelas memperlihatkan kebobrokan manusia-manusia yang jiwanya mudah dibeli, maruahnya mudah digadai apabila disuakan kemajuan dan keuntungan. Kita lupa barangkali, ada sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang mafhumnya seorang manusia andai diberikan segunung emas sekalipun, dia mahukan segunung lagi. Kekasih Allah ini adalah manusia mulia yang paling fasih dengan kerakusan manusia yang tak pernah merasa cukup dan puas dengan kenikmatan dunia. Syukurlah kita, dianugerahkan Baginda kepada kita untuk meluruskan hala laluan hidup di dunia, hanyalah untuk mengejar kebahagiaan abadi di akhirat.
Macam-macam usaha dilakukan penduduk kampung untuk mempertahankan hak tanah mereka daripada dirembat kapitalis tamak yang mahu membina kolam udang di tapak bendang mereka. Sudah tentu, kapitalis ini mengumpan dengan laba besar yang kononnya menguntungkan mereka. Seperti biasa, media akan digunakan dengan mewar-warkan kebaikan projek akuakultur yang mendatangkan pulangan yang lumayan, sebagai wayang menghalalkan projek mereka (nak faham senang, contohnya kempen kurangkan gula dalam makanan sebab nak elakkan penyakit macam-macam masa harga gula naik. Paham?). Ditambah lagi dengan benteng penguatkuasaan dan undang-undang yang menjadikan puak kapitalis ini kebal daripada rajukan dan rusuhan rakyat marhein. Sudahnya, undang-undang ciptaan manusia dengan akta-akta pelbagai dipergunakan untuk merenggut maruah penduduk kampung.
Dengan sebaik-baik garapan, penulis berjaya meyakinkan aku betapa penduduk ceruk kampung sungguhpun pelajaran formalnya hanyalah sekadar ada dari tiada, namun harga maruahnya setinggi langit didongak, seluas laut direnung. Aku petik petikan puisi yang dibaca Hijrah, hero dalam novel ini ketika dia cuba menuang petrol semangat ke dalam bara perjuangan penduduk kampung mempertahankan hak mereka. Tanah mereka maruah mereka.
Angin tak selamanya bertiup
Langit tak selamanya cerah
Betapapun pagi suria bersinar
Mendung petang berarak juga
Tasik tak selamanya tenang
Laut tak selamanya berombak
Apabila kehidupan kita dicakar takdir
Keadilan dan kebenaran
Dikoyak carik oleh kuasa
Kita di mana?
Aku turut terkesan dengan kobaran semangat itu. Aku sendiri anak bendang, yang darah daging ini adalah hasil berpeluh orang tuaku di bendang. Jerih payah orang tuaku di bendang itulah yang akhirnya menjadikan aku seorang guru, yang membiayai pelajaran kami adik-beradik, mengisi kantung lapar kami sekeluarga, menghantar adik aku belajar ke luar negara, dan nyata, bendang itulah kehidupan kami dan seluruh penduduk kampung di sini. Alhamdulillah, bendang yang dipandang tiada apa-apa oleh sebilangan lintah korporat (baca – keparat) itulah yang menaungi sejarah warisan kami, dan aku bangga di sini.
Sebenarnya, aku sendiri lali berhadapan dengan isu tanah yang sangat sensitif bagi sesetengah pihak – malah kadang-kala lebih sensitif dari isu agama dan bangsa. Pengalaman sewaktu berkhidmat dengan organisasi bukan kerajaan Persatuan Pencinta Alam yang mewakili kepentingan mempertahankan khazanah warisan alam juga memberi peluang aku mencatatkan serba sedikit coretan pengalaman dalam diari kehidupan. Antara isu yang menjadi pertikaian ialah pembinaan projek kolam udang yang berdikit-dikit memusnahkan kehidupan nelayan dan habitat kelip-kelip di Kuala Selangor. Sungguh, ada puak-puak yang ibarat serigala lapar tidak pernah kisah dengan kemusnahan alam atau periuk nasi golongan terbiar. Yang penting, bank mereka penuh not-not pelbagai warna dan nilai yang sentiasa berganda.
Banyak cerita takde. Harga Sebuah Maruah – ini untuk pencinta buku yang dahagakan bacaaan bermutu dan berisi. Tapi itulah, dah berbulan beli pun, baru sekarang nak habis baca. Itupun sebab mak berleter suruh kemaskan buku berkotak-kotak yang bersepah-sepah, baru terjumpa..........bilalah aku ni nak jadi rajin agaknya....