Untuk tidak menulis tentang BERSIH adalah sesuatu yang tidak mampu dilakukan, jika kita benar-benar rakyat pendukung keadilan sejagat.
Ya, kalau mahu baca tentang itu ini, tentang dalil naqli mahupun aqli tentang pengharusan, pengwajiban, pengharaman BERSIH, baca mana-mana sumber yang kamu mahu.
Selaku pendukung amanah menyampaikan ilmu, saya sudah tentu mahu warga yang lahir dari pen marker (sekarang zaman pakai white board) dokongan saya, adalah warga yang sentiasa mahu berfikir, mahu menyoal, mahu tahu, mahu jawapan, mahu cadangan.
Dengan jumlah penduduk Malaysia kurang lebih adalah 27 juta orang, saya kira bukan semua seia dan sekata dalam satu-satu hal. Awal-awal lagi dalam Al-Quran yang saya imani ada menyatakan tentang kepelbagaian bangsa-bangsa manusia, dan betapa pentingnya meraikan setiap perbezaan dengan berkasih-kasihan dan bersayang-sayangan.
Sayangnya... Kita meraikan perbezaan dengan ketakutan. Kita raikan kelainan setiap antara kita dengan prejudis. Dengan memandang jiran kita sentiasa mahu menunggu kita rebah, sedangkan dia sentiasa ada untuk kita, membantu kita. Kita menyimpan syak. Eh, atau saya yang keliru, betapa di Malaysia sebenarnya tidak begitu?
Kembali ke tajuk. Tajuk penting sebagai kemudi, sebelum saya melalut melaut. BERSIH.
Saya tidak menyokong mereka, walaupun saya ada t-shirt 'Unggun BERSIH' warna kuning dengan wajah Pak Samad yang saya kagumi. Saya beli kerana saya rasa ianya 'cool', dan rugilah saya sebagai penggila bundle dan rare item tidak memilikinya. Dia Sasterawan Negara, Sasterawan milikan rakyat. Dia menulis dari mana asal hatinya. Dan dia sudah terlalu matang dalam sepak terajang yang kita, yang sentiasa kenyang, sendawa, belum tentu faham. Adakah dia salah perhitungan, meninggalkan dunia penulisan yang dia antara rajanya dan biarkan dirinya diganyang hanya semata-mata mahu glamor?
Pendukung BERSIH ramainya pembangkang. Pembenci BERSIH ramainya pencadang. Kenapa perlu membangkang? Dan kenapa perlu membenci pembangkang?
Sebenarnya - yang saya rasa benar, belum tentu benar bagi kamu - kita diuji membuat pilihan. Membeli kasut pun kita jenuh berpusing-pusing satu kompleks, satu pekan barangkali, untuk mencari pilihan terbaik dari segi rupa, kesesuaian, harga dan keselesaan kita. Epal, oren dan durian sama-sama buah-buahan, sama-sama berkhasiat, tapi kita diberi pilihan mahu yang mana satu dijadikan santapan. Mahu bergitar pun orang pilih antara Gibson, Fender, Ibanez, ESP, Kapok, itu kemahuan dan kesesuaian, selagi poket mengizinkan.
Pendukung BERSIH mahukan pilihanraya yang BERSIH. Pembenci BERSIH menyatakan sistem yang ada sudah terlalu suci dan bersih, atau maksum barangkali, tak perlu ubah apa-apa.
Pendukung BERSIH mahu duduk diam-diam dan bantah. Pembenci BERSIH melihat mereka mendatangkan kerugiaan dan sampah.
Pendukung dan pembenci sama-sama mencatat sejarah. Biarlah tinta sejarah memberitahu anak cucu kita nanti, apa yang kita-kita - yang waktu itu di alam barzakh menunggu kebangkitan kiamat - sudah lakukan untuk masa depan mereka.
Saya, dengan rendah hati, hanya mahu menyatakan. Walau apa hasilan dan dapatan yang bakal kita perolehi di masa hadapan, saya hanya mahu menjadi seorang tua yang boleh berbakti dan berkongsi. Bukan orang tua yang hanya tahu berjanji mahu bagi itu ini, mahu ubah itu ini.
No comments:
Post a Comment