Friday, May 31, 2013

MELAWAN EGO DENGAN KETERBUKAAN

Seperti biasa bila pulang ke kampung, saya ke surau untuk berjemaah. Walaupun usia di pinggir 30an, tapi telinga ini takkan mampu menahan bebelan mak kalau tak ke surau. Kadang-kadang saja lengah-lengah ke surau, sebab seronok kena bebel dengan mak. 

Di surau, agak ramai juga jemaah. Lebih setengah ruang solat dipenuhi jemaah, dan alhamdulillah, surau di kampung tak sunyi diisi oleh anak-anak muda dari usia sekolah rendah, sekolah menengah dan yang tak lagi bersekolah. Setidaknya, kesinambungan berjemaah masih diteruskan di kampung kami.

Saya solat di sebelah seorang anak muda remaja. Sekolah menengah lingkungan tingkatan 2, 3. Masbuk. Ye lah, lambat pergi surau. 

Usai solat, duduk bersimpuh, semua jemaah mengikut imam berwirid. Saya pun samalah, walaupun dalam kepala duk berkira-kira apa entah yang mak masak untuk dijamah malam ni. Budak sebelah saya ni menadah tangan baca doa, mungkin tak tahan sakit perut dan nak balik cepat.

Siap dia berdoa, dia menghulur tangan untuk bersalam dengan saya. Saya pun hulur tangan, tapi tak pandang muka. Tiba-tiba dia mencuit peha saya. Terkejutlah saya, hampir melatah.

Rupanya dia menunjukkan lubang pada kain pelekat saya. Saya pun beristighfarlah, macam mana boleh tak perasan pakai kain koyak.

Malu alang pun ada, tapi saya buat tak kisah. Tiba-tiba pulak hati saya panas. ni apahal pulak budak mentah nak tegur-tegur gua ni?

Tapi ikutkan juga berwirid sambil menurunkan paras panas hati ditegur budak, sambil berfikir rasional. Kenapa pula saya nak marah pada dia kan. Mujur dia tegur, boleh juga saya ganti solat sebab terbuka aurat walaupun tak sengaja dan tak sedar. Patutnya saya berterima kasih lah.

Ego. Ini semua sebab ego!

Ego orang laki pada pompuan. Ego yang tua pada yang muda. Ego yang berkuasa pada yang tak bermaya.

Hari itu ada juga pengajaran yang saya dapat. Jangan terlalu dilayankan ego. Mendepani teguran hendaklah dengan hati yang terbuka, bukan dengan ego yang sasa. Walaupun teguran itu dari anak muda banyak dari kita. Mungkin juga teguran itu datang dari Yang Esa untuk kita, melalui hambaNya yang lain. Maka, berlapang dada adalah sebaiknya. 

Malam itu saya pulang dan makan sekenyang-kenyangnya. ada kain yang mahu dijahit nampaknya.

Wednesday, May 29, 2013

SELANGKAH LAGI...

Dalam hiatus saya melorek catatan, banyak perkara yang saya lalui. Sedikit demi sedikit setiap serpihan pengalaman saya cantumkan menjadi kenangan dan pengajaran.

Tugasan hakiki yang semakin membuahkan kepuasan, buku-buku yang terbeli sedikit demi sedikit berjaya diusaikan, dan macam-macam lagi. Cuma sedikit merungsingkan juga, dalam duk buat macam-macam perkara, lemak berkumpul di perut entah datang dari mana. Hilang pack line yang dibanggakan. Cis....

Ada juga catatan tentang pengalaman menarik saya tempuhi masa berkelana di lebuhraya dari Pasir Gudang ke Bagan Serai. Tentang si buta dan seorang India. Menitis juga air mata terharu. Nantilah..

Juga buku-buku yang menzalimi dompet saya untuk dimiliki, sewaktu saya singgah di Pesta Buku Selangor, SACC. Yang menarik perhatian saya, terbitan label indie macam Dubook Press dan Fixie, juga lain-lain terbitan mainstream seperti buku masakan asas ikan, himpunan doa-doa dan antologi nukilan Kemala. Membaca 'Dari Tanjung Malim ke KLCC' dan 'Dari KLCC Ke Tanjung Malim' mengundang ketawa yang berdekah. Cerita orang biasa tentang hidup biasa-biasa membuatkan saya yang biasa-biasa ni pun enjoy. Pidomat pula berbetulan mengisahkan tentang Bagan Serai era 90an, jadi saya pun ikut bawa imaginasi ketika membesar di waku itu.

Nantilah saya bedah buku-buku tersebut.

Dan sesungguhnya, satu hal yang amat saya syukuri...

27 Mei 2013 bersamaan 17 Rejab 1434..

Selamat saya bergelar tunangan orang...

Alhamdulillah...

Terima kasih untuk 'awak'..=)

Monday, May 13, 2013

KSKK DAN PUISI TEPI JALAN - FYNN JAMAL


Ok lah. Saya takkan mengulas sangat berkenaan pilihanraya yang sudah. Walaupun saya ni kira rakyat marhein yang boleh tahan jugak semangat cintakan negaranya, namun ada semacam mual untuk berbicara perihal politik semasa. Namun, tak pula saya mahu menafikan bahawa hanya Islam sahaja ubat bagi permasalahan ini. Politik dan agama memang tak boleh pisah punya. Bab basuh kencing berak pun ada perinciannya, takkanlah sebesar-besar politik takde tempat dalam Islam. Kan? Eh, termasuk jugak sikit bab politik....

Tarik nafas dalam-dalam...

Semalam, saya ke 'Karnival Seni Kreatif Kita' (KSKK) yang berlangsung di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang. Banyak acara menarik sebenarnya yang diadakan di karnival ini, cuma mungkin promosi yang agak suam kuku, saya lambat tahu berkenaan event ini. Rasa agak rugi jugak sebenarnya, sebab saya jarang terlepas program-program kebudayaan yang diadakan di kawasan setempat. Tahu ni pun, dari kawan-kawan masa tengok Pertandingan Tarian 2013 Sekolah Rendah dan Menengah Pasir Gudang di Todays Ulu Tiram. 

Berbalik pada KSKK tadi, saya sempatlah join bengkel ukulele anjuran Ukulele Malaya yang memang superb sempoi. Sumpah, saya sebenarnya takde idea langsung tentang ukulele. Saya sungguh-sungguh ingat yang ukulele ni sama macam gitar standard, cuma ditiadakan tali E dan A sahaja. Nyata saya silap. Dengan tuning GCEA, memang enjoyable lah orang cakap. Mudah rasanya nak main ukulele ni - agaknya lah - jika kita ada asas gitar sikit sebanyak. Dengan tunjuk ajak mamat nama Mogs dari pihak Ukulele Malaya, sempatlah kami ramai-ramai peserta bengkel jamming lagu I'm Yours, dan cover lagu Najwa Latiff yang tengah perform masa tu. Ok la, dapat jugak belajar kord C G Am F dan F C A# (lagu besday). Paling tidak, hujung bulan ni bergaji, saya nak sambar satu ukulele. 

Saya juga meluangkan masa melangkah ke booth Projek Rabak. Dengan tagline 'Sebarkan Art dan Cinta', Projek Rabak adalah sebuah kolektif seni ditubuhkan di Ipoh pada Januari 2011. Terdiri daripada pemuzik, penulis, penyajak, pelukis, pembikin filem, aktivis teater, artis mime dan pelbagai lagi. Projek Rabak juga diwujudkan untuk berkongsi seni kepada semua. Ia juga adalah platform bagi mereka di luar sana yang berminat bikin seni. Apa saja seni, kita kongsi dan sebarkan (direct copy paste dari projekrabak.com)

Usha demi usha, saya pegang naskhah bertajuk 'Puisi Tepi Jalan' karyaan Fynn Jamal. Carilah sendiri siapa minah ni. Apa pun, bagi saya, naskhah antologi puisi Fynn Jamal ni terlalu peribadi hanya untuknya. Mulanya mencebik jugak saya, namun sedar tak sedar, saya sampai ke puisi bertajuk 'tujuh belas', sedangkan asalnya rasa saya, saya di 'i just want to poetry'. Rupanya, dalam saya membaca peti besi (diistilahkan di kulit belakang) dia ni, secara separa sedar saya hanyut mencari kalau-kalau saya ada dalam penceritaan antologi ini. Ada. Bukan fizikal saya, tapi cerita saya ada dalam antologi itu. Tuhan Maha Kuasa kan, lain jasad, lain orang, lain jalur hidup, tapi kadang-kadang ada silang perkongsian cerita.

Apa pun, terisi jugaklah hujung minggu saya. Dengan beban tugas semakin menghambat, dengan lara rasa pasca pilihanraya, harap saya semakin bertabahlah untuk kemungkinan di depan.

Oh, saya bakal bertunang tak lama lagi. Doakan saya....

Sunday, May 12, 2013

APA LAGI YANG KITA HARAPKAN

Apa lagi yang kita harapkan
Bila mendung yang memayungi
Diharap redup membawa ke petang
Turun hujan di tengah hari

Apa lagi yang kita harapkan
Bila lilin keadilan yang dinyalai
Diharap bawa sinar di malam yang panjang
Digelapkan dengan petik suis menzalimi

Namun, percayalah kawan
Harapan takkan hanya harapan

Kita berjuang bukan menuntut menang
Kita bergadai bukan menuntut pulangan
Kita menangis bukan menuntut pujukan

Yakinlah
Harapan takkan hanya harapan

6 mei 2013
Bagan Serai

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...