Monday, April 30, 2012

LAGU UNTUK AYAH - BERSAMA MERDEKA

Ayah, kuingin tanya padamu
mengapa tanahku
penuh sengketa saban waktu
dicemari penindasan dikotori hawa nafsu
semua bertopeng palsu
mahu ini dan itu

Ayah, mungkin sudah sampai detik
untuk aku bangun bangkit
mengacung penumbuk ke langit
membawa semangat perubahan
menukar penimbang usang yang merugikan
biar kita maju melangkah ke hadapan

Ayah, ku tahu
kau juga mahu begitu
tapi kau terjerat cop mohor di dahimu
kau terpaksa tunduk mengangguk

Ayah, ku tahu
setiamu untuk masa depanku
tapi aku tak ragu
yang menantiku
dunia yang baru

Ayah, ku ingin kau berbangga
punya anak yang wira
cekal juga hatinya
mendepani kezaliman
menerajang korupsi yang memualkan
semoga kita berbahagia
bersama merdeka


HIDUP

Hidup boleh saja
Kau letakkan apa-apa makna
Buka mana-mana kamus
Untuk kau ertikan tafsirannya

Ada waktu-waktunya
Hidup tak kau temui hanya dari baca-baca
Perlu kau keluar bermain
Kau rasai terjatuh
Kau rasai menangis
Untuk kau maknai erti hidup

Ada orang-orang kata
Erti hidup itu pada yang memberi
Ada juga yang berkata
Hidupmu bermakna bila kau bahagia

Hidup jangan kau cemarkan
Dengan kotor sampah fitnah dunia
Seperti para koruptor, diktator
Free loader yang menganga, tunggu disuapkan

Sunday, April 29, 2012

KEGAGALAN MALAYSIA, KEBENGONGAN POLITICIAN MALAYSIA DAN EPIK CINTA KARTINI


Di sebalik kekalutan macam-macam hal minggu ni, hosmet aku kalut nak balik kampung. Aku pun selaku sahabat sejati, hantarkan ke airport.

Kat airport Senai, ada MPH. Aku pun menyinggah, dan 3 buah buku di atas selamat dimiliki,

Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia karangan Saudara Lucius Maximus. Membacanya ibarat melihat sebuah layar besar pengalaman bola sepak Malaysia. Pengalaman kegagalan. Betapa Malaysia, haram jadah, tak pernah belajar dari pengalaman berbola sepak. Bagus buku ni,highly recommended bagi mereka yang melihat FAM adalah sebuah persatuan yang bijak lagi handal menjahanamkan mutu bola sepak kebangsaan. Teringat K. Rajagopal dalam sebuah sidang media, "Kita tidak boleh menjadikan kedudukan ranking dunia sebagai kayu ukur kekuatan sebenar pasukan kita" .Lebih kurang bunyinya. Jari tengah diacung ke muka kamu!

Buku "Malaysia Politicians Say The Darnest Things" oleh Amir Muhammad dan Shahril Nizam. Himpunan kata-kata merepek ahli-ahli politik yang buat kita berfikir, "Nakharommm...Camni bingai pun boleh jadi menteri?". Ya. Kita berahli politikkan mereka yang bingai-bingai. Tapi seronok. Mereka tau hiburkan kita. Sudah sepatutnya Astro terbitkan pula rancangan Maharaja Lawak Supernova Mega Tahap Dewa. Panggil ahli-ahli dan mantan ahli politik kita jadi peserta. Sammy Vellu, undi saya untuk anda. Kompem menang.

Kemudian, epik cinta remaja yang aku baca zaman sekolah dulu. Kartini Kembali, judul kedua selepas Kartini karya kartunis legenda, Tembakau. Seronok, untuk mengimbau zaman-zaman nakal sekolah. Cuma tak seronoknya, aku tak sempat merasa bercinta time sekolah. Oh.... Tapi, nyaris mencarut gak aku. Memandangkan buku ini terbitan semula, apa hal pulak bahasa baku? Kau baca komik yang sepatutnya boleh buat gelak, tapi bahasa baku? Adoih... Takpelah, sebagai pelengkap koleksi.

Sibuk dengan nak bersihkan macam-macam kan....Bersihkan minda kita jugak, dengan membaca.

Saturday, April 28, 2012

BERSIH 3.0

Untuk tidak menulis tentang BERSIH adalah sesuatu yang tidak mampu dilakukan, jika kita benar-benar rakyat pendukung keadilan sejagat.

Ya, kalau mahu baca tentang itu ini, tentang dalil naqli mahupun aqli tentang pengharusan, pengwajiban, pengharaman BERSIH, baca mana-mana sumber yang kamu mahu.

Selaku pendukung amanah menyampaikan ilmu, saya sudah tentu mahu warga yang lahir dari pen marker (sekarang zaman pakai white board) dokongan saya, adalah warga yang sentiasa mahu berfikir, mahu menyoal, mahu tahu, mahu jawapan, mahu cadangan.

Dengan jumlah penduduk Malaysia kurang lebih adalah 27 juta orang, saya kira bukan semua seia dan sekata dalam satu-satu hal. Awal-awal lagi dalam Al-Quran yang saya imani ada menyatakan tentang kepelbagaian bangsa-bangsa manusia, dan betapa pentingnya meraikan setiap perbezaan dengan berkasih-kasihan dan bersayang-sayangan.

Sayangnya... Kita meraikan perbezaan dengan ketakutan. Kita raikan kelainan setiap antara kita dengan prejudis. Dengan memandang jiran kita sentiasa mahu menunggu kita rebah, sedangkan dia sentiasa ada untuk kita, membantu kita. Kita menyimpan syak. Eh, atau saya yang keliru, betapa di Malaysia sebenarnya tidak begitu?

Kembali ke tajuk. Tajuk penting sebagai kemudi, sebelum saya melalut melaut. BERSIH.

Saya tidak menyokong mereka, walaupun saya ada t-shirt 'Unggun BERSIH' warna kuning dengan wajah Pak Samad yang saya kagumi. Saya beli kerana saya rasa ianya 'cool', dan rugilah saya sebagai penggila bundle dan rare item tidak memilikinya. Dia Sasterawan Negara, Sasterawan milikan rakyat. Dia menulis dari mana asal hatinya. Dan dia sudah terlalu matang dalam sepak terajang yang kita, yang sentiasa kenyang, sendawa, belum tentu faham. Adakah dia salah perhitungan, meninggalkan dunia penulisan yang dia antara rajanya dan biarkan dirinya diganyang hanya semata-mata mahu glamor?

Pendukung BERSIH ramainya pembangkang. Pembenci BERSIH ramainya pencadang. Kenapa perlu membangkang? Dan kenapa perlu membenci pembangkang?

Sebenarnya - yang saya rasa benar, belum tentu benar bagi kamu - kita diuji membuat pilihan. Membeli kasut pun kita jenuh berpusing-pusing satu kompleks, satu pekan barangkali, untuk mencari pilihan terbaik dari segi rupa, kesesuaian, harga dan keselesaan kita. Epal, oren dan durian sama-sama buah-buahan, sama-sama berkhasiat, tapi kita diberi pilihan mahu yang mana satu dijadikan santapan. Mahu bergitar pun orang pilih antara Gibson, Fender, Ibanez, ESP, Kapok, itu kemahuan dan kesesuaian, selagi poket mengizinkan.

Pendukung BERSIH mahukan pilihanraya yang BERSIH. Pembenci BERSIH menyatakan sistem yang ada sudah terlalu suci dan bersih, atau maksum barangkali, tak perlu ubah apa-apa.

Pendukung BERSIH mahu duduk diam-diam dan bantah. Pembenci BERSIH melihat mereka mendatangkan kerugiaan dan sampah.

Pendukung dan pembenci sama-sama mencatat sejarah. Biarlah tinta sejarah memberitahu anak cucu kita nanti, apa yang kita-kita - yang waktu itu di alam barzakh menunggu kebangkitan kiamat - sudah lakukan untuk masa depan mereka.

Saya, dengan rendah hati, hanya mahu menyatakan. Walau apa hasilan dan dapatan yang bakal kita perolehi di masa hadapan, saya hanya mahu menjadi seorang tua yang boleh berbakti dan berkongsi. Bukan orang tua yang hanya tahu berjanji mahu bagi itu ini, mahu ubah itu ini.








Monday, April 23, 2012

PERUBAHAN

Kita boleh berubah...
Kita mampu melakukan perubahan...
Perubahan yang biarlah membawa kebaikan..

Namun...

Kita jarang memberi peluang kepada perubahan..
Kita abaikan kehendak perubahan..
Kita tulikan dari mendengar rintihan perubahan...
Sedangkan perubahan itu perlu untuk kita maju..
Perubahan itu perlu untuk kita menikmati saki-baki waktu...

Berilah peluang kepada suatu perubahan..

Sunday, April 22, 2012

PERMULAAN KEPADA PENCARIAN.....LAGI...

Tahun ini tahun kedua aku di Johor. Alhamdulillah. Negeri yang Allah kurniakan dengan segala macam rezeki yang melimpah ruah. Tak ketinggalan, negeri keramat bagi pengamal-pengamal seni buah pukul, terutama yang berakar-umbikan Buah Pukul Mersing.

Kedahagaan aku dalam ilmu seni beladiri, sama macam kegilaan kepada muzik, sama macam kegilaan kepada komik, sama macam kegilaan pada baju-baju bundle, sama macam kecintaan pada bidang pendidikan dan outdoor, dan macam-macam lagi kesukaan yang tak tertulis kat sini.

Alhamdulillah, dalam lebih kurang 2 minggu lagi, aku dan rakan-rakan pelatih dalam seni buah pukul yang sedang didalami kini akan menempuhi suatu majlis khatam. Khatam bukan bermaksud ilmu telah tamat dituntut, tetapi penyempurnaan penerimaan ilmu dan pembuka pintu bagi meneroka lebih banyak rahsia-rahsia ilmu pukulan dan ilmu keinsanan.

Macam kita khatam Al-Quran. Dah abih khatam mengaji bukan bererti kita habis menuntut ilmu Al-Quran, tapi merupakan permulaan kepada lebih banyak pencerahan. Nak belaja ilmu Al-Quran, mesti bermula dengan kelancaran pembacaan, kan?

Harap-harap dalam tempoh 2 minggu, takde apa-apa aral yang melintangi majlis yang bakal berlangsung. Mintak sihat, mintak dicukupkan segala keperluan. Amin..

Selepas tamat majlis, bermulalah pencarian lagi. Selain amanah untuk mengembangkan permainan, kedahagaan juga mahu terus diisi tegukan ilmu lagi.

Takpe, satu-persatu orang cakap. Takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Semoga yang sedikit ini pun mampu menjadi bekal untuk diri ini dan masyarakat. InsyaAllah....


Thursday, April 19, 2012

HOBI BARU - RENANG

Fatigue - itu je yang boleh aku cakap. Tapi best...

Aku baru balik dari kursus asas renang jurulatih Pusat Ko-kurikulum Johor. Apa yang boleh aku katakan, memang best.

Ikutkan, aku dah pernah ikut swimming course dari kerja lama dulu. Training untuk bronze. Tapi tu la, tak sempat pulak nak ambik testnya. Itu jam, memang fitness tengah tiptop. Sekarang, mmmmm....

So, dari kursus yang aku baru attend ni, dapat polish balik pejadah breast stroke, free-style, towing, floating, menyelamat dalam air dan macam-macam lah.

Bagusnya renang ni, melibatkan seluruh otot badan. Untuk satu stroke, kita dah guna setiap otot yang ada pada badan kita. Ditambah dengan bubbling sepanjang berenang, sangat baik untuk pernafasan. Siapa yang suka menyanyi ngan taranum tu, try la berenang. Baik untuk stamina dan breathing.

List baru dalam hobi aku - berenang.

Thursday, April 5, 2012

HUJAN LAGI...



Semalam...
Hangat membuai diri
Selesa amat
Buat aku bersemangat
Bertapak melangkah tanpa reti penat

Tiba-tiba...
Tadi....
Hujan turun lagi...
Entah apa punca...
Lihat langit tak nampak awan menggelap..
Tidak pula rasa bayu berlalu...

Hai lah hati...
Mana nak cari lagi...
Tempat nak tumpang berteduh...
Jenuh...

Hai lah hati...
Sabarlah...
Hujan memang turun tak dijemput...
Datang tak diundang...
Pergi tak dicanang...

Ada waktu, hujan itu perlu...
Basahkan diri yang lalai dalam kehangatan...
Supaya badan sejuk, mencari tuala kesedaran...

Kadang-kadang...
Hujan turun lagi...
Lagi dan lagi...
Itu kan rezeki....

(Pasir Gudang 2012)

Tuesday, April 3, 2012

MAHU KEKAL FIT DAN SIHAT




Sekarang aku dalam proses nak reduce lagi berat aku. Nampak gambar di atas? Buakaw, peninju dari kem Por Pramuk yang cukup menyerlah di areana Muay Thai antarabangsa. Itu, cerita lain. Aku jadikan dia panduan untuk mendapatkan berat dan bentuk badan idaman. Tak perlu ketul-ketul besar sana-sini. Sebab seorang pengamal seni beladiri tak memerlukan otot besar-besar untuk ditayang merata. Cukup badan yang lean dan kental, dengan zero-fat.

Aku dalam proses induksi Diet Atkins, iaitu diet yang mengurangkan pengambilan karbohidrat. Banyak website atau blog yang boleh jadi rujukan bagaimana diet ini boleh dijalankan. Antara yang terbukti, hangpa tengok la http://www.taknakgemuk.com/. Ingatan, diet bukanlah berlapar tak makan, tapi makan dengan perancangan.

Selain itu, rejim latihan yang aku amalkan sehari-hari ialah skipping, crunch-reverse crunch, main dumbbell dengan variasi gaya yang berlainan, beg tubi yakni punchbag dan lompat bintang cukupkan seratus kali untuk sehari. Cuba juga senaman-senaman cadangan untuk melengkapkan 300 Spartan Workout. Rujuk internet. Zaman internet ni serba-serbi mudah. Kita je makin malas. Sebagai pengamal buah pukul, latihan lian juga menjadi kewajipan sehari-hari sebagai riadah untuk berpeluh. Ada masa lebih sikit, joging. Mujur pergi kerja naik basikal. So, busuk-busuk pun dari situ aku tak tinggal senaman.

Tak ketinggalan, klip-klip latihan dari atlet-atlet ternama dunia. Yang suka aku tengok, Buakaw dan Pacquiao, boxer handalan dari Filipina. Tak lupa, epik latihan dari filem boxing terulung, Rocky. Dengar lagu dia pun dah berderau darah.

Kita di zaman yang serba-serbi dikekang dengan masa. Masa untuk bekerja, masa untuk keluarga, masa untuk berhibur, masa untuk beribadah dan masa untuk macam-macam hal. Curi masa untuk diri sendiri sedikit. Buat regangan, buat senaman setakat yang termampu untuk 5 minit. Manjakan diri dengan senaman, bukan sekadar dengan hidangan. Badan kita juga amanah Allah, dan kita juga akan dipersoalkan apa yang kita perlakukan pada tubuh badan kita. Dijaga atau tidak.

Pepatah arab ada yang berbunyi, 'akal yang sihat dari badan yang sihat'. Rasulullah s.a.w juga bersabda dengan mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ' Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu'.

Tengok cermin, pandang diri atas bawah. Tanya, nak sihat ke nak sakit? Lepas anugerah iman, anugerah kesihatan yang paling utama. Minta padaNya, dan kita sendiri tak lupa usaha.....


Sunday, April 1, 2012

SLAM DUNK - KESUKANAN, SETIAKAWAN DAN KENANGAN


Dah berapa hari ni, aku habiskan masa terluang aku dengan membaca manga online di http://www.mangareader.net. Well, aku memang penggila komik, terutama manga. Aku juga membesar dengan Dragon Ball, Dragon Quest, Shin Chan, Yuyu Hakusho, Johan Bola Sepak, GTO, , Samurai X dan Slam Dunk....dan lain-lain lagi yang cukup banyak untuk disenaraikan.

Slam Dunk? Highly recommended, bagi pencinta sukan, terutama bola keranjang. Tak, kalau kita tak minat sukan pun, bacalah. Ada suatu perspektif baru yang kita boleh pelajari dari manga terkenal Inoue Takehiko.

Semangat kesukanan, setiakawan, pantang mengalah, usaha sungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Nah! Apa yang negatifnya baca komik?

Bukan semua pelajaran ada diajar dalam kelas. Chegu-chegu takkan mampu nak habiskan silibus tentang kehidupan jika hanya dalam kelas dan menghadap buku teks kelolaan kerajaan. Sumber pelajaran banyak.

Dan aku banyak belajar dari komik ini. Slam Dunk... Kawan-kawan segenerasi pasti setuju....Kenangan...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...