Sungguhpun segalanya sudah pun termaktub tetap, kita masih mempunyai peluang untuk membuat pilihan. Dan dengan iman yang kukuh, mahupun bersisa, setiap pilihan yang mahu, sudah atau sedang dibuat itu juga sudah pun termaktub dalam ketetapan.
Saya diberi peluang - Alhamdulillah - untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pendidik. 'Guru', nama rasminya. Namun saya lebih selesa dipanggil 'cikgu'. Sebelum menyandang tugas ini, pelbagai jawatan dunia sudah saya sandangi. Jaga toilet, tukang cuci di KL Sentral, outdoor trainer, pegawai pendidikan alam sekitar ketika bersama Malaysian Nature Society, dan lain-lainlah.
Sekali-sekala menoleh kebelakang, seronok juga. Ada moment-moment tertentu yang menginsafkan. Dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa bulanan, di tengah-tengah malam, sehingga ditumpangkan oleh seorang pemilik bengkel signboard yang mesra dipanggil 'Pak Su'. Ini kenangan yang saya bayar dengan harga mahal sewaktu hidup di kota kejam Kuala Lumpur, sewaktu tercari-cari kerjaya, yang penyudahnya saya merelakan diri menjaga toilet, sebelum akhirnya diterima bertugas sebagai cleaner beruniform biru di KL Sentral, di bawah syarikat Maizad Sdn. Bhd, kalau tidak silap ingatan saya.
Menyorokkan identiti selaku pemegang ijazah, saya bergaul dengan kawan-kawan lain. Ada pekerja tempatan, Myanmar, Indonesia, dan lain-lain. Seronok. Pelbagai ragam, pelbagai masalah yang kami hadapi.
Berseorangan di jam 3 pagi, mengemop lantai di stesen antara bandar adalah antara perkara paling gila saya buat. Mereka kata saya berani, tapi saya fikir saya gila.
Cuba-cuba juga 'mengayat' gadis-gadis yang bertransit di KL SENTRAL, saling cabar-mencabar dengan seorang sahabat yang bekerja di 7 Eleven. 10 yang kami 'ayat', 10 yang gagal. Haha. Hensem mana pun kalau pegang batang mop, komfem awal-awal kena reject. Di situ saya belajar, jangan pegang mop masa mengorat.
Juga kenangan berjalan-jalan lewat malam seorang diri di sekitar Brickfield di tengah malam. Sembang menyembang dengan gelandangan. Tengok orang kejar-mengejar, bergaduh barangkali.
Di suatu ketika, di saat belum bergaji. Duit tabung sudah tak bersisa walaupun jenuh dikorek. Makan sudah tidak lagi jadi keutamaan, kerana tiket komuter perlu juga dibayar (saya menumpang bengkel di sekitar Kampung Medan). Setiap hari, dengan muka tak malu mengecek roti expired dari sahabat saya di 7 Eleven. Ada rezeki lebih sikit, restoran Melayu di situ (tak pasti ada lagi tak) sering menyedekahkan kepada kami para cleaner, nasi bungkus yang tidak habis. Baguslah, daripada dibuang, baik bagi pada kami. Lagi sedap, kadang-kadang sorang sahabat dari KFC sering bagi kami ayam-ayam goreng. Semoga murah rezeki dia.
Dan di suatu ketika, dalam jam 12 malam ke pukul 1 pagi saya kira, saya buat OT. Kerana tiada makanan, dan tidak mampu beli makanan, saya tidur dalam keadaan lapar, waktu rehat. Siapa-siapa yang biasa tidur masa perut kosong lapar sungguh, pasti perasan yang badan kita akan mengerekot (?) dan sangat tidak selesa. Inisiatif seorang makcik, mengumpul sejemput nasi dan lauk dari setiap cleaner on duty malam tu, dan mengejutkan saya supaya sama-sama makan. Ya, saya makan nasi dari pekerja-pekerja yang asalnya dari sini, Myanmar, Indonesia, Bangladesh.
Nasi yang kemudiannya berkuahkan 'air mata' itu adalah hidangan paling lazat pernah saya rasakan seumur hidup saya.
Keluarga, kawan-kawan kampung, kawan-kawan study sering bertanya mengapa saya memilih kerjaya cleaner ketika itu. Ada kelulusan, tambahan saya muda lagi waktu. Hensem tu, adalah sikit-sikit.
Pada saya, saya cuma mahu mencuba. Hidup ini ada waktu kita perlu mencuba. Yang positiflah. Dadah dan arak jangan dibuat cuba. Naya hidup.
Cubaan saya itu tak lain adalah untuk mencapahkan sudut pandang dari setiap lapis masyarakat. Saya tidak akan berada di tingkatan paling tinggi dalam masyarakat, namun setidak-tidaknya saya pernah merasa berada di tingkatan paling bawah, untuk saya sedar diri di ketika saya berada di pertengahan.
Setidak-tidaknya, saya tahu apa rasanya lapar yang sangat-sangat lapar, dan disimpatikan oleh mereka yang tak pun berkemampuan dari segi harta, tapi hebat dari dalam jiwa.
Ada jugak yang sudi baca cerita boring ini. Semoga anda dirahmati Allah.