Wednesday, March 28, 2012

PERPECAHAN

Perpecahan - suatu episod yang sangat tidak dimahukan oleh satu-satu jemaah. Direct to the point, perpecahan yang aku sebutkan adalah berkenaan perpecahan dalam senibeladiri.

Banyak berlaku perpecahan dalam dunia senibeladiri. Di mana-mana sahaja. Contoh paling international, Taekwando. Setelah kematian General Choi, pengasas taekwando moden, berlaku perpecahan kepada beberapa aliran, yang biasa didengar ialah WTF, ITF dan GTF. Ada lagi rasanya, cuma aku tidak berapa maklum.

Aikido juga tidak terkecuali. Setelah kematian pengasasnya, Morihei Ueshiba atau lebih dikenali sebagai O Sensei, berlaku perpecahan kepada aliran-aliran aikido seperti Aikikai, Yoshinkan, Shodokan dan lain-lain lagi yang aku tidak arif.

Silat? Juga tidak terkecuali. Mungkin sudah DNA bangsa Melayu yang suka berpecah-belah. Sekadar quote dari kata-kata orang lama di kampung aku. Ada hikmah bangsa lain masuk dan berkampung di Tanah Melayu. Dari itu puak Melayu ni bersatu. Kalau tak, dulu masing-masing dengan Bugis, Banjar, Jawa, Siam, dan lain-lain. Dah datang orang luar, baru nak bersatu atas nama Melayu. Tapi, itu cerita lain. Raikan sahaja kedatangan 'tetamu' dari luar. Tetamu datang kan bawa rahmat.

Banyak aliran dalam silat tidak ada salahnya. Itu sudah menunjukkan betapa geniusnya bangsa Melayu dalam bab mempertahankan diri dan berperang. Cuma, mari kita lihat di era terkini. Silat di zaman moden ni.

Contoh terbaik, Silat Seni Gayong. Dari asal Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman, kini sudah ada Gayong Malaysia, Pusaka Gayung, Gayong Warisan Serantau, Gayong PASAK. Juga kita intai Silat Cekak Malaysia pimpinan pemimpin agung mereka, Allahyarham Ustaz Hanafi. Dari Silat Cekak Malaysia, terbit pula Silat Cekak Hanafi dan terkini, Silat Cekak Pusaka Hanafi. Ini aliran Big Four yang berada di puncak tampuk PESAKA, kerana ramai ahlinya.

Mengintai juga ke permainan buah pukul aliran ilmu Syed Abdul Rahman Yunan. Dari Buah Pukul Mersing, sekarang sudah beranak pinak ke Gayang Lima, Lian Yunan, Lian Paduka, Lian Padukan, dan bercucu-cicit juga Senjata Lapan, Gerak Singkir. Tak terkecuali, Pukulan Melaka aliran guru Mat Kelang yang berkembang menjadi Silat Setiabakti, Silat Gerak Tepat dan lain-lain lagi.

Perpecahan. Adoih. Berat sebenarnya untuk aku mengupas isu ini. Sebab aku pun bukan orang selayaknya. Cuma ini adalah pandangan peribadi aku sebagai pengamal kecil-kecilan.

Kita cuba sebutir demi sebutir. Antara faktor perpecahan ialah percambahan ilmu. Silat tu seni yang hidup, dan kita yang mengamalkan juga hidup. Jadi benda hidup akan bergerak, berubah-ubah, disesuaikan dengan peredaran zaman. Contohnya, buah pukul. Asal buah pukul aliran Syed Abdul Rahman Yunan sudah pun disatukan dengan sunting dan sendeng. Kemudian atas ilham murid-murid hebat yang lain, dengan pengalaman tempur masing-masing, berlaku sedikit perubahan dan juga pertambahan. Apabila murid-murid ini menjadi guru, penyampaian sudah berbeza, dan penerimaan murid baru juga berbeza. Maka lahirlah kumpulan-kumpulan baru dengan nama baru. Namun, identiti buah pukul tidak hilang.

Ada pula perpecahan berlaku disebabkan salah faham, juga fitnah. Tertubuhnya Pusaka Gayung adalah disebabkan Pak Andak Majid dikeluarkan dari Gayong Malaysia, atas sebab difitnah. Juga atas perbezaan demi perbezaan pendapat oleh murid-murid terawal Dato Meor Abdul Rahman, maka terbitlah lain-lain Gayong, yang tetap bermahagurukan Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman. Cuma mungkin apabila politik bermain-main di belakang tabir, Gayong yang aku pandang gah suatu masa dulu, semakin kurang manisnya bagi aku.

Mungkin semakin ramai ahli dalam sesuatu pertubuhan, semakin kuat pengaruh yang dirasakan oleh golongan di puncak, yakni murid-murid awal. Ada yang ikhlas, jujur menabur ilmu menjunjung amanah yang diberi. Namun, dalam putih-putih beras ada juga tertinggal sekamnya. Ada yang gah mahukan nama, walhal ilmunya entah di mana. Mengejar pengaruh dan laba, yang entah sampai bila boleh bertakhta. Jadi, bila nak nampak handal, lebih dari orang lain, direka-reka cerita dan ilmu yang baru. Konon itu eksklusif pelajaran dari mahaguru untuknya sahaja.

Kesimpulan. Ada perpecahan bagus, sebagai variety ilmu. Jadi murid boleh merujuk guru itu, guru ini untuk menambah ilmu, sebab asasnya tetap sama walaupun cara penyampaiannya berbeza.

Ada perpecahan tidak bagus, kerana meruntuhkan institusi berilmu itu sendiri, hanya kerana mahu memenuhi impian diri menjadi tinggi.

Jadi, sendiri soal diri. Untuk apa kita belajar senibeladiri. Setakat nak nampak gah, hebat, pi jadi ahli politik. Kalau setakat nak bertumbuk, boleh, belajarlah mana-mana aliran senibeladiri pun. Semua menumbuk dengan tangan, menendang dengan kaki.

Tapi, kalau nak belajar KENAL DIRI, carilah ilmu yang sejati. Dalam yang berpecah itu, ada yang hakiki.





5 comments:

  1. General Choi Hong Hi MASIH HIDUP pada ketika WTF mula terbentuk. Taekwondo BUKAN seni beladiri kuno Korea yang dimodenkan. Taekwondo adalah seni syncretic (gabungan) antara seni beladiri Korea dan pengaruh karate Jepun terutamanya aliran Karate sekolah Shotokan. Ada yang boleh menyangkal dakwaan ini (kebanyakkannya penuntut aliran WTF) dengan memberikan link-link yang menceritakan tentang asal usul Taekwondo yang mengatakan ia beladiri kuno Korea. Saya sangat tidak setuju walau apa yang mereka kata. Satu aliran seni beladiri kuno Korea yang asli adalah Taekyun.

    Sebelum Taekwondo terbentuk, terdapat banyak "Kwan" yakni sekolah-sekolah beladiri. Moo-Duk-Kwan adalah contohnya.

    General Choi Hong Hi adalah seorang pemimpin tentera. Visinya menyatukan semua "kwan" ini dan dari dari sinilah Taekwondo terbentuk. Taekwondo sejak pada saat itu mula diajar kepada tentera Korea Selatan. ITF wujud. Ada juga bersikap tidak mahu bersatu dengan cadangan General Choi tersebut dan terus menjadi aliran-aliran lain.

    General Choi menggunakan jawatannya sebagai pemimpin tentera Korea Selatan dan politik sebagai platform untuk menyatupadukan kedua-dua blok bertelagah Korea yakni Korea Utara (Komunis) dan Selatan (Demokrasi).

    Menteri-menteri Korea Selatan tidak bersetuju dengan hal ini. Tambahan lagi, General Choi adalah anak kelahiran Korea Utara. Mula ada kumpulan daripada badan-badan pendiri ITF untuk menyekat agenda General Choi.

    Akhirya ITF keluar dari bumi Korea Selatan dan membuka ibu pejabatnya di Kanada. Sementara di Korea Selatan, perubahan drastik berlaku kepada Taekwondo yang bertapak di sana. Antaranya gerakan "sine-wave" (trademark gerakan dalam Taekwondo ITF) dihapuskan sama sekali. Semua pattern (bunga) diubah dan digantikan dengan yang lebih ringkas dan "padat". Kurikulum Taekwondo "baru" ini dijaga oleh satu badan dinamakan "Kukkiwon".

    Akhirnya ada 2 aliran Taekwondo yang sangat berbeza pada waktu itu iatu ITF dan Kukkiwon. Kemudian WTF diwujudkan untuk mengembangkan Taekwondo Kukkiwon dalam arena sukan olimpik. Sehingga sekarang, ia dikenali dengan Taekwondo WTF. Pada masa sekarang, Kukkiwon adalah satu badan yang menjaga kurikulum Taekwondo WTF. Manakala WTF adalah satu badan yang bertanggungjawab mengembangkan Taekwondo yang mengalami revolusi itu.

    ITF pula menjadi satu aliran Taekwondo yang lebih bersikap ortodoks dan tradisional. Kekuda yang besar dan rendah berbeza dengan kekuda aliran WTF yang tinggi dan kecil.

    GTF wujud daripada pecahan ITF daripada Park Jung Tae yang serabut dengan kerenah politik pertubuhan dalam ITF.

    ReplyDelete
  2. Saya kurang gemar menggunakan istilah "pengasas Silat Seni Gayong" untuk ADMAR. Kalau ianya "pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia", itu saya setuju.

    "Gayong hak milik mutlak Dato' Meor" saya juga tidak setuju.

    Ilmu Gayong adalah hak milik mutlak Allah S.W.T. Dato' Meor hanya mengembangkannya sahaja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. maaf,lama tak on9 sampai saya pun tak perasan komen saudara ni. apa pun saya ucapkan terima kasih untuk kupasan dari pihak tuan.

      mungkin ada fakta yang saya tidak cermat. saya mohon maaf untuk itu. cuma saya berbincang tentang topik perpecahan dalam bentuk yang ringkas,di hujung perpecahan apakah matlamatnya. ikut faham saya. saya mengandaikan kalau nak lebih tau tentang sejarah, pembaca boleh saja google topik berkenaan.

      kita sembang2 biasa jadila..yg penting kita mau belajar bab setumbuk dua kan..

      Delete
  3. Dalam aliran mat kelang dulu dikenali pukulan kaedah campur daerah, istilah perpecahan kurang sesuai, kerana mat kelang memang dari awal tidak mengajar benda yg 100% sama kpd murid2nya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih Pak Lang Kiwi... mungkin saya tidak cermat menekan tajuk. perpecahan mungkin bunyinya negatif.sepatutnya saya olah sebagai 'percambahan'..insyaAllah sampai waktu,saya nak pelajari secara detail berkenaan aliran mat kelang,bila ad jodoh..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...