Wednesday, March 28, 2012

PERPECAHAN

Perpecahan - suatu episod yang sangat tidak dimahukan oleh satu-satu jemaah. Direct to the point, perpecahan yang aku sebutkan adalah berkenaan perpecahan dalam senibeladiri.

Banyak berlaku perpecahan dalam dunia senibeladiri. Di mana-mana sahaja. Contoh paling international, Taekwando. Setelah kematian General Choi, pengasas taekwando moden, berlaku perpecahan kepada beberapa aliran, yang biasa didengar ialah WTF, ITF dan GTF. Ada lagi rasanya, cuma aku tidak berapa maklum.

Aikido juga tidak terkecuali. Setelah kematian pengasasnya, Morihei Ueshiba atau lebih dikenali sebagai O Sensei, berlaku perpecahan kepada aliran-aliran aikido seperti Aikikai, Yoshinkan, Shodokan dan lain-lain lagi yang aku tidak arif.

Silat? Juga tidak terkecuali. Mungkin sudah DNA bangsa Melayu yang suka berpecah-belah. Sekadar quote dari kata-kata orang lama di kampung aku. Ada hikmah bangsa lain masuk dan berkampung di Tanah Melayu. Dari itu puak Melayu ni bersatu. Kalau tak, dulu masing-masing dengan Bugis, Banjar, Jawa, Siam, dan lain-lain. Dah datang orang luar, baru nak bersatu atas nama Melayu. Tapi, itu cerita lain. Raikan sahaja kedatangan 'tetamu' dari luar. Tetamu datang kan bawa rahmat.

Banyak aliran dalam silat tidak ada salahnya. Itu sudah menunjukkan betapa geniusnya bangsa Melayu dalam bab mempertahankan diri dan berperang. Cuma, mari kita lihat di era terkini. Silat di zaman moden ni.

Contoh terbaik, Silat Seni Gayong. Dari asal Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman, kini sudah ada Gayong Malaysia, Pusaka Gayung, Gayong Warisan Serantau, Gayong PASAK. Juga kita intai Silat Cekak Malaysia pimpinan pemimpin agung mereka, Allahyarham Ustaz Hanafi. Dari Silat Cekak Malaysia, terbit pula Silat Cekak Hanafi dan terkini, Silat Cekak Pusaka Hanafi. Ini aliran Big Four yang berada di puncak tampuk PESAKA, kerana ramai ahlinya.

Mengintai juga ke permainan buah pukul aliran ilmu Syed Abdul Rahman Yunan. Dari Buah Pukul Mersing, sekarang sudah beranak pinak ke Gayang Lima, Lian Yunan, Lian Paduka, Lian Padukan, dan bercucu-cicit juga Senjata Lapan, Gerak Singkir. Tak terkecuali, Pukulan Melaka aliran guru Mat Kelang yang berkembang menjadi Silat Setiabakti, Silat Gerak Tepat dan lain-lain lagi.

Perpecahan. Adoih. Berat sebenarnya untuk aku mengupas isu ini. Sebab aku pun bukan orang selayaknya. Cuma ini adalah pandangan peribadi aku sebagai pengamal kecil-kecilan.

Kita cuba sebutir demi sebutir. Antara faktor perpecahan ialah percambahan ilmu. Silat tu seni yang hidup, dan kita yang mengamalkan juga hidup. Jadi benda hidup akan bergerak, berubah-ubah, disesuaikan dengan peredaran zaman. Contohnya, buah pukul. Asal buah pukul aliran Syed Abdul Rahman Yunan sudah pun disatukan dengan sunting dan sendeng. Kemudian atas ilham murid-murid hebat yang lain, dengan pengalaman tempur masing-masing, berlaku sedikit perubahan dan juga pertambahan. Apabila murid-murid ini menjadi guru, penyampaian sudah berbeza, dan penerimaan murid baru juga berbeza. Maka lahirlah kumpulan-kumpulan baru dengan nama baru. Namun, identiti buah pukul tidak hilang.

Ada pula perpecahan berlaku disebabkan salah faham, juga fitnah. Tertubuhnya Pusaka Gayung adalah disebabkan Pak Andak Majid dikeluarkan dari Gayong Malaysia, atas sebab difitnah. Juga atas perbezaan demi perbezaan pendapat oleh murid-murid terawal Dato Meor Abdul Rahman, maka terbitlah lain-lain Gayong, yang tetap bermahagurukan Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman. Cuma mungkin apabila politik bermain-main di belakang tabir, Gayong yang aku pandang gah suatu masa dulu, semakin kurang manisnya bagi aku.

Mungkin semakin ramai ahli dalam sesuatu pertubuhan, semakin kuat pengaruh yang dirasakan oleh golongan di puncak, yakni murid-murid awal. Ada yang ikhlas, jujur menabur ilmu menjunjung amanah yang diberi. Namun, dalam putih-putih beras ada juga tertinggal sekamnya. Ada yang gah mahukan nama, walhal ilmunya entah di mana. Mengejar pengaruh dan laba, yang entah sampai bila boleh bertakhta. Jadi, bila nak nampak handal, lebih dari orang lain, direka-reka cerita dan ilmu yang baru. Konon itu eksklusif pelajaran dari mahaguru untuknya sahaja.

Kesimpulan. Ada perpecahan bagus, sebagai variety ilmu. Jadi murid boleh merujuk guru itu, guru ini untuk menambah ilmu, sebab asasnya tetap sama walaupun cara penyampaiannya berbeza.

Ada perpecahan tidak bagus, kerana meruntuhkan institusi berilmu itu sendiri, hanya kerana mahu memenuhi impian diri menjadi tinggi.

Jadi, sendiri soal diri. Untuk apa kita belajar senibeladiri. Setakat nak nampak gah, hebat, pi jadi ahli politik. Kalau setakat nak bertumbuk, boleh, belajarlah mana-mana aliran senibeladiri pun. Semua menumbuk dengan tangan, menendang dengan kaki.

Tapi, kalau nak belajar KENAL DIRI, carilah ilmu yang sejati. Dalam yang berpecah itu, ada yang hakiki.





Monday, March 26, 2012

KERINDUAN PADA DUNIA OUTDOOR....

zaman yang dirindui..aku? berbaju kuning, spek hitam, berhelmet kuning, hujung sana buat peace... dulu....


Duk godek-godek fesbuk kawan-kawan. Ada baiknya fesbuk ni. Kita boleh tengok aktiviti terkini kawan-kawan yang pernah bersusah payah ngan kita di suatu masa...

Aku tertengok dan terbaca tentang aktiviti terkini sahabat aku. Dia dan sebahagian kawan-kawan lain kembali aktif dalam lapangan outdoor. Suatu lapangan yang sangat aku rindukan...

Selain gitar, outdoor recreation juga adalah antara faktor pembentuk diri aku sekarang. Aku banyak belajar tentang konfiden, tentang menjadi fleksibel, tentang itu ini, dan macam-macam lagi.

Sekadar kenangan...Aku pernah menjadi seorang jurulatih aktiviti luar untuk sebuah outdoor company yang agak gah - Wilderness Centre Sdn. Bhd. Bagi aku, selain dunia persekolahan, matrikulasi dan universiti, ini satu lagi dunia pembelajaran bagi aku... Ya.. Kita belajar melalui kenangan... dan persahabatan..

Di sini, kami dilatih untuk menjadi well-trained and competence outdoor trainer. Soft skill dan hard skill digabung padu. Latihan sea kayaking, jungle trekking, wilderness first aid, roping, jadi krew kapal, dan macam-macam lagi. Ah... kenangan...

Bukan semua orang faham kerjaya outdoor ni. Passion. Kalau pandang gaji, nak hidup selesa, tak nak berdaki-daki, tak nak penat, tak nak tanggung risiko jaga nyawa orang, sila jangan terpikir nak ambik borang kerja outdoor. Tapi, sekali terjebak, kita akan kekal dalam bidang ni..

Alhamdulillah.. Sedikit sebanyak penglibatan aku dalam bidang keguruan adalah bertitik tolak dari bidang outdoor ni jugak. Pensyarah kanan sebuah institut pendidikan guru yang mengsyorkan aku dan kawan-kawan menjebakkan diri dalam bidang keguruan.

Alhamdulillah. Bertapak dalam bidang pendidikan, tidak menghadkan aku untuk terus ber'outdoor'. InsyaAllah, aku sedang berusaha untuk menempatkan diri menjadi jurulatih pusat ko. Part time pun takpe. Nak lepas rindu bercamping, berkayak, trekking, main tali aras tinggi...

Bagi yang rigid dengan outdoor. Cubalah, walaupun hanya sekadar hobi. Walaupun hanya sekadar mencuba. Aktiviti outdoor banyak, ikut suka masing-masing. Kadang-kadang terperap dalam kelas, pejabat atau makmal pun tak bagus untuk perkembangan minda, walaupun kita berhadapan dengan buku-buku dan maklumat.

Cari aktiviti yang lain dari rutin harian untuk hidup yang lebih berkualiti.

Tuesday, March 20, 2012

LAGI BANYAK ILMU, LAGI BESAR PERUT

"lagi tinggi tali pinggang atau bengkung dalam martial art, lagi banyak lemak kat perut"

Mana entah aku dengar statement ni. Tapi dalam diam, aku mengiyakan jugak.

Aku heran jugak. Sepatutnya, sebagai seorang guru, mereka yang tinggi ilmu dalam martial art, kenalah jadi contoh yang baik. Tunjukkan yang martial art yang dipelajari tu sebagai suatu riadah dan senaman, selain fungsinya sebagai beladiri.

Bruce Lee cakap, ilmu banyak sangat, sampai turun ke perut. Ye kot.

Sama jugak pendakwah atau penceramah. Mereka ni ilmuan, dan sangat rapat dengan sunnah dan hadith Nabi. Berpakaian menampakkan keilmuan dan kebolehharapan orang pada mereka. Tapi, perut membusung. Rasanya Nabi Besar kita dulu badan sentiasa fit, sihat. Itu kan sunnah. Sentiasa menjaga kesihatan. Tiba-tiba teringat cerita epik kat tv3, Jemaah Kolestrol.

Sebagai chegu PJ, benda ni aku ambik kira sama. Chegu PJ yang serius akan pastikan dirinya adalah contoh terbaik kepada murid-murid peri pentingnya bersukan atau setidak-tidaknya bersenam. Berpakaian sukan, ada wisel dan berbadan fit adalah pakej untuk chegu PJ.

Oh, janganlah jadi macam chegu-chegu PJ yang dulu-dulu. Kadang-kadang orang lama ni pun bukan semua betul. Masa PJ campak bola je,suruh budak-budak main. Cis.

Tu sebab kalau tanya orang sekarang, kita-kitalah. Tau tak apa maksud 'mencongklang'?

PEJUANG MELAYU ISLAM

"Kita mesti pertahankan kedaulatan Melayu di tanah air kita".

Takpe, kawan. Aku dengar, walaupun aku tengah hirup kopi. Teruskan.

"Aku tau, kau ni terbuka. Cuma tu lah, dalam terbuka, kita kena ingat. Prejudis tetap kena ada. Kau tak risau ke, kalau negara kita ni nanti kena tadbir ngan puak kapir?"

Aku pandang muka kau. Renungan mata kau tajam, nampak ada bola-bola api marak. Hati kau hangat, panas. Takpe, cakap lagi. Aku dengar.

"Hanya Melayu je boleh pertahankan kedaulatan Islam kat Malaysia. Selamat Melayu, selamat Raja-raja Melayu, selamatlah Islam. Itu yang kita nak kan?"

Sluuuuuurrrppp. Sori, jangan terganggu dengan bunyi hirupan kopi ni. Biasala, minum kopi memang macam ni. Elok likatnya, manisnya ada takde, tetap memikat. Lagi, banyak lagi hujah yang kau peram kat dada. Luahkan, biar panas dadamu membakar baju. Eh, macam Keranda 152 pulak. Ah, tanya kau pun, belum tentu kau tau.

"Tertegaknya Islam di Malaysia kerana adanya Melayu. Hidupkan semangat Melayu dalam diri kita. Kau pun minat silat, kan? Orang macam kau lah Melayu perlukan untuk selamatkan Islam."

................................................................................................

Kalau kau biasa tengok anime atau baca manga, suasana yang aku rasa sekarang sama macam tu. Macam ada pepatung terbang melintas, dengan angin bertiup sepoi bahasa, dan daun berguguran. Ok lah, bagi aku bercakap pulak, sementara kopi berbaki dalam cawan ni.

"Kau... Kalau kau cabut rantai kat tengkuk tu dulu, boleh tak? Gelang kat tangan tu pun sama. Haaaa.. Tu, sekali ngan anting-anting tu."

Kau pandang aku, macam harimau nak terkam mangsa. Garang, bengis muka kau. Sorila, aku cakap yang betul. Lupa, ada lagi.

"Rokok kat tangan tu, buang sekali."

Eh, kau nak ke mana tu? Haih.... Tak pasal-pasal aku nak bayarkan teh ais 3 layer kau ni. Takpe, rezeki kau lah....

cerita rekaan yang nyaris jadi kenyataan.

Monday, March 19, 2012

GITARIS TERBAIK?

Macam dah lama aku tak sentuh tentang muzik. Rasa tak adil pulak untuk hobi aku yang satu ni.

Ok, dalam perjalanan aku drive dari Pasir Gudang ke Kuala Perlis, sebelum singgah barang sehari dua di Langkawi, aku terfikir satu isu yang rasanya sampai sekarang masih relevan untuk dipertekakkan, iaitu - siapa gitaris terbaik.

Bab terbaik ni, jenuh nak cerita la. Sebab terlalu subjektif. Kita boleh tengok kat mana-mana majalah muzik macam Guitar World, Guitarist, dan mana-mana website yang relevan dengan dunia pergitaran, ada di'list'kan nama-nama gitaris terbaik dunia mengikut piawaian masing-masing (kadang-kadang macam ikut suka je).

Tu sebab kadang-kadang nak tergelak pun ada, bila tengok komen-komen Youtube tentang mana-mana klip bertajuk lebih kurang 'The best guitarist" dan semakna dengannya. Kadang-kadang orang yang upload tu pun dah gitau awal-awal, klip yang di'upload' tu adalah pandangan peribadi depa. Maka ramailah 'Mr. Know-it-all' duk hentam cakap apahal pulak gitaris ni dalam list terbaik kau? Ni camne Kurt Cobain boleh kira jadi gitaris terbaik? Slash main pusing-pusing lick tu je, kau cakap terbaik?

Ini adalah SENARAI GITARIS TERBAIK mengikut pandangan peribadi aku, berdasarkan pengalaman aku bergitar adalah sedikit sebanyak dipengaruhi oleh mereka-mereka ini. Sila kondem atau tambah lagi nama-nama gitaris yang aku tak senaraikan. Boleh aku google je depa-depa ni nanti, nak dengar. Jangan marah kalau Robert Johnson atau Roy Buchanan takde dalam list aku ni. Sebab aku terlalu muda untuk hidup di zaman depa tu.

GITARIS ANTARABANGSA TERBAIK (bagi aku)

5. SYU (Galneryus, Aushvitz, Animetal)



Seorang gitaris dari Jepun. Dengan gitar ESP signaturenya, Crying Star, solo-solo mamat ni memang meleleh. Memang menangkap. Skill toksah cakap. Aku suka.

4. John Frusciante (RHCP)
Aku sangat menyukai permainan otai ni. Funk yang mesra didengar. Gaya dia pun agak sederhana, dengan reputasi yang sangat tinggi.


3. Paul Gilbert ( Racer X, Mr. Big)


Selain skillnya, aku sukakan soft-skill dia. Bila menonton klip-klip tutorial dia, jarang dia tak tersenyum. Santai. Tapi, main sangat ribut!

2. Marty Friedman (Cacophony, Megadeth)



Member baik kepada gitaris Jason Becker ni mempunyai keunikan tersendiri. Terkenal dengan improvisation dan hand picking yang pelik, dia membina legasi permainannya yang tersendiri. Dari dia juga aku banyak mempelajari tentang keterbukaan dalam bermuzik. Aku terbuai dengan solonya dalam lagu Tornado of Soul dan Hangar 18.

1. Slash (Gun n' Roses, Velvet Revolver)

Legend! Apa lagi entah, nak diperkatakan tentang dia ni. Dari berkumpulan ke solo, kerja gitarnya memukau. Diri dia sendiri adalah definisi bagi terma 'rock'.

Tak pandai nak bercerita tentang permainan setiap mereka secara detail lagi ilmiah, memandangkan aku bukanlah layak orangnya. Silap, aku meletakkan nombor bagi setiap gitaris di atas, memandangkan mereka berdiri megah dengan personaliti, skill, trademark, attitude yang tersendiri.

Ramai lagi gitaris terbaik, dan senarai di atas adalah terbaik bagi aku secara peribadi. Mungkin skop pendengaran muzik aku masih kecil, tak meluas, mencapah melangkaui batas genre yang lain. Tapi, aku peduli apa.

Muzik adalah tentang bunyi, dan bagaimana kita menghayatinya. Nanti ada lagi senarai gitaris tanah air terbaik bagi aku.

Thursday, March 8, 2012

MANA HOSPITALITIMU, WOI DI KEDAI MAKAN MELAYU...

Kawan aku ajak makan. Sungguh-sungguh kelaparan gayanya. Nak tunjuk satu kedai yang sungguh top kesedapan masakannya dan femes dengan kecepatan kedai tu siapkan makanan.

Bila sampai, order air dan makanan. Aku dengan kopi panas dan dia barli suam.

Tak lama, sampai air. Kopi betul dah, tapi barli salah. Barli tiba-tiba jadi horlick, apa hal?

"Eh, dik. Abang mintak barli tadi, bukan horlick."

"Adoih, tadi abang cakap nak horlik," balas pelayan.

"Abang tak minum horlik, mintak tukar ye dik," cakap kawan aku.

Mamat tu dengan muka tak puas hati, ambik horlik tu dan yang celakanya, pergi simbah air tu ke longkang!

Aku dah bangun capai bangku. Mujur kawan aku tahankan, sabarkan aku.

"Dah, jom blah. Kita gi kat mamak depan tu." Kawan aku paut bahu aku dan ajak tinggalkan kedai tu, sebelum ada huru-hara lain jadi.

Kejadian ni jadi awal tahun tadi. Ke tahun lepas entah? Tapi memang sampai mati pun aku takkan singgah lagi kedai tu. Besar punya Bismillah kat kedai, tapi perangai staff cam ke hape.

Jangan salahkan orang kalau lagi suka menyinggah ke mamak. Kurang-kurang kat mamak boleh layan wrestling.

Monday, March 5, 2012

ASLI VS BARU

Bagi yang alert dengan dunia seni beladiri, antara perbincangan yang hangat diperkatakan adalah tentang keaslian sesuatu permainan. Tak kira dari aliran mana - buah pukul, silat, tomoi, karate, taekwando, sekadar menyebut beberapa daripada yang banyak.

Memandangkan induk seni beladiri di negara kita ni adalah silat, kita sentuh bab silat. Asli tak asli ni memang perkara yang boleh buat bergaduh, masam muka, berpecah adik-beradik dan keluarga. Bagi yang tak tau, ini merupakan suatu isu yang sangat sensitif bagi warga silat.

Ada pertubuhan melaung-laungkan betapa aslinya silat mereka, dengan tagline 'seni beladiri yang benar-benar asli'. Ada juga permainan yang berpegang pada 'rasai kelainan dari keaslian, rasai keaslian dari kelainan'. Macam-macam...

Pendapat aku, keaslian itu penting untuk memelihara sanad ilmu dan pengekalan warisan.

Cuma yang selalu digaduhkan ialah, antara yang asli dan yang tidak asli, mana lagi hebat?

Bab siapa lagi hebat ni, memang mangkak bunyinya...

Untuk aliran-aliran silat baru yang terkemudian dari yang asli, permainan-permainan mereka adalah adunan dan paduan yang dirangkum secara teliti oleh guru-guru yang sudah terlalu lama berasam garam, bersepak-terajang dalam beladiri. Biasanya, guru-guru ini mempelajari lebih dari satu silat atau beladiri lain. Dicari teknik yang terbukti berkesan dari pengalaman, ditambah dari ilham dan petunjuk Tuhan. Hasilnya, suatu permainan baru yang juga asli dalam bentuknya yang tersendiri.

Luar silat. Ambil Bruce Lee sebagai contoh. Beladiri pertama yang dipelajari adalah Wing Chun, dari Great Grandmaster Ip Man. Kemudian mendiang turut mempelajari seni-seni bertumbuk cina yang lain, juga boxing, fencing (lawan pedang barat) dan lain-lain sehingga mengilhamkan suatu konsep beladiri yang sangat hidup iaitu Jeet Kune Do. Tak hebatkah pembawaan mendiang yang baru ni, berbanding seni-seni cina yang asal lagi asli?

Bagi aku, belajar je yang mana pun. Matlamat asal seni beladiri adalah - membela diri. Jaga diri sendiri, keluarga, agama, negara. Kemudian kita sibukkan tentang nak jaga tradisi dan budaya. Kalau diri sendiri tak terjaga, siapa nak jagakan asli tak asli tu?

Saturday, March 3, 2012

MENULIS - TULISAN, CONTENGAN, LIRIK DAN LAGU

Aku suka menulis. Aku minat muzik. Minat aku dalam menulis pun disebabkan muzik. Bila mendengar sesuatu lagu, selagi aku fahami butir sebutannya, aku cuba mengempati lirik-liriknya, sebelum sibuk nak dengar arrangement muzik atau skill pemuziknya. Kalau jenis yang tak dapat faham apa benda yang di 'waaaaarrrrgghhh - waaaaarrrgggghhh'kan, aku google liriknya. Sebab lagu macam tu pun, pengisian liriknya bermakna.

Aku mula menulis lirik sewaktu aku mula tau pegang kord. Tajuk lagu pertama yang aku buat sendiri ialah 'Purnama'.

Purnama

di malam gelap aku berjalan
melihat alam walau tak ternampakkan
berteman sisa-sisa nafas
bersiap untuk esok yang meragukan

terkedip engkau di angkasa raya
bagai terbaca resah hatiku
menangis engkau melimpahkan sinar
menyuluh terang derap langkahku

terima kasih duhai purnama
atas jasamu yang tak terbilang
atas baktimu yang tak terjulang
walau esok belum tentu ada
manis senyummu cukup bagiku
meneruskan nafas yang tersisa

Jilid 'Lihat Langit'

Ini lagu yang aku karang tahun 2001. Sebelas tahun dah rupenya... Kalau budak-budak, tahun depan dah UPSR dah 'anak' aku ni...

Lepas itu, makin banyak tulisan-tulisan aku conteng-conteng waktu tak faham kelas 'balaghah' dan 'qawaid' yang aku lagukan. Kord simple-simple je. Ada juga tulisan yang ditulis tahun 2003, tahun 2010 baru boleh sumbat masuk kord. Ada yang dah pernah didendangkan di function akustik kecil-kecilan kat universiti dan maktab.

Setiap lagu, aku kelaskan dalam jilid-jilid tertentu. Monolog Untuk Dia - himpunan lagu-lagu cinta, yang dalam tu ada jilid kecil bertajuk 'Cinta dalam G major'.

Ada lagi, jilid 'Lihat Langit'. Tulisan bertema keinsanan. Contoh, Menatap Matahari , Menatap Bulan dan Ujian dan Anugerah.

Syok sendiri? Biasa.... Aku rasa semua penulis letak keyakinan pada apa yang ditulis. Feel. Sebab "aku menulis bukan kerna nama'', tapi "kerna sifat kasih pada sesama insan" dan juga untuk "menyatakan kasih sayangku".

Orang baca tak baca, itu takde nombor. Sibuk sangat ajar orang macam mana nak naikkan follower, pejadah nuffnang la.. Tapi tulis pasal porno. Apa punya bangkai.

*Saja menulis hari ni. 4.3.2012. Nombor 01234 sume ada. Best, best....






JANGAN LUPA, MUSUH ADA LEBIH DARI SATU TANGAN...

Saja nak letak pengisian. Dari dibiar tak berusik, baik menulis sikit kan...

Kebanyakan aliran dalam seni beladiri mengajar pengamal untuk mempertahankan diri. Secara tak langsung, asas yang diajar kepada pengamal-pengamal baru adalah asas elakan, tepisan, buangan, serangan, kuncian dan lain-lain. Ikut perguruan.

Cuma bagi pengamal permainan yang major silibusnya adalah buah-buah kuncian, kita diajar untuk menangani dan menanti serangan-serangan tunggal seperti penumbuk sebiji, tendangan lurus, sepak layang, tolak lintang, sikuan, lutut dan macam-macam lagi serangan fizikal. Kata kunci, serangan tunggal atau buah tunggal.

Jadi, kita pun menepislah penumbuk yang satu itu datang. Ditangkap, dikilas tangan lawan. Dicekik tengkuk leher lawan. Dikais kaki, dan tumbanglah lawan menyembah bumi.

Takde yang cacatnya kuncian ini. Perfect.

Cuma, kalau kita suka mengkaji, jarang dalam pergaduhan berlaku serangan lawan satu balas satu. Yang jadi, bertalu-talu lawan bertalu-talu. Koboi.

Itu jam, buah potong entah ke mana. Kuncian nombor itu ini pun entah ke mana.

Jadi, apa kata kita biasakan berlatih dengan kawan. Suruh kawan menyerang, kemudian kita buat kuncian. Pastu suruh kawan meronta-meronta nak dilepaskan. Kalau kita kunci dia tangan kanan, tangan kiri dia, siku dia, dua kaki lutut dia ada lagi, nak balun kita. Menjadi ke tak kuncian kita? Cuba bagi jadi gak, tengok apa hasilnya.

Senjata pada badan kita ada lapan. 2tangan, 2kaki, 2lutut, 2siku. Satu dikunci, ada 7 lagi. Macam mana nak tumpaskan ke lapan-lapan?

Tutuh musuh sampai jatuh. Tak salah sekali sekala luaskan mata pandang, luaskan pencarian. Cuba cari ilmu-ilmu bertumbuk yang berakidah mendahului serangan. Banyak.

Atas kita la, rajin tak rajin. Atau nak bongkak yang buah kita je handal, boleh makan semua perguruan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...