Saturday, July 6, 2013

LAGI BAB GELARAN DAN MEREKA-MEREKA YANG MENGEJARNYA. TAK LETIH KE?

Saya berbelah bahagi juga sebenarnya. Berbetulan sekarang baru ada ruang untuk menulis sikit-sikit. Sama ada nak tulis tentang buku-buku yang usai dibaca, atau Metallica yang bakal menggegar negara. Metallica beb, Metallica! Saya tak tahu di umur mana lagi saya akan berkesempatan menyaksikan band metal terbesar di dunia beraksi di tanah air. Keghairahan merai Metallica bersamaan dengan kepuasan menghabiskan 'Salina' nukilan A. Samad Said yang memang fuhhh... Dan tidak dilupa, kekalutan yang berlaku di Mesir kini. Solidariti untuk Morsi. Kita doakan kekuatan Ikhwan di sana akan terus menyinar.

Namun, kemenyampahan saya pada satu perkara ini, membuatkan saya 'pending' dahulu cerita Metallica dan Salina dan Mesir. Mengejar gelaran.

Kita maklum, bangsa Melayu ini tamadunnya bukanlah pada binaan gah-gah. Tamadunnya tersorok di tabir budaya bangsa dan bahasa. Datang pula Islam, Melayu terus terisi dengan segala macam kemuliaan. Bukan Melayu sahaja, mana-mana bangsa pun yang wujud di dunia, selagi didasari Islam, terus terisi dengan segala macam kemuliaan. Islam bawaan Rasulullah s.a.w kan 'rahmatan lil a'lamin'...


Berbalik kepada tajuk. Perasan tak, bagi pengamal persilatan, ada suatu macam kecenderungan untuk mewujudkan istilah-istilah dan gelaran-gelaran yang gah disebut. Paduka Ayahanda itu ini, Panglima Seri itu ini, Srikandi itu ini dan lain-lain lagi.

Itu belum lagi yang dah memandai-mandai menabalkan ahli-ahli perguruan dengan gelaran 'Datuk'. Penganugerahan sebegini kan milik istana. Jangan tambah mengelirukan orang awam dengan gelaran bukan-bukan.

Saya tak mahulah menulis secara terperinci mana-mana perguruan, persatuan dan gelaran-gelaran 'beradat' yang direka-reka sewenangnya. Bukan semua, tapi dari pengamatan dan pergaulan saya, gelaran-gelaran ini semua hanyalah mengundang ujub dan riak bagi si pemakainya. Bagi yang faham amanah, Alhamdulillah. Namun bagi yang muda mentah, itu modal nak sembang lebih dan tunjuk gagah. 

Dan ada yang berani meletak gelaran 'Panglima' di hadapan namanya, atau 'fake name' dia. Hamboi. Panglima. Umur kau dan aku pun tak jauh beza, silap-silap aku tua sikit. Panglima.... 'Pang' lima kali, mau? 

Panglima 'wannabe' ni saya tengok dan selidiki sejarah pembelajaran dia, memang banyak silat yang dia pelajari. Saya faham, jiwa muda tengah panas dan lapar. Semua yang hebat nak disedut. Tak sabar. Jadinya belajar takde khatam, takde penamat, takde pemutus. Sampai bila pun takkan faham, takkan kesampaian. Belajar tak habis satu-satu, tiba-tiba dah Panglima?

Jangan begitu, sobat. Kalaupun gelaran dan penganugerahan itu diterima dari perguruan, pakailah ia dan junjung dengan amanah sebaiknya. Bukan buat modal tunjuk hebat, tunjuk gagah. Samseng Melayu ni banyak sangat yang tak boleh pakai. Yang sibuk nak amar maaruf nahi mungkar tu la, yang bergelang rantai, merokok menogak bagai. Janganlah tambah perangai pelik-pelik lagi untuk orang Melayu.

Mari kita kenang sikit sirah junjungan besar kita, Muhammad s.a.w. Ini berdasarkan video ceramah Dato' Dr. Hj Haron Din Al-Hafiz yang menceritakan kisah mimpinya bertemu Rasulullah s.a.w. Allah... menitis juga airmata mendengarnya. Orang dengan kaliber seperti beliau pun, berkali-kali baru berpeluang bermimpikan Rasulullah s.a.w, kita ni.....

Sedikit cerita daripada beliau, Allah s.w.t telah memperkenankan gelaran Khalilullah (sahabat Allah) kepada Nabi Ibrahim a.s, Kalamullah kepada Nabi Musa a.s dan Ruhullah kepada Nabi Isa a.s. Ketika Allah s.w.t mengurniakan gelaran kepada Rasulullah s.a.w, junjungan kita ditanya Baginda mahu dikenali sebagai apa. Pada waktu ini, sebak juga saya mendengarnya. Muhammad manusia agung, hanya mahu dikenali sebagai - Muhammad yang yatim dan fakir! Allah... Tawaduknya Rasulullah s.a.w.

Ketika itu, Allah s.w.t berfirman dengan mafhumnya : Engkau KekasihKu, Ya Muhammad.

Mana lagi kita nak letak muka. Muhammad seagung-agung manusia hanya mahu dikenali sebagai Muhammad yang yatim lagi fakir. Kita? Dengan selempang, sandang bersimpang-simpang, nak digelar orang sebagai pendekar, pejuang, panglima, datuk mak nenek segala, sedangkan entah apa sumbangan kita pada Islam dan negara.

Insaflah. Mengejar gelaran ini tak ke mana. Apatah lagi sewenang-wenangnya menggelar diri sendiri dengan segala kehebatan dunia.

Saja je tulis. Orang yang baca belum tentu faham, kecuali yang kena tuil kat batang hidung. 





Saturday, June 22, 2013

JEREBU - MARI MAKI GOMEN INDONESIA


Semalam saya ke Melaka, menghadiri majlis kenduri kahwin seorang rakan setugas. Sepanjang perjalanan, terpkasa menempuh jerebu yang bukan kepalang, terutama apabila melaui Muar.

Pasir Gudang saja pun dah agak teruk bagi saya, tapi bila lalu zon Muar, masya Allah, lagi teruk. Jarak penglihatan yang terhad, dengan jerebu mampu menghilangkan langsung bukit-bukit tinggi yang ada di persekitaran highway.

Saat itu, saya mencarut memaki kerajaan Indonesia. 

2 malam sebelumnya, saya menonton TV, berita berkenaan gejala jerebu yang menggugat Singapura, Malaysia dan Indonesia. Apabila menonton berkenaan dengan pertelingkahan antara Singapura dan Indonesia, saya terus menyebelahi Singapura tanpa sebarang kompromi. Indonesia memang wajib dipersalahkan. Apabila pak menteri Indonesia menyelar menteri Singapura yang kononnya bertindak keanak-anakan dalam isu jerebu, saya pun rasa nak tampar je menteri Indonesia tersebut. Memang patutlah Singapura marah, dah kau buat hal. Hal jerebu ni Indonesia dah buat sejarah, buat pasal lama dah. Takkan tak ambik iktibar? Celaka sungguh.

Saya pun  berharap sangat kerajaan Malaysia dan lain-lain rakan ASEAN menyelar ketidakbertanggungjawaban Indonesia menangani hal jerebu ni. Nak tolong, tolong juga. Tapi tolong dengan makianlah. Besar kepala sangat dah mereka tu. Dah la tak tandatangani Perjanjian Jerebu ASEAN 2002, lepas tu buat kerek. Indonesia dengan Amerika dengan Yahudi dah makin sama pulak perangai.

Marah.

Mau tak. Tak pasal-pasal sekolah cuti. Kesian budak-budak. Dorang cuti pun, sama jugak mak ayah bawak merata. Takdenya lekat dekat rumah. Tapi Muar dah sampai tahap darurat. Kalau saya di Muar, memang saya balik kampung dah. Tu pun dengarnya jerebu dah masuk Perak.

Kita doakan sama-sama, jerebu tidaklah mengundang masalah penyakit yang bermacam-macam pada kita. Banyakkan minum air dan kurangkan aktiviti luar. Dalam masa sama, marilah kita memaki dan menghamun kerajaan Indonesia terutama menteri-menterinya yang singkat akalnya. Hal jerebu ni hal serantau, tak sepatutnya berulang dan penguatkuasaan sepatutnya tegas di Indonesia sana, sebab di sana punca malapetaka. Nak buat macam mana, tak payah indeks jerebu, indeks rasuah sana dah memang sama tinggi. Tahap darurat. Bab sukan pun sama perangai cam kehape. 

Saya bukan marahkan rakyat Indonesia. Saya ada juga bersahabat dengan sahabat-sahabat dari Indonesia, semasa berkerja sebagai cleaner di KL Sentral dulu. Rapat juga dengan seorang pakcik dari Madura, yang ada juga berkongsikan ilmu sikit-sikit dengan saya. 

Tapi menteri Indonesia, bisa bikin pelempang singgah ke muka!


Tuesday, June 4, 2013

STRESS : SAHABAT KARIB BIDANG KEGURUAN

Saya mengetuk-mengetuk papan kekunci beberapa kali. Pada kekuci `space bar`. Saya pun berkira-kira untuk meneruskan tulisan ini.

Apa pun, saya nyatakan awal-awal, saya tidaklah menafikan hal ajal maut yang sudah termaktub sejak azali. Qada` dan qadar ketentuanNya.

Apa pun, saya menjemput kawan-kawan membaca tulisan berikut. Stres kerja guru dan faktor yang mempengaruhi stres di kalangan guru sebagai gambaran awal. 

Ok, beginilah...

"Cikgu Nizam sekolah orang baru meninggal. Dia cikgu adik, baik sangat dia tu.. Rasa sedih pulak." kata adik saya suatu hari.

"Cikgu Zul tu warden sekolah aku, sekali dengan aku jadi warden. 10 tahun jugak dia kat sekolah kami. Sedih jugak bila dia meninggal baru ni. Stroke." ujara sepupu saya, waktu kami bersenggang-senggang di tepi pantai Ban Pecah, Kuala Kurau menikmati kerang rebus.

"Ustazah tu dah banyak tahun mintak pindah, nak duduk sama suami dia. Tak dapat-dapat. Siapa sangka, arwah tak sempat nak rasa duduk dengan suami sekali. Kemalangan. Rumah arwah dekat je dengan aku, masa duduk kuaters guru dulu. Baik orangnya." cerita sorang kawan lama.

Dan banyak lagilah.

Pertamanya, saya bukanlah mahu merengek-rengek minta kerjaya guru difahami, seperti mana kawna-kawan boleh baca dalam post-post yang di'share' di fesbuk. Meluat juga kadang-kadang bila baca. Juga bukan mahu merungut tentang susahnya kerja yang serba bertambah kebelakangan ini dek kerana dasar-dasar baru yang kurang cermat. 

Saya cuma mencatatkan betapa stress sekarang ini menjadi 'sahabat karib' kepada kaum guru. Stress juga saya, sepanjang bercuti yang belum habis 2 minggu setakat hari ini, saya mendengar perkhabaran pemergian guru-guru yang saya kenal atau tidak kira-kira 7 orang. Baru telinga saya, belum tahu lagi dari kawan-kawan yang lain. Belum campur lagi seorang sahabat yang ditahan di ICU kerana sesak nafas, yang belum saya ziarahi lagi.

Saya tahu, secara umumnya stress melanda keseluruhan kita rakyat Malaysia, kerana perlumbaan kita menempatkan diri dalam dunia yang serba mencabar kini. Tak kira apa kerjaya, dari pengutip sampah ke Perdana Menteri, masing-masing menghadapi stress yang bukan kepalang, hanya untuk memastikan survival di perlumbaan serba laju ini. 

Guru tak terkecuali. dan saya menulis untuk apa yang saya bidangi. Takkanlah saya nak cerita tentang stress seorang jururawat yang saban waktu berjuang memantau kesihatan dan kebajikan pesakit, juga menangani ketensenan berhadapan pesakit yang minta nombor telefon dan fesbuk tak sudah-sudah. Bukan saya.

Umum mengetahui kerjaya guru adalah mendidik. Masa berkerja adalah waktu persekolahan murid. Namun yang tidak umum ketahui adalah lain-lain bidang tugas yang terpaksa kaum guru hadapi, dan rupanya 24jam sehari itu masih belum mencukupi bagi kaum guru menyudahi kerja itu ini. Namun guru yang komited dan menyintai kerjaya keguruan, itu semua hanyalah cobaan dan dugaan yang hendaklah dihadapi dengan berani dan semangat melawan yang kuat setelah memegang title 'cikgu'.

Pun begitu, semangat melawan, radikal dan bersungguh-sungguh kaum guru juga ada hadnya. Stress menjadi musuh dalam selimut. Dalam pada guru-guru bersengkang mata menyiapkan evidens yang tak kunjung siap, meng'key in' SPPBS mengikut deskriptor, dan lain-lain konon-kita-serba-maju-tak-perlu-kertas-lagi-hanya-klik-dan-siap, stress menjenguk kaum guru dalam pelbagai rupa. Keluarga, kesihatan diri dan lain-lain kebajikan kadang kala terabai hingga menerbitkan stress.

Masalah dengan stress ni, kalau dia datang sorang-sorang, takpe jugak. Ini, dia datang dengan lain-lain 'kawan' seperti darah tinggi, diabetes, sakit jantung, paras gula tinggi, kencing manis, obesiti dan lain-lain 'kawan' yang tidaklah mesra mana. Tambah meruncingkan keadaan, bersara wajib 60 tahun untuk kakitangan awam tidak membantu kaum guru mengurangi stress. Kita ni, kalau dinisbahkan dengan umur Rasulullah s.a.w, berapa sangatlah baki yang ada. Saya tidaklah menidakkan keupayaan sebilangan guru yang masih mampu berjuang hatta selepas 60 tahun, namun apa kata kita ikut sahaja pencen dahulu iaitu 56 tahun, dan selepas itu tawarkan kepada guru sekiranya mahu dilanjutkan perkhidmatan ke 60. Dengan peningkatan kelahiran tahunan, kita tidak sepatutnya bimbang akakn ketandusan bakat guru di masa depan. Bagi peluang kepada orang muda.

Kembali ke PRU13 sudah. Kita lihat 'kerajaan cermin' ketika itu bijak menarik perhatian kaum guru untuk melaksanakan penempatan yang 'mesra keluarga'. Saranan itu sangatlah baik. Di samping itu, mereka juga menyatakan kesungguhan supaya PBS yang sedang dilaksanakan sekarang dikaji semula, kerana sistem tersebut nyata memberi kesan bukan hanya kepada kaum guru, malah seluruh sistem pendidikan negara. Apa pun, saya harap adalah perbincangan yang lebih melibatkan pelaksana dasar, iaitu kaum guru sendiri, bukan eksperimen suka-suka lepas balik seminggu dua melancong ke luar negara, tiba-tiba ada KSSR dan KSSM. Saya sendiri sikit-sikit nampak kebaikan pelaksanaan PBS ni, namun kerja dokumentasi, pengkeranian dan lain-lain itu akhirnya mengganggu 'Melindungi Masa Instruksional' (MMI) guru sendiri. Ye lah, pemantauan yang kadang-kadang tak bertempat itu pun sikit sebanyak mendatangkan stress.

Saya kira, jika kerajaan mampu menurunkan harga kereta sebanyak 30% seperti apa yang dijanjikan, takde salahnya pihak berwajib kembali menilai semula pelaksanaan PBS ke akar umbi, bukan hanya sibuk tanya dokumentasi itu ini. Benda baik, semua orang suka. Eh, bukan hal PBS sebenarnya yang saya nak sembangkan ni....

Apa pun, bagi kaum guru, marilah kita cuba melayan stress yang tiba tak kunjung habis. Carilah hobi, untuk melampiaskan stress ke tempat lain. Saya sendiri menangani stress dengan membaca bahan ilmiah seperti Kreko, ROTTW, Guitar World, Men's Health, APO?, Ujang dan lain-lain. Peduli apa saya jika rencana di dalamnya takde kena-mengena dengan keguruan. Saya juga usahakan aktiviti bermasyarakat seperti jamming di hujung minggu, hadir mengaji kitab 'Manhaj Al-A'bidin' dan 'Musolli' di masjid, serta joging dan berbasikal tak tentu hala di pagi Ahad. Tidak dilupakan, menumbuk menendang punching bag yang saya namakan "Stress" dan ditampal muka Obama. 

Itu saya. Cikgu-cikgu lain mesti ada cara lain, macam besarkan rumah, buat bisnes kereta sewa, melancong, bukak kolam ikan, dan lain-lain lagi.

Marilah kita terajang stress untuk menjadi guru yang lebih berwawasan dan global. 




Friday, May 31, 2013

MELAWAN EGO DENGAN KETERBUKAAN

Seperti biasa bila pulang ke kampung, saya ke surau untuk berjemaah. Walaupun usia di pinggir 30an, tapi telinga ini takkan mampu menahan bebelan mak kalau tak ke surau. Kadang-kadang saja lengah-lengah ke surau, sebab seronok kena bebel dengan mak. 

Di surau, agak ramai juga jemaah. Lebih setengah ruang solat dipenuhi jemaah, dan alhamdulillah, surau di kampung tak sunyi diisi oleh anak-anak muda dari usia sekolah rendah, sekolah menengah dan yang tak lagi bersekolah. Setidaknya, kesinambungan berjemaah masih diteruskan di kampung kami.

Saya solat di sebelah seorang anak muda remaja. Sekolah menengah lingkungan tingkatan 2, 3. Masbuk. Ye lah, lambat pergi surau. 

Usai solat, duduk bersimpuh, semua jemaah mengikut imam berwirid. Saya pun samalah, walaupun dalam kepala duk berkira-kira apa entah yang mak masak untuk dijamah malam ni. Budak sebelah saya ni menadah tangan baca doa, mungkin tak tahan sakit perut dan nak balik cepat.

Siap dia berdoa, dia menghulur tangan untuk bersalam dengan saya. Saya pun hulur tangan, tapi tak pandang muka. Tiba-tiba dia mencuit peha saya. Terkejutlah saya, hampir melatah.

Rupanya dia menunjukkan lubang pada kain pelekat saya. Saya pun beristighfarlah, macam mana boleh tak perasan pakai kain koyak.

Malu alang pun ada, tapi saya buat tak kisah. Tiba-tiba pulak hati saya panas. ni apahal pulak budak mentah nak tegur-tegur gua ni?

Tapi ikutkan juga berwirid sambil menurunkan paras panas hati ditegur budak, sambil berfikir rasional. Kenapa pula saya nak marah pada dia kan. Mujur dia tegur, boleh juga saya ganti solat sebab terbuka aurat walaupun tak sengaja dan tak sedar. Patutnya saya berterima kasih lah.

Ego. Ini semua sebab ego!

Ego orang laki pada pompuan. Ego yang tua pada yang muda. Ego yang berkuasa pada yang tak bermaya.

Hari itu ada juga pengajaran yang saya dapat. Jangan terlalu dilayankan ego. Mendepani teguran hendaklah dengan hati yang terbuka, bukan dengan ego yang sasa. Walaupun teguran itu dari anak muda banyak dari kita. Mungkin juga teguran itu datang dari Yang Esa untuk kita, melalui hambaNya yang lain. Maka, berlapang dada adalah sebaiknya. 

Malam itu saya pulang dan makan sekenyang-kenyangnya. ada kain yang mahu dijahit nampaknya.

Wednesday, May 29, 2013

SELANGKAH LAGI...

Dalam hiatus saya melorek catatan, banyak perkara yang saya lalui. Sedikit demi sedikit setiap serpihan pengalaman saya cantumkan menjadi kenangan dan pengajaran.

Tugasan hakiki yang semakin membuahkan kepuasan, buku-buku yang terbeli sedikit demi sedikit berjaya diusaikan, dan macam-macam lagi. Cuma sedikit merungsingkan juga, dalam duk buat macam-macam perkara, lemak berkumpul di perut entah datang dari mana. Hilang pack line yang dibanggakan. Cis....

Ada juga catatan tentang pengalaman menarik saya tempuhi masa berkelana di lebuhraya dari Pasir Gudang ke Bagan Serai. Tentang si buta dan seorang India. Menitis juga air mata terharu. Nantilah..

Juga buku-buku yang menzalimi dompet saya untuk dimiliki, sewaktu saya singgah di Pesta Buku Selangor, SACC. Yang menarik perhatian saya, terbitan label indie macam Dubook Press dan Fixie, juga lain-lain terbitan mainstream seperti buku masakan asas ikan, himpunan doa-doa dan antologi nukilan Kemala. Membaca 'Dari Tanjung Malim ke KLCC' dan 'Dari KLCC Ke Tanjung Malim' mengundang ketawa yang berdekah. Cerita orang biasa tentang hidup biasa-biasa membuatkan saya yang biasa-biasa ni pun enjoy. Pidomat pula berbetulan mengisahkan tentang Bagan Serai era 90an, jadi saya pun ikut bawa imaginasi ketika membesar di waku itu.

Nantilah saya bedah buku-buku tersebut.

Dan sesungguhnya, satu hal yang amat saya syukuri...

27 Mei 2013 bersamaan 17 Rejab 1434..

Selamat saya bergelar tunangan orang...

Alhamdulillah...

Terima kasih untuk 'awak'..=)

Monday, May 13, 2013

KSKK DAN PUISI TEPI JALAN - FYNN JAMAL


Ok lah. Saya takkan mengulas sangat berkenaan pilihanraya yang sudah. Walaupun saya ni kira rakyat marhein yang boleh tahan jugak semangat cintakan negaranya, namun ada semacam mual untuk berbicara perihal politik semasa. Namun, tak pula saya mahu menafikan bahawa hanya Islam sahaja ubat bagi permasalahan ini. Politik dan agama memang tak boleh pisah punya. Bab basuh kencing berak pun ada perinciannya, takkanlah sebesar-besar politik takde tempat dalam Islam. Kan? Eh, termasuk jugak sikit bab politik....

Tarik nafas dalam-dalam...

Semalam, saya ke 'Karnival Seni Kreatif Kita' (KSKK) yang berlangsung di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang. Banyak acara menarik sebenarnya yang diadakan di karnival ini, cuma mungkin promosi yang agak suam kuku, saya lambat tahu berkenaan event ini. Rasa agak rugi jugak sebenarnya, sebab saya jarang terlepas program-program kebudayaan yang diadakan di kawasan setempat. Tahu ni pun, dari kawan-kawan masa tengok Pertandingan Tarian 2013 Sekolah Rendah dan Menengah Pasir Gudang di Todays Ulu Tiram. 

Berbalik pada KSKK tadi, saya sempatlah join bengkel ukulele anjuran Ukulele Malaya yang memang superb sempoi. Sumpah, saya sebenarnya takde idea langsung tentang ukulele. Saya sungguh-sungguh ingat yang ukulele ni sama macam gitar standard, cuma ditiadakan tali E dan A sahaja. Nyata saya silap. Dengan tuning GCEA, memang enjoyable lah orang cakap. Mudah rasanya nak main ukulele ni - agaknya lah - jika kita ada asas gitar sikit sebanyak. Dengan tunjuk ajak mamat nama Mogs dari pihak Ukulele Malaya, sempatlah kami ramai-ramai peserta bengkel jamming lagu I'm Yours, dan cover lagu Najwa Latiff yang tengah perform masa tu. Ok la, dapat jugak belajar kord C G Am F dan F C A# (lagu besday). Paling tidak, hujung bulan ni bergaji, saya nak sambar satu ukulele. 

Saya juga meluangkan masa melangkah ke booth Projek Rabak. Dengan tagline 'Sebarkan Art dan Cinta', Projek Rabak adalah sebuah kolektif seni ditubuhkan di Ipoh pada Januari 2011. Terdiri daripada pemuzik, penulis, penyajak, pelukis, pembikin filem, aktivis teater, artis mime dan pelbagai lagi. Projek Rabak juga diwujudkan untuk berkongsi seni kepada semua. Ia juga adalah platform bagi mereka di luar sana yang berminat bikin seni. Apa saja seni, kita kongsi dan sebarkan (direct copy paste dari projekrabak.com)

Usha demi usha, saya pegang naskhah bertajuk 'Puisi Tepi Jalan' karyaan Fynn Jamal. Carilah sendiri siapa minah ni. Apa pun, bagi saya, naskhah antologi puisi Fynn Jamal ni terlalu peribadi hanya untuknya. Mulanya mencebik jugak saya, namun sedar tak sedar, saya sampai ke puisi bertajuk 'tujuh belas', sedangkan asalnya rasa saya, saya di 'i just want to poetry'. Rupanya, dalam saya membaca peti besi (diistilahkan di kulit belakang) dia ni, secara separa sedar saya hanyut mencari kalau-kalau saya ada dalam penceritaan antologi ini. Ada. Bukan fizikal saya, tapi cerita saya ada dalam antologi itu. Tuhan Maha Kuasa kan, lain jasad, lain orang, lain jalur hidup, tapi kadang-kadang ada silang perkongsian cerita.

Apa pun, terisi jugaklah hujung minggu saya. Dengan beban tugas semakin menghambat, dengan lara rasa pasca pilihanraya, harap saya semakin bertabahlah untuk kemungkinan di depan.

Oh, saya bakal bertunang tak lama lagi. Doakan saya....

Sunday, May 12, 2013

APA LAGI YANG KITA HARAPKAN

Apa lagi yang kita harapkan
Bila mendung yang memayungi
Diharap redup membawa ke petang
Turun hujan di tengah hari

Apa lagi yang kita harapkan
Bila lilin keadilan yang dinyalai
Diharap bawa sinar di malam yang panjang
Digelapkan dengan petik suis menzalimi

Namun, percayalah kawan
Harapan takkan hanya harapan

Kita berjuang bukan menuntut menang
Kita bergadai bukan menuntut pulangan
Kita menangis bukan menuntut pujukan

Yakinlah
Harapan takkan hanya harapan

6 mei 2013
Bagan Serai

Thursday, April 11, 2013

INGAT 5 PERKARA

Fatigue!

Sekarang ni memang agak meletihkan. Bebanan tugas rasmi, kecederaan melanda diri, cuaca yang panas amat, dan kadang-kadang hujan sungguh-sungguh lebat.

Kita secara tak rasmi, menjadi pengkritik pada skrip aturan yang termaktub sejak azali.

Bahaya tu, takut dalam tak sedar mengengkari rukun iman, mempercayai qada' dan qadar.

Apa pun, kita gagahi juga melangkah meneruskan perjalanan hidup ini.

Isu macam-macam sangat dalam sela sebulan saya tak jengah catatan ini.

Dominasi topik masih adalah politik serang menyerang dan telanjang menenlanjang. Cuma semua bersatu seketika mendepani viral keruntuhan akhlak semasa, iaitu kes buli di Penang sana.

Saya ikut juga isu semuanya, namun datang juga menyampah. Sebab dalam kita peka, beban tugas menghambat kita untuk disiapkan. Beginilah ragam chegu-chegu bila pihak jabatan mahu datang memantau. Tak menang tangan.

Wal hal Rasulullah s.a.w lama dulu dah pesan. Dah dilagukan dengan elok oleh kumpulan Raihan.

Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit

Hidup sebelum mati

Sunday, February 17, 2013

BUAH PUKUL - PADA MATA SAYA

BUAH PUKUL 

Sebut pun dah tak sedap. Pukul-pukul. Negatif. Langsung jauh dari nilai kemelayuan yang penuh adab sopan dan budi bahasa serta kesabaran. 

Namun inilah cinta hati saya kini. 

Selama ini bila disebut silat, langsung terlintas di fikiran kita adalah seni beladiri bangsa Melayu yang merangkumi teknik-teknik serang dan bela dan penuh kesenian dan falsafah. Untuk lebih umum, khalayak melihat silat dengan bunga tari dan limbai tangan, seni kuncian dan bantingan, kombat dan pukulan, di majlis-majlis keramaian orang Melayu. 

Tak dinafikan, dalam silat Melayu tradisi juga ada pukulan, dan kalau kita baca Hikayat Hang Tuah yang banyak berlatarbelakangkan sayembara pertarungan, banyak kaedah permainan hero kita ni adalah elak dan serang, pukul dan tikam, parang dan tendang, dan banyak lagi. Ada diceritakan tentang Tun Tuah bertari pendekar di banyak tempat, paling terkenal di Majapahit, hingga membuahkan kagum pada ramai orang, musuh dan kawan. Namun jarang tertulis Tun Tuah main kuncian. Mungkin sebab kebanyakkan kisah hero kita ni bertarung dengan penyerang yang ramai, macam dengan lanun-lanun dan orang mengamuk, jadi kuncian bukan penekanan. Apa, tak baca Hikayat Hang Tuah? Sulalatus Salatin pun tak baca? Tu duk cium keris, mengaku ketuanan Melayu bagai apa makna? Cheh... 

Berbalik pada buah pukul, yang selalu dikaitkan dengan aliran-aliran bersanad Syed Abdul Rahman Yunan. Buah pukul adalah semata-mata pukul. Tiada bantingan, kuncian, gulingan, lentingan, bunga-bungaan. Yang ada itu adalah semata-mata pukul. Memukul itu memukul, menepis itu juga memukul, membuang juga memukul. Menumbuk itu buah dan pukul itu cara memasukkan buah. 

Sekalipun buah pukul sedikit lari dari norma silat-silat semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Nusantara, namun falsafah dan pegangannya tetap ada dan sama, walaupun mungkin berbeza istilah dan pegangannya. Tapak tetap adalah yang utama, dan buah-buah adalah terbitan dari kefahaman tapak. Kalau ada yang cakap tapak tak penting, walau dari mana aliran sekalipun, ada sesuatu yang perlu diselidik lagi. Sekalipun berdiri tegak, itu tetap adalah tapak. Pernah juga saya berbual dengan orang yang kononnya membawa Pukulan 7 Hari yang mengatakan tapak tak penting. Tak bertapak pun buah sampai. Saya boleh diam saja. Sama ada kefahaman kami berbeza, atau saya tak faham pun apa yang dia maksudkan. Biarlah, pembawaan masing-masing.

Kalau cerita tentang buah pukul (bersanad Syed Abdul Rahman Yunan), tak boleh lari dari bicara tentang senjata lapan gayang lima. Bagi saya, ini adalah hakikat setiap gerak fizikal mana-mana senibeladiri, walaupun ada yang cuba menafikannya. Faham yang ini, fahamlah gerak kasar yang lain. Tau yang ini, lengkaplah syarat berdiri.

Apa ilmu sekalipun, mestilah berlandaskan petua. Buah pukul juga tak kurang dengan petuanya. Dua gerak tiga ruat, diam-gerak-gayang-ruat, hendaklah mendulu jangan menunggu, jauh dijemput datang disambut dekat direbut balik diturut, pat pat siku lipat, membujur lalu melintang patah, dan banyak lagi. Ada juga petua  yang disorok dalam madah, dan gurulah yang selayaknya menyampaikan kefahaman kepada murid. Contohnya "buah dagang yatim piatu, sambut dua tanti satu" dan "ukuran dan jangka hendaklah dipelajari, barulah diketahui syarat berdiri".

Dan sudah semestinya tujuan buah pukul untuk setiap penuntutnya adalah "Hendak mengena, Tak nak kena".




Monday, February 11, 2013

INDIA MUSLIM DAN PSY

Dua perkara yang saya tak boleh terima minggu ni.

1) Psy Gangnam Style didatangkan khas dalam program politik, untuk tarik orang datang. Gila.

2) India Muslim minta pengiktirafan sebagai "Bumiputra"? Faham ke tak apa maksud bumiputra ni? Adoi.. Ni semua sebab nak benefit politik dan bisnes. Untuk lebih adil, saya minta Cina Muslim turut serta mohon status bumiputra ni. Saya paling tak suka orang bersikap perkauman, tapi kalau orang nak jadi Melayu sebab semata-mata hal politik dan bisnes, lagi macam celaka jadinya.

Ini sama dengan mengiktiraf Si Kitul dan Raja Mendeliar. Haa, hambik. Selalu sangat guna buah perkauman kan. Ni saya bagi sedas.

Nak minta pengiktirafan, mintalah sama-sama duduk di hadapan perjuangan memartabatkan Islam. Itu yang terbaik. Kaum tak bawa ke mana. Parti pun tak bawa ke mana.

Islam je bawa kita ke sana...

Saturday, February 2, 2013

KISAH MENYENTUH HATI - CIKGU DAN KECIKGUAN

Ok. Saya mengaku, mata saya berkaca jugak lepas baca cerita ni. Mungkin sebab kisah berkaitan dengan apa yang saya kerjakan sekarang - mendidik (insyaAllah). Sebab selalu sangat dah kita baca kisah cikgu sekelumit dua yang buat tinja dalam dunia pendidikan. Apa kata baca juga secebis dua kisah yang boleh membuatkan kita teringatkan jasa cikgu-cikgi ustaz ustazah  kita yang tak jemu-jemu mengenalkan kita aksara, numerasi, hidup dan kenyataan sehingga kita dari jahil piang sampai ada yang dah PhD sekarang....




Touching hearts.



As she stood in front of her 5th grade class on the very first day of school, she told the children an untruth. 

Like most teachers, she looked at her students and said that she loved them all the same. However, that was

impossible, because there in the front row, slumped in his seat, was a little boy named Teddy Stoddard.

Mrs. Thompson had watched Teddy the year before and noticed that he did not play well with the other children, that his clothes were messy and that he constantly needed a bath. In addition, Teddy could be unpleasant.

It got to the point where Mrs. Thompson would actually take delight in marking his papers with a broad red pen, making bold X's and then putting a big "F" at the top of his papers.

At the school where Mrs. Thompson taught, she was required to review each child's past records and she put Teddy's off until last. However, when she reviewed his file, she was in for a surprise.

Teddy's first grade teacher wrote, "Teddy is a bright child with a ready laugh. He does his work neatly and has good manners... he is a joy to be around.."

His second grade teacher wrote, "Teddy is an excellent student, well liked by his classmates, but he is troubled because his mother has a terminal illness and life at home must be a struggle."

His third grade teacher wrote, "His mother's death has been hard on him. He tries to do his best, but his father doesn't show much interest and his home life will soon affect him if some steps aren't taken."

Teddy's fourth grade teacher wrote, "Teddy is withdrawn and doesn't show much interest in school. He doesn't have many friends and he sometimes sleeps in class."

By now, Mrs. Thompson realized the problem and she was ashamed of herself. She felt even worse when her students brought her Christmas presents, wrapped in beautiful ribbons and bright paper, except for Teddy's. His present was clumsily wrapped in the heavy, brown paper That he got from a grocery bag Mrs. Thompson took pains to open it in the middle of the other presents. Some of the children started to laugh when she found a rhinestone bracelet with some of the stones missing, and a bottle that was one-quarter full of perfume.. But she stifled the children's laughter when she exclaimed how pretty the bracelet was, putting it on, and dabbing some of the perfume on her wrist. Teddy Stoddard stayed after school that day just long enough to say, "Mrs. Thompson, today you smelled just like my Mom used to." After the children left, she cried for at least an hour.

On that very day, she quit teaching reading, writing and arithmetic. Instead, she began to teach children. Mrs. Thompson paid particular attention to Teddy. As she worked with him, his mind seemed to come alive. The more she encouraged him, the faster he responded. By the end of the year, Teddy had become one of the smartest children in the class and, despite her lie that she would love all the children the same, Teddy became one of her "teacher's pets.."

A year later, she found a note under her door, from Teddy, telling* her that she was still the best teacher he ever had in his whole life.

Six years went by before she got another note from Teddy. He then wrote that he had finished high school, third in his class, and she was still the best teacher he ever had in life.

Four years after that, she got another letter, saying that while things had been tough at times, he'd stayed in school, had stuck with it, and would soon graduate from college with the highest of honors. He assured Mrs. Thompson that she was still the best and favorite teacher he had ever had in his whole life.

Then four more years passed and yet another letter came. This time he explained that after he got his bachelor's degree, he decided to go a little further. The letter explained that she was still the best and favorite teacher he ever had. But now his name was a little longer.... The letter was signed, Theodore F. Stoddard, MD.

The story does not end there. You see, there was yet another letter that spring. Teddy said he had met this girl and was going to be married. He explained that his father had died a couple of years ago and he was wondering if Mrs. Thompson might agree to sit at the wedding in the place that was usually reserved for the mother of the groom.

Of course, Mrs. Thompson did. And guess what? She wore that bracelet, the one with several rhinestones missing. Moreover, she made sure she was wearing the perfume that Teddy remembered his mother wearing on their last Christmas together.

They hugged each other, and Dr. Stoddard whispered in Mrs. Thompson's ear, "Thank you Mrs. Thompson for* believing in me. Thank you so much for making me feel important and showing me that I could make a difference."

Mrs. Thompson, with tears in her eyes, whispered back. She said, "Teddy, you have it all wrong. You were the one who taught me that I could make a difference. I didn't know how to teach until I met you."

(For you that don't know, Teddy Stoddard is the Dr. at Iowa Methodist Hospital in Des Moines that has the Stoddard Cancer Wing.)

Saya pasti cikgu-cikgi lain pun faham. Kadang-kadang sumbangan kita pada murid-murid, kita tak rasakan besar mana pun. Sekadar sebuah perhatian, sedikit pujian, seikhlas teguran.

Namun yang sedikit itu rupanya adalah baja kepercayaan dan keyakinan pada murid-murid kita. Lagi-lagi murid sekolah rendah, di mana hati mereka ibarat sebidang tanah yang subur. Kita baja dengan perhatian, pujian, teguran dan didikan, akhirnya tak mustahil tumbuh mekar pohon kejayaan dalam kehidupan mereka. 

Dan saya juga mengingatkan diri saya selalu-selalu. Jangan semata-mata meraikan kejayaan murid pada materi dan pencapaian. Selagi didikan kita berhasil melahirkan murid yang beradab berbudi bahasa dan tak mendatangkan jelik pada masyarakat, itulah kejayaan. Kalau murid tu nanti towkey juta-juta sekalipun, tapi amal rasuah, apalah maknanya. Kalau murid tu tadi berstatus profesor tertinggi sekalipun hanya berlandaskan political promotion tanpa hasil kajian, jurnal, tulisan dan buku ilmiah - sekadar buku biografi memuji diri pun, apalah ertinya. Tu ha, Pendeta Za'ba, itu sungguh-sungguh pemikir Melayu yang mendahului zaman kalau kita  baca tulisan allahyarham dalam "Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri". Itu pun kalau kita nak baca. Saya ada versi bahasa jawinya yang saya sangat sayangkan. 

Apa pun, kisah ini buat saya bersemangat untuk tunjukkan yang terbaik kepada murid-murid. Itu sebab tadi pulun berlari gila-gila masa Larian 1 Murid 1 Sukan peringkat sekolah, kategori guru (cikgu pun nak sukan jugak, asyik murid je). Dapat nombor 3, adalah modal nak sembang dengan budak-budak atlet sekolah nanti.


Sunday, January 27, 2013

PEJUANG BANGSA DAN AGAMA? SIGH.....

Saya tak dapat tak, memang menyampah dengan segelintir manusia dari kalangan kita yang bangsanya Melayu dan agamanya Islam. Lagi sekali saya menyatakan betapa menyampahnya saya.

Berpangkat gelar macam-macam. Konon diharap nak menjaga hal-hal masyarakat dan ketuanan Melayu. Anak buah kelililing pinggang, taat macam lembu.

Tapi....

Merokok, pakai rantai, gelang bagai-bagai, siap ada yang bersubang. Buat simbol jari dah macam ninjutsu. Anak bini yang perempuan tak bertudung. Dan pada merekalah kita bergantung harap menjaga hal agama dan bangsa kita?

Sorang tu, cukup terkenal, penyanyi dan pelakon, malah duta persekutuan seruan Islam Perak. Front page metro, dia boleh tanya lagi, salahkah saya buka kelab? Bingai yang susah nak diajar. 

Rock sekalipun, banyak mana anak buah sekalipun, tapi kalau tak rasa bersalah buka kelab, saya tak tau lah nak cakap apa lagi. Hormat saya untuk orang macam ni, hanya pada talent dia sahaja, tapi tidak pada lain. 

Tolonglah... Kadang-kadang bila semakin banyak pertubuhan atau persatuan yang nak membela Melayu, saya tengok sebenarnya kita jadi semakin lari dari Islam itu sendiri. Budaya samseng semakin menjadi-jadi. Bangsa lain dianak tiri, macam mereka takde hak untuk ada di bumi Malaysia ni. Sedangkan ini juga tanah air mereka. Ketuanan Melayu? Kaji bab mengenal diri, kita ni takde apa hak pun kat dunia ni. Kosong. Fana. Diri kita binasa tak ada sisa. Semuanya hak Allah. Bangga melebih-lebih, sampai lupa sama-sama asal dari air mani.

Belajarlah hormat agama dan masyarakat. Jangan nak guna nama bangsa dan agama untuk jadi samseng. Jalan mendepang, sembang kencang bila ramai-ramai. Bila sorang-sorang? 

Dalam kubur nanti, semua kita sorang-sorang.....

PELAJARAN DARIPADA MENGAJAR DAN BELAJAR

Cikgu Shaari yang epik!

Alhamdulillah, dikurniakan Allah swt kekuatan dan kesihatan di hari ini. Pagi-pagi lagi saya dah pulun keluar joging di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang. Buat masa ini, inilah tempat feveret saya berlari-lari anak mengeluarkan peluh, selain mengayuh basikal tak tentu dek hala dan main chin-up bar sebelum mandi.

Kalau tanya cikgu-cikgu, sekarang ni dah mula sibuk dengan latihan sukan, sebab banyak acara sukan akan mula dipertandingkan dalam bulan 2 nanti. Saya pun dah mula melatih atlet-atlet terpilih untuk olahraga balapan dan ragbi rimau, selain tanggungjawab memilih dan melatih wakil-wakil rumah sukan untuk Larian 1Murid 1Sukan minggu hadapan. Ini jam jugaklah dengar-dengar angin yang pihak jabatan nak pantau perjalanan KSSR dan PBS di sekolah. Oooo hai..Apa pun, tanggungjawab..

Dalam masa sama, saya membantu mengajar di 2 gelanggang Seni Silat Lian Padukan. Alhamdulillah, kalau orang tanya saya apa saya dapat dengan mengajar, melatih dan mendidik, sampai berpenat-penat pagi petang siang malam, saya cuma jawab - nak buat macam mana, itu je yang aku tau. Mengajar.

Dalam mengajar, kita sendiri banyak belajar. Terutamanya, mengajar kita untuk mengenal maksud kesabaran. Kalau kita rajin selak kisah-kisah nabi, banyak nabi yang bermula dengan mengembala kambing, contohnya Rasulullah saw sendiri. Hikmahnya, mengajar kesabaran sebab orang tua-tua cakap kambing ni binatang yang degil. 

Bila saya mengajar murid-murid subjek PJ, saya akan ikut buat bersama murid-murid. Minggu ni saya ajar murid tahun 3 kemahiran gulingan hadapan. Dengan saya-saya sekali ikut berguling. Bila saya mengelola latihan fitness atlet-atlet, saya akan pastikan reps saya melebihi budak-budak. Dalam melatih, sebenarnya saya tumpang berlatih jugak. Jadinya, saya tak heran kalau rakan-rakan sekerja lain segan nak promote produk MLM macam Herbalife dan SD Alphalipid tu. Saya berpegang, kesihatan datang dari senaman dan penjagaan makanan, dan tentulah dari doa.

Apa pun, saya seronok mengajar. Itu je yang saya tau. Saya tak mahir dalam bab berniaga, saya juga takde kemahiran teknikal dengan mesin-mesin dan teknologi. Yang saya suka adalah mengajar murid-murid apa yang Kementerian Pelajaran dah kursuskan kepada saya, dan berkongsi minat saya kepada lain-lain tentang sukan dan kesihatan, seni beladiri dan muzik. Passion. Kepuasan apabila melihat perkara yang diajar dapat dipraktikkan dan diamalkan penuntut dengan beradab. Susah oi nak ajar budak darjah 1 buat lompat bintang (asas koordinasi badan). Bila dorang dapat buat, alangkah seronok dan puasnya. 

Berkongsi ilmu itulah passion saya. Tapi kalau orang tanya saya, benda apa yang paling susah nak diajar, saya jawab - ajar orang main gitar!

Dia punya susah nak ajar orang pegang kord C tu, lain macam kan? 






Friday, January 25, 2013

LIPAS DI TENGAH MALAM

"Aku kalau depan aku ada dua ekor binatang ni, rimau dengan lipas...."

"Aku sanggup lompat ke rimau, daripada lipas. Aku tak boleh lipas ni woi."

Ujar sorang kawan, masa kami minum-minum time rehat. Saya pun angguk kecik je la, mengiyakan. Eleh, tu ko belum jumpa rimau. Sembang...

Sehinggalah kejadian tadi.

Saya ke dapur nak masak air. Malam-malam gini sambil baca buku, layan kopi panas-panas sepam dua alangkah menariknya lah. Dalam menuju ke dapur, terpijaklah makhluk Allah yang satu ni - lipas.

Elok pulak panjat naik ke kain!

Waaaaaarrrgggghhhhhh!!!

Berapa decible tu saya tak pasti. Tapi tiba-tiba melalaklah anak jiran sebelah. Baby lagi, setahun tak sampai. Dengar pulak jiran sebelah mengomel, "tak tidur lagi tu jangan la memekak".

Bantut niat nak bancuh air. Geli-geleman semacam. Cis.

Kalau ada rimau dengan lipas depan saya sekarang, saya sanggup lompat ke rimau!

Thursday, January 24, 2013

MUHAMMAD


Kita kembali menyambut hari peringatan ulang tahun kelahiran kekasih sekalian umat Islam.

Kekasih kita, dah tentu-tentu hari lahir Baginda kita raikan, sebagai tanda cinta kasih kita kan. Mak punya besday, abah punye besday, makwe pakwe punye besday bukan main lagi kita berkek-kek bagai. Inikan pula junjungan mulia kita.

Bid'ah? Leceh sembang orang macam ni. Hal nikah kawin buat dalam masjid pun bertegang urat laga hujah, padahal hal terang haram macam Genting Highland dan kilang arak, buat pejam mata. Hisap rokok jugak fuh-fuh, tak sibuk pulak nak bid'ah-bid'ah.

Tapi kekasih yang kita seluruh umat Islam kongsikan bersama ni, tak minta kek, ucapan tahniah dan nak tiup-tiup lilin. Tak.. Baginda minta kita selawat, ikut sunnah dan kalam Allah. Cukup.

Sok Jumaat, khatib pun duk pesan tiap-tiap minggu, sedangkan Allah SWT dan para malaikat pun berselawat atas Nabi, maka Allah anjurkan juga orang-orang yang ada iman untuk sama berselawat ke atas kekasihNya. 

Iman sikit banyak, Allah yang nilaikan. Yang penting, ajar diri berselawat, termasuklah yang sibuk menaip ni. Akhirat karang, recommendation datang dari kekasih seluruh umat Islam ni lah. 

Kita doakan yang baik-baik untuk kita, keluarga, masyarakat, negara dan seluruhnya. 

Al-Fatihah untuk junjungan mulia kita, Muhammad Rasulullah SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, tabi' tabiin, ibu bapa kita, guru-guru kita, keluarga kita dan seluruh umat Islam, dulu kini dan sampai kiamat.

Al-Fatihah....


Wednesday, January 23, 2013

ROKOK ELETRONIK

http://mynewshub.my/2013/01/15/kerajaan-pantau-jualan-rokok-elektronik/

Rokok eletronik berbahaya kepada kesihatan. Boleh mengakibatkan kanser. Tidak baik untuk kesihatan.

Entahlah....

Saya pun sebenarnya tak faham. Nak ubat ketagihan merokok, dengan merokok?

Cuma tukar maujud rokok tu je. Daripada rokok konvensional jadi eletronik.

Tolonglah....

Merokok ni ikut pusing cara mana pun, memang takde kebaikannya.

Pihak berwajib pun kadang-kadang memeningkan saya. Sibuk nak pantau rokok eletronik, nak haramkan penggunaan rokok eletronik lah, cecair nikotinnya lah. Tapi yang rokok asal, apa tindakan? Semata-mata kempen Tak Nak?

Sebab duit jugak sebenarnya. Rasanyalah. Kawan-kawan saya bagitau, cecair nikotin tu boleh produce sendiri. Tak nak ada nikotin pun boleh, letak flavour je.

Apa-apa lah...

Saya memang tak nampak apa faedah pun dengan merokok. Macho? Makin bingai jadinya, ada.

Saturday, January 19, 2013

MELAYU, SEMANGAT DAN ROKOK

Baru-baru ni ada saya bersembang-sembang di kedai mamak, dengan rakan-rakan di taman perumahan saya. Pangkat abang-abang jugak lah, walaupun sepatutnya dah boleh saya panggil pakcik.

Kami berkongsi cerita pasal silat, pasal buah pukul. Bab ni memang minat saya yang mendalam, maka dengan orang-orang lama ni memang seronok kita tadah telinga, kutip ilmu dan pengalaman mereka. Nak tadah badan merasa kena tumbuk, tempat tak kena pulak. 

Biasalah, kalau dah sembang pasal silat ni, bab Melayu takkan boleh lari punya. Masuk jugak bab keagamaan sikit-sikit. Pun saya ikut mendengarlah, nak mencelah lebih-lebih, ilmu baru peringkat buku 555, sedangkan mereka ni dah tahap seepik SALINA karyaan A. Samad Said (boleh ke metafora camni?).

Bab tak bestnya, bila mula ada kondem mengondem. Politik punya hal la. Melayu ngan politik, apa lagi yang boleh kita harapkan, kan. Bumbang-bumbang ketuanan melayu, bumbang-bumbang melayu ni kebangkitan Islam akhir zaman, bumbang-bumbang jangan bagi 13Mei berulang, bumbang-bumbang entah apa yang dibimbang.

Yang tahinya, mulut fuhh fuhh keluar asap. Hisap rokok. 

Saya pun keluar jugak la paku buah keras.

"Kita ni, sembang Melayu itu ini.. tapi dekat mulut, elok tersumbat rokok yahudi." Sambil senyum dan gelak sikit-sikit, konon-konon buat lawak la.

Itu jam saya tengok mata sorang-sorang dah macam dart, dan saya ni dah macam sasaran yang bulat-bulat.

Balik rumah jam 2 pagi, saya terfikir. Orang Melayu kita ni, lagi-lagi orang silat, bukan main bergambar pakai baju silat, pakai busana tradisi pendekar-pendekar lama. Bukan main canang nak ada di barisan hadapan andai kata terjadi apa-apa.

Tapi nak lawan keinginan merokok tu, keris pedang tersisip kat pinggang pun, tak mampu terlawan. Bagi saya, kalau kita sungguh-sungguh ikhlas nak berjuang untuk agama bangsa tanah air (alif-ba-ta), perangi dulu nafsu merokok tu. 

Bangsa Melayu kan bangsa naga. Tu sebab merokok tu, bagi ada asap bak naga. Boikot McD bukan main lagi, rokok ko taknak boikot pulak.


Thursday, January 17, 2013

LISTEN! LISTEN! LISTEN! x 1000


Di sebalik isu "Listen listen listen listen listen listen listen listen listen listen listen listen" yang membangkitkan student power to its finest, saya terpanggil untuk mendengar lagu ini - Couple, Mencari Malaysia.

Sebalik muzik yang manis-manis menangkap, liriknya cubalah hendaknya kita dengar elok-elok. Listen carefully.

Apa-apa hal, saya juga pernah menjadi student. Don't mess up with student! Kalau kita ni mendidik, bagi ruang juga kepada student untuk kembali mendidik kita. Kita kan salin mengajar dan belajar. 

Yang tua bukan selamanya betul, yang muda bukan selamanya salah. Ikut kisah Rasulullah s.a.w, awal dakwah Baginda pun, yang mengikut kebanyakkan dari golongan muda. Golongan tua macam pakcik-pakcik Baginda kebanyakkan menentang. Sebab pemuda-pemuda itu jugaklah, Islam sampai ke kita.

Bagi ruang kat orang muda nak bercakap. Kita pun ada telinga, dengarlah jugak...Kita? Silap.. Saya muda lagi..

Takde salahnya kalau berjiwa anarki sekalipun, kalau benda yang ditentang itu adalah kejahilan dan kezaliman. 

LISTEN!

Monday, January 7, 2013

TULISAN PERTAMA 2013

Pertama sekali, ooo hai... Dah 2013 dah haaa..

Pejam celik, usia saya dan tukang-tukang baca lain berganjak ke angka baru. Ada yang naik jadi belasan, ada yang berganda jadi puluh-puluhan. Ada juga yang dah tak berumur lagi....

Apa-apa pun, alhamdulillah...

Sesi persekolahan yang baru pun bermula. Dah macam-macam ragam anak-anak saya tengok, tahun demi tahun. Tetap menghiburkan. Ada yang gembira, tak kurang juga yang menangis. Belum cerita mak ayah yang menangis bila hantar anak masuk sekolah. Seronok kot, bila anak sulung dah jejak kaki ke gedung ilmu. 

Itu jam, berdoa laju-laju harap cepatlah dipermudahkan jodoh. Amin...

Saja-saja belek IC, bila godek-godek dompet nak buang resit-resit Tesco, tol, ATM, dan macam-macam lagi. Dah bertahun jugak rasanya, masa ke JPN nak renew IC ni. Bila banding muka jambu waktu tu dengan sekarang. Oh... Masa cepat berlalu rupanya...

Apa pun, saya harap adalah perubahan serba sikit yang boleh saya banggakan untuk tahun ini. Mungkin kecemerlangan dalam kerjaya, mungkin. Kejayaan membina keluarga, pun doanya begitulah. Dan yang penting, harap hati ini tidak makin keras. Tangan pula harapnya makin ringan menghulur, dan mata semakin cerah memandang simpati pada yang tak upaya.

Selamat maju jaya!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...